Monday, April 8, 2013

Berbicara kepada orang Melayu Oleh Zaid Ibrahim

AKHIRNYA kita akan mengadakan pilihan raya umum. Penantian berbulan-bulan telah memberikan kesan pada kebanyakan orang; tetapi adalah penting supaya mereka terus bertenaga dan bersemangat; dan bekerja keras bagi menjadikan pilihan raya kali ini sebuah pilihan raya yang benar-benar bermakna.
Minggu ini saya mahu berbicara kepada orang Melayu. Orang Melayu merupakan kelompok pengundi terbesar. Bagi saya, ini merupakan peluang anda untuk memiliki sebuah kerajaan yang baru. Sebuah kerajaan yang baru akan membolehkan anda membandingkannya dengan kerajaan yang ada sekarang.

Anda telah berkali-kali diberitahu bahawa tiada siapa yang boleh memerintah dan melindungi anda selain UMNO/BN; tetapi tidakkah lebih baik anda cuba mencari kebenarannya sendiri. Bagaimana kita tahu yang Pakatan akan lebih teruk daripada UMNO jika kita tidak memberikan peluang kepada mereka (Pakatan).

Anda perlu berani dan tidak membiarkan orang lain membuli anda dengan menakut-nakutkan atau mengugut anda. Parti-parti Pembangkang mempunyai lebih ramai orang Melayu berbanding BN; jadi mereka (parti-parti Pembangkang) tidak akan memudaratkan anda. Mereka (Pembangkang) telah bekerja keras dan mereka patut mendapat peluang.

Siapa tahu, mungkin anda dapat sekolah-sekolah yang lebih baik, guru-guru yang lebih baik untuk anak-anak anda (kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengajar daripada berpolitik) dan memperoleh perlindungan keselamatan yang lebih baik daripada pasukan polis dan tentera kita.

Bukan itu sahaja, malah pendapatan isi rumah anda juga boleh jadi bertambah baik oleh sebab kerajaan akan mempunyai pendapatan yang lebih banyak untuk dikongsi dengan rakyat kerana kurangnya pemimpin-pemimpin yang rasuah.

Anda sama sekali tidak akan rugi jika anda mengundi Pembangkang. Jika Pembangkang menjadi lebih kuat lantaran sokongan anda, tetapi BN masih juga menang pilihan raya, anda akan mendapat lebih banyak pemberian wang yang telah dijanjikan oleh BN.

Wang dan semua projek itu diberikan kepada anda tidak lain kerana ketika itu Pembangkang berada pada kedudukan yang kuat; kalaulah ketika itu Pembangkang lemah, tidak mungkin anda akan merasai pemberian BR1M 1 dan BR1M 2.

Oleh itu, logiknya, anda kenalah mengundi Pembangkang jika anda mahukan yang lebih banyak daripada BN. Belajarlah meletakkan nilai pada undi anda untuk menambah baik kehidupan anda.

UMNO akan menggunakan segala taktik menakut-nakutkan, umpamanya dengan memberitahu anda bahawa Islam tidak lagi akan menjadi agama rasmi dan Raja-Raja Melayu akan hilang dari muka bumi Malaysia ini jika Pembangkang menang.

Seharusnya anda tanyakan kepada anak cucu anda sama ada dakwaan seperti itu ada kebenarannya. Anak cucu anda akan memberitahu anda bahawa dakwaan itu semuanya karut belaka; ia tidak lebih daripada taktik menakut-nakutkan yang dilakukan oleh mereka yang sedang terdesak untuk terus berpaut pada kuasa ketika segala-galanya yang lain gagal.
Orang Melayu perlu mengubah kesetiaan mereka dan memberikan sokongan kepada PAS sebagai `pelindung’ mereka. PAS merupakan sebuah parti orang Melayu seperti juga UMNO. Bezanya: PAS tidak pernah diberikan kepercayaan dan amanah untuk memerintah negara.

Jika orang Melayu boleh memberikan 50 tahun kepada UMNO untuk mentadbir negara ini, sudah pasti tidak keterlaluan untuk memberikan PAS sekurang-kurangnya 5 tahun. Memberikan peluang kepada PAS untuk memerintah (sudah tentu dalam pakatan bersama PKR dan DAP) merupakan saat bersejarah dan orang Melayu mesti merampas peluang itu.

Jika nanti PAS didapati tidak boleh mentadbir dengan baik, rakyat boleh saja kembali kepada UMNO. Orang Melayu memerlukan pilihan demi kesejahteraan mereka dan anak cucu mereka sendiri. Mereka tidak pernah menikmatinya semenjak 50 tahun yang lalu.

Saya tahu, orang Melayu mudah dipujuk supaya menyokong pemimpin-pemimpin mereka dan supaya tidak membantah atau menentang mereka. Orang Melayu akan diingatkan mengenai pemberian tunai dan segala macam bantuan yang telah diberikan kepada mereka. Mereka akan diingatkan dan diberitahu supaya bersyukur.

Mereka akan diberitahu bahawa BN dan kerajaan adalah dua benda yang sama dan jika anda mahukan lebih banyak lagi daripada kerajaan, maka hanya para pemimpin BN sahajalah yang boleh menolong anda.

Sekali lagi saya menggesa anda supaya suarakan hal ini kepada anak cucu anda. Wang /gaji yang diberikan oleh para pemimpin BN sebagai tukaran undi, bukanlah wang BN; ia wang kepunyaan rakyat negara ini.

Adalah salah untuk para pemimpin menyogok /merasuah anda untuk mendapatkan undi anda. Mereka tidak pernah jujur atau ikhlas kepada anda. Tidak salah kalau anda mengundi pemimpin/parti pilihan anda dan terus menyimpan wang tersebut. Malah, jika anda mengundi Pembangkang maka terpaksalah BN memberikan lebih banyak lagi pada tahun depan. Mana-mana pun, anda tetap menang apabila menyokong Pembangkang. – Roketkini.com

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular