KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berbohong kerana undang-undang yang diperincikan dalam peruntukan Akta Pilihan Raya dibuat sendiri oleh SPR, kata pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Justeru, katanya, kenyataan Wan Ahmad bahawa SPR tidak ada kuasa di bawah
Perlembagaan untuk melaksana tuntutan Bersih disebabkan mengikut telunjuk parti pemerintah.
“Wan Ahmad berbohong kerana undang-undang yang memperincikan peruntukan dalam Akta Pilihan Raya umpamanya dibuat oleh SPR. Ini semua dalam bentuk Peraturan atau Perintah yang kesemuanya dipanggil undang-undang kecil (bye-laws),” kata Aziz.
Menurut Aziz, tugas SPR sebagai badan mengurus pilihan raya seperti dinyatakan dalam perlembagaan, mempunyai makna luas dan merangkumi semua aspek.
“Terpulang kepada SPR untuk buat atau tidak. Masalahnya SPR memilih untuk menyerahkannya kepada Umno-BN yang menjadi teraju pemerintahan sekarang,” kata Aziz dalam jawapannya kepada Keadilandaily.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Wan Ahmad semasa debat bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.
Menurut Aziz, perlembagaan turut memberi perlindungan kepada SPR, antaranya pengerusi SPR tidak boleh dipecat kecuali melalui prosedur yang sama seperti hakim mahkamah.
“Masalahnya perkara yang dalam bidang kuasa mereka pun enggan dibuat. Senarai pengundi masih tak selesai sedangkan itu kerja mereka. Pendek kata, SPR ini mengambil sikap ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’,” jelas Aziz.
Beliau membidas hujah SPR yang mengatakan badan itu perlu mendapat lampu hijau dari kerajaan untuk melaksanakan sesuatu pendekatan baru, termasuk Peguam Negara.
“Ini karut kerana kerajaan yang memerintah adalah sebahagian daripada ‘pemain’. Kalau begitu SPR juga kena ikut cadangan Pakatan Rakyat (PR).
“(Tetapi) bila PR kata tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri untuk pilihan raya umum ke-13, SPR mengatakan yang pilihan raya berasingan susah, mahal dan lain-lain. Sedangkan itu dibenarkan oleh perlembagaan.
“Ini menunjukkan SPR selesa untuk mengikut apa sahaja kata Umno-BN meskipun tiada atau bertentangan dengan perlembagaan. Ini tidak selaras dengan tugas mereka mewujudkan pilihan raya yang bebas dan adil,” tegas Aziz.
Selain itu katanya, SPR juga dilihat enggan menuruti sebarang inisiatif yang dibuat PR termasuk cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Malah, katanya, SPR juga enggan menerima Pakatan Rakyat sebagai satu entiti.
“Ertinya bila dengan Umno-BN, mereka akan cari jalan untuk buat apa sahaja termasuk meminda undang-undang.
“Tapi kalau dengan Pakatan, mereka akan cari jalan untuk tidak laksanakan meskipun ia sesuatu yang logik dan telah dilaksanakan di negara lain. - KD
No comments:
Post a Comment