Monday, April 9, 2012

Pangku "Menteri Wanita" : Najib Nafi Kepimpinan WANITA..


Perlantikan Najib sebagai menteri wanita satu pengkhianatan agenda wanita

KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Meskipun perlantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merupakan langkah yang memperlihat bahawa lelaki juga boleh mengetuai gerakan agenda memperkasakan wanita, ia dilihat sebagai satu langkah yang amat mengecewakan.
Pengerusi Wanita Kebangsaan DAP Chong Eng semalam berkata, “Kita amat kecewa atas dua sebab. Pertamanya Kementerian Wanita telah ditubuhkan setelah bertahun-tahun Wanita DAP berkempen untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf Pejabat Hal Ehwal Wanita di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah kementerian penuh.

10 tahun selepas Deklarasi Tanjong barulah sebuah Kementerian Hal Ehwal Wanita ditubuhkan pada 2001. Hari ini Perdana Menteri ingin mengepalai kementerian ini dan saya amat bimbang bahawa kita ke belakang 10 tahun dengan langkah ini.”

“Kedua, kita amat kecewa kerana Najib sendiri menafikan pemimpin wanita dalam kerajaan kerana dalam kabinet hanya ada 2 jawatan sahaja [untuk menteri wanita] dan Najib mengambil salah satu daripadanya.”

Menurut Chong Eng lagi, dalam tempoh pemerintahan Najib, beliau hanya mempunyai 2 wanita sahaja di kalangan 30 Menteri dan langkah beliau mengambil alih jawatan berkenaan menyebabkan tinggal hanya seorang saja menteri wanita dalam kabinetnya.

“Apakah Barisan Nasional kekurangan pemimpin wanita yang berkualiti untuk jawatan tersebut? Ataupun Najib tidak sensitif kepada wanita dan menafikan hak mereka untuk mendapat peluang untuk memegang jawatan tersebut?”

Beliau juga berkata bahawa kini Najib sedang memegang 2 portfolio iaitu sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan bertanya sama ada beliau mampu memikul tanggungjawab tambahan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ini hanya menunjukkan betapa tidak seriusnya Barisan Nasional terhadap pemerkasaan wanita pada masa kita menyaksikan bahawa tiada kemajuan dalam soal kesaksamaan jantina,” ujar beliau lagi.

- roketkini.com
Tahniah PM ‘lantik’ Najib pangku Menteri Wanita
KUALA LUMPUR- Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ‘melantik’ dirinya sendiri sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

‘Pelantikan’ itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai senator, semalam.

“DPPM merasakan jawatan Datuk Seri Najib sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat sesuai dengan dirinya memandangkan tidak ada lagi pemimpin Umno dari kalangan wanita yang layak menggantikan tempat Datuk Seri Shahrizat,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Menurutnya, mungkin semua pemimpin lain yang ada dalam Umno mahupun Barisan Nasional tidak sehebat dan setanding dengan Najib, ataupun mungkin kesemua pemimpin Umno yang lain tidak boleh dipercayai untuk dijadikan menteri.

Katanya, kehebatan Najib sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuktikan bahawa sememangnya beliau pemimpin serba boleh sehinggakan portfolio yang berkaitan dengan wanita juga beliau perlu jaga.

“Pelantikan ini melengkapkan tiga portfolio kabinet yang dipegang oleh beliau iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya DPPM juga mencadangkan supaya Najib membolot semua jawatan Menteri Kabinet yang lain.

“Cadangan ini penting supaya membolehkan beliau dikenali dan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia.

“Menteri-menteri kabinet yang lain boleh dikesampingkan, kerana yang pentingnya Datuk Seri Najib popular dan diminati ramai, bukan pemimpin-pemimpin Umno yang lainnya,” kata Riduan lagi.

Paling penting, kata beliau adalah untuk memastikan Najib menang dalam PRU ke-13, tidak kisah apa jadi kepada Umno atau pemimpin yang lainnya.

Mungkin juga, ujarnya Datuk Seri Najib boleh mengagih-agihkan tugasan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada isterinya.

“Mana-mana program yang tidak sempat dihadirinya boleh diserahkan kepada isterinya, kerana isterinya juga bukan calang-calang orang.

“Dengan itu, isterinya boleh diangkat setanding dengan menteri-menteri kabinet yang lain, serta boleh menentukan dasar dan polisi negara,” katanya lagi.

Selain itu, kata Riduan banyak idea dan projek negara serta peruntukan-peruntukan besar boleh ‘disalurkan’ melalui isterinya.

“Ini barulah dinamakan ‘perkongsian bijak’ antara suami dan isteri yang boleh mem’faraid’ kan portfolio menteri antara keduanya,” katanya. -Harakahdaily

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/04/pangku-menteri-wanita-najib-nafi.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular