Sunday, July 24, 2011

'ini pemimpin auta', cakap tak serupa bikin!

NAJIB HORMATI PADERI, TETAPI BENCI ULAMA?


Saudara Pengarang,
ATAS niat atau atas alasan apa, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertemu Pope Benedict di Vatican? Hanya beliau dan Allah s.w.t. juga yang maha mengetahuinya.

Kalau niat bertemu Pope Benedict semata-mata untuk mengharapkan pemimpin negara-negara Barat termasuk Amerika yang hampir kesemuanya beragama Kristian bagi mengendurkan kutukan ke atas tindakan tidak demokratik dalam menangani himpunan Bersih2.0, maka Najib sebenarnya telah gagal.

Najib mesti belajar dari senario yang melanda dunia Arab dan Afrika, walaupun Hillary Clinton cuba untuk mengendurkan kebencian rakyat ke atas para pemimpin boneka Amerika yang menjadi pecacai kepada George Bush, Obama dan Hillary Clinton; yang sekian lama bertindak menzalimi rakyat mereka.

Akhirnya, para pemimpin zalim yang lena dibuai dengan kemewahan takhta dan singgahsana berdekad lamanya, terpaksa tunduk akur dengan desakan yang kemuncaknya menyaksikan rakyat sudah berani mempertaruhkan nyawa mereka, bagi merealisasikan impian wujudnya negara yang diterajui oleh pemimpin yang adil dan mempunyai ciri-ciri berkebajikan.

Kunjungan hormat oleh Najib ke atas Pope Benedict wajar diberikan sokongan oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia. Ia adalah simbolik di atas sifat seorang manusia yang dinukilkan dalam Alquran sebagai 'kepelbagaian bangsa yang dijadikan oleh Allah untuk kita saling kenal-mengenali antara satu dengan yang lain'.

Saranan Najib supaya penganut pelbagai agama menghormati antara satu dengan yang lain mesti disertai dengan terjemahan praktis mengiktiraf dan menghormati perintah Allah, yang menghendaki setiap hambaNya tunduk kepada peraturan hidup yang digariskan dalam kitab yang Tan Sri Muhyiddin akui sebagai kitab yang mengandungi mukjizat iaitu Al-Quranul Qarim.

Satu ungkapan dalam bahasa Inggeris yang cukup popular 'Easier said than done' yang maknanya lebih kurang 'mudah cakap dari dilaksanakan'; membawa maksud bahawa hanya pemimpin yang komited kepada prinsip agama sahaja mampu menyerlahkan konsistensi dalam segala tindak-tanduk mereka.

Najib dan kerajaan UMNO/BN mengamalkan sifat talam dua muka dan memakai topeng yang berbeza ketika berada di luar negara. Menasihati manusia supaya mempunyai rasa hormat terhadap manusia lain yang berbeza agama mesti bermula dari pemimpin dan hendaklah dimulakan dalam negara ini terlebih dahulu.

Najib mesti membuktikan 'cakap serupa bikin' dengan menghormati mandat rakyat Kelantan supaya memberikan kebenaran ke atas Kerajaan Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah yang telah diluluskan oleh DUN Kelantan.

Penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan telah ditentang kuat oleh UMNO/BN yang diterajui oleh Perdana Menteri terdahulu, Tun Dr. Mahathir. Sekarang masanya untuk Najib membuktikan bahawa dia seorang pemimpin yang punya prinsip yang konsisten yang bercakap dengan nada yang sama ketika berada di luar negara dan ketika berada dalam negara.

Kalau tidak, rakyat akan kata 'ini pemimpin auta', cakap tak serupa bikin!

Dalam ucapan kepada lebih 3,000 penyokongnya di Sepang, Najib menyatakan kesediaan kerajaan untuk berinteraksi dengan mana-mana pihak yang cintakan keadilan dan menghormati kepemimpinan Islam.

Najib juga menyentuh tentang sifat kesederhanaan dan menganjurkan supaya rakyat menjadikan kesederhanaan sebagai amalan dalam kehidupan mereka. Sekali lagi, Najib mesti membuktikan bahawa dia faham erti kesederhaan.

Membaiki rumah Perdana Menteri dengan perbelanjaan mencecah sehingga lebih RM40 juta adalah keterlaluan, bukan sederhana! Memberikan kebenaran awal supaya Himpunan Bersih 2.0 diadakan di stadium lalu, kemudian menarik balik kebenaran tersebut, bukan sifat sederhana tetapi sifat seorang 'pembelit'.

Menghormati Pope Benedict, tetapi memperlekeh seorang Menteri Besar bertaraf ulama berjiwa rakyat adalah keterlaluan, bukan sederhana. Merampas wang royalti milik Negeri Kelantan, tetapi melepaskan begitu sahajaTanjung Pagar serta Pulau Batu Putih kepada Singapura adalah melampau, bukan sederhana.

Memancutkan air berasid kepada penyokong perhimpunan aman BERISH 2.0 adalah keterlaluan, bukan sederhana.

Saya menasihatkan Najib supaya belajar daripada sejarah keperibadian Muhammad al-Fateh yang digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri.

Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman.

Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah.

Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan kezaliman yang telah dilakukan oleh penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan Muhammad al-Fateh, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus melafazkankeislaman mereka.

Menyelami sejarah tokoh-tokoh Islam zaman lampau dan kontemporari, yang kepentingan mereka hanya untuk agama dan ummah; pasti akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menerima hakikat bahawa kekuasaan hanyalah bersifat sementara dan ia hanya wajar dipertahankan melalui prinsip manusiawi dengan menolak jalan songang penuh penipuan.

Kuasa mesti tunduk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Yang Maha Berkuasa kerana bumi yang kita diami ini adalah milik Yang Maha Berkuasa dan kita pasti akan dikembalikan kepadaNya pada saat dan tempat yang Dia sahaja yang mengetahuinya.

Salam Hormat,

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular