Sunday, March 18, 2012

Najib timbang 3 Jun tarikh PRU13? Kenapa???

Dilema Najib Untuk Hadapi PRU13
 
Perdana Menteri sudah bersedia, tetapi mahkamah belum lagi. Kes-kes memalukan dijadualkan hanya bermula selepas Jun, iaitu selepas pilihan raya umum ke-13 diramal diadakan. Apa persamaan kontroversi berkenaan?
 
Diumumkan pada hujung minggu lalu bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, terpaksa melepaskan jawatannya berikutan apa yang kini dikenali sebagai ‘skandal lembu’ dan akan berundur pada 8 April apabila tempoh beliau sebagai senator berakhir.

Pada 13 Mac, hari suami, Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan salah guna wang pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin cuba membawa usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan kemelut itu tetapi dimaklumkan oleh speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bahawa perkara itu kini di mahkamah dan adalah sub judice - jika dibincangkan. Ini bermakna pembangkan kehilangan modal berkempen yang mantap.

Pada hujung minggu yang sama, Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan pengerusinya Datuk Zarinah Anwar, akan meletakkan jawatan pada akhir bulan ini berikutan konflik kepentingan peribadi memababitkan suaminya dalam urusan niaga saham.
 
Hujah bagi rayuan dua anggota polis yang disabitkan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, yang sepatutnya didengar pada 10 Februari tetapi kemudiannya ditangguhkan sehingga 9 Mac, kini sekali lagi ditangguhkan sehingga 27 dan 28 Ogos.

Pada 9 Januari, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan meliwat, tetapi pada 25 Januari pihak pendakwaan mengumumkan bahawa mereka akan membuat rayuan. Perbicaraan rayuan keputusan tidak-bersalah itu dijangka berlarutan dan mengambil masa yang lama.

Terdapat pelbagai kontroversi lain, termasuk perbicaraan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung skandal pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang, di mana kerajaan kerugian sebanyak RM12.45 bilion. Kes pendakwaan terhadap Ling selesai beberapa bulan lalu tetapi hanya baru-baru ini diumumkan bahawa beliau mesti membela diri. Tidak pasti bila beliau akan dipanggil untuk berbuat demikian.
 
Apakah kes-kes berkenaan mempunyai persamaan seumpama ini ditunda ke hadapan, soal beberapa pemerhati di Kuala Lumpur.

"Mereka akan cuba menolak segala-gala kes selepas bulan Jun atau Julai yang menjadikan kita semakin yakin pilihan raya umum akan diadakan bulan Jun," kata seorang ahli perniagaan. - Malaysiakini
 
Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei atau Jun ini, lapor Bloomberg hari ini.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bercakap di hadapan sekitar 4,000 orang kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya dari Jabatan Penerangan, yang akan membantu menyelia perjalanan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun, demikian menurut tiga pegawai dipetik laporan portal Bloomberg.

"Kesemua petanda menuju ke arah pilihan raya pada akhir Mei atau awal Jun ini," kata Ong Kian Ming, penganalisis politik dari UCSI.

"Ia adalah masa yang sesuai bagi Najib," katanya.

Kian Ming juga berkata, "jika beliau menunggu lebih lama, skandal-skandal lain akan muncul."

Sehubungan itu katanya, jika keadaan sedemikian wujud, ia sudah pasti akan menjejaskan segala 'suasana mesra' BN yang wujud sekarang, yang antara lain disumbangkan oleh pengagihan bantuan dijanjikan dalam Bajet 2012.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.

Penemuan kajian Merdeka Center yang dikeluarkan minggu lalu menyebut populariti Najib telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu.

Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

Di sebalik peningkatan populariti itu, Najib juga dilihat telah menyelesaikan dua isu besar iaitu skim gaji Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan projek Pusat Fidlot Kebangsaan.

Mandat semasa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir pada April 2013. Sinar Harian

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/najib-timbang-3-jun-tarikh-pru13-kenapa.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular