Wednesday, August 24, 2011

"Tengku Razali" Ditahan Polis


Taktik licik seorang lelaki yang berpakaian kemas untuk menyamar sebagai peguam Istana Negara selain memakai 15 tangkal untuk ‘menundukkan’ mangsa dapat memperdaya 45 individu melibatkan kerugian RM200,000 sejak awal tahun ini.

Gambar: WAN ABDUL BARI menunjukkan seragam pakaian peguam yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

Lelaki berusia 28 tahun dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor itu dikatakan bermulut manis dan pandai membuatkan mangsa terpedaya dengan kata-katanya. Untuk itu, suspek sering menggunakan gelaran ‘Tengku Razali’ atau ‘Tengku Shahrizwan’.


Bagaimanapun, suspek yang mendakwa keturunan kerabat diraja itu akhirnya diberkas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 2 petang, Khamis lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan dari seorang wanita berusia 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, peniaga itu mendakwa dia kerugian RM7,000 selepas barang kemas miliknya dilarikan suspek pada 12 Ogos lalu.

Katanya, kejadian berlaku apabila suspek mendatangi mangsa yang sedang berniaga di kedai makannya di Taman Wahyu, Jalan Ipoh di sini dan memperkenalkan diri sebagai kerabat diraja yang berkhidmat sebagai peguam Istana Negara sehari sebelum itu.

“Ketika itu, suspek menawarkan mangsa peluang untuk membekalkan makanan ke istana lalu dipersetujui mangsa. Keesokannya, dia datang semula dan membawa mangsa ke kediaman diraja itu dengan menaiki Proton Perdana sewa.

“Sebaik tiba di luar pintu istana, suspek memaklumkan mangsa beberapa peraturan sebelum masuk seperti tidak boleh memakai barang kemas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. -kosmo

10 tangkal tak kebal

KUALA LUMPUR: ‘Dilindungi’ 10 tangkal tulisan Arab dipercayai sebagai pendinding tidak mencukupi bagi seorang lelaki yang menyamar kerabat diraja untuk menipu lebih 40 peniaga membabitkan nilai lebih RM200,000 sejak awal tahun ini selepas dia diberkas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, suspek berusia 28 tahun itu menggunakan gelaran ‘Tengku Razali’ dan mendakwa peguam Istana Negara bagi memancing mangsa yang rata-rata terdiri daripada golongan peniaga berusia antara 30 dan 50 tahun.

Suspek yang berasal dari Batu Pahat, Johor dikatakan bersekongkol dengan dua rakannya selain seorang lagi lelaki dari Serendah, Hulu Selangor untuk menjual hasil curinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, berdasarkan aduan seorang penjual kuih wanita di Jalan Wahyu di sini, pada 12 Ogos lalu, pihaknya menjalankan intipan dan risikan ke atas suspek yang menggunakan kereta Proton Perdana V6 warna hitam yang mempunyai lambang Majlis Peguam Negara dan lampu siren yang kebiasaannya digunakan tetamu kehormat (VIP).

“Suspek yang mendakwa peguam Istana Negara itu memakai kot hitam dan menyewa kereta dipasang pelbagai lambang serta mempunyai tag nama pegawai kerajaan.

“Sepasukan polis dari Bahagian D5 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menjejaki lelaki berkenaan sebelum menahannya di kawasan Jalan TAR,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa ditawarkan perniagaan baru seperti penjualan makanan di Istana Negara bagi memperdaya mangsa.

“Dalam perjalanan ke istana, suspek akan mengarahkan mangsa menanggalkan barang kemas, wang tunai dan barangan berharga lain untuk disimpan dalam kereta dengan mendakwa ia dilarang dibawa masuk ke dalam istana.

“Selepas itu, mangsa akan dihantar ke depan pintu istana sebelum suspek melarikan diri dan sehingga kini, lebih 45 mangsa ditipu lelaki itu membabitkan kerugian lebih RM200,000,” katanya. -hm / GB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular