Tuesday, July 26, 2011

Kandungan Memorendum Yang Sepatutnya Diserahkan Pada 9 Julai


Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan segala kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,

Patik sekalian merafak sembah Kebawah Duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memohon izin untuk mengusulkan rayuan kami mengenai penambahbaikan sistem dan proses pilihanraya di Malaysia.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0) yang disertai enam puluh dua (62) badan-badan masyarakat madani menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di atas perkenan kami mengadap pada 5 Julai 2011 lalu.

BERSIH 2.0 percaya sudah tiba masanya menambahbaik pilihanraya di Malaysia. Demokrasi yang berjaya adalah demokrasi yang dibina berlandaskan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil. Hak untuk mengundi termaktub di bawah Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Mengundi adalah penting bagi membolehkan rakyat mempunyai suara yang aktif dalam kerajaan dan untuk memastikan perlindungan hak asasi yang lain.

Walaubagaimanapun, sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil harus diadakan supaya para pengundi dapat menikmati sepenuhnya hak untuk mengundi dan supaya undi-undi mereka dicerminkan dengan tepat dalam urusan tadbir negara. Pilihan raya yang bersih, bebas dan adil juga akan mengelak pertikaian keputusan pilihanraya yang jika berlaku boleh menjejaskan keamanan dan kemakmuran negara.

Adalah menjadi hasrat dan niat BERSIH 2.0 bersama ribuan rakyat Tuanku yang berhimpun pada hari ini, Sabtu 9 Julai 2011, dengan menjunjung kasih memohon kepada Tuanku agar dapat ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan di dalam dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihanraya yang sedia ada. Suruhanjaya ini, BERSIH 2.0 memohon dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan (stakeholders).

Ampun Tuanku,

Memandangkan pilihanraya umum boleh diadakan pada bila-bila masa, BERSIH 2.0 bersama ribuan rakyat Tuanku yang berhimpun pada hari ini, dengan menjunjung setinggi-tinggi kasih memohon kepada Tuanku agar lapan (8) langkah-langkah jangka pendek dapat dipenuhi sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

1. Bersihkan senarai undi

Senarai undi harus dibersihkan untuk memastikan ketidakaturan yang sedia ada seperti penyamaran dan ‘pengundi hantu’ disingkirkan.
Dalam jangka masa panjang, BERSIH 2.0 mencadangkan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan berdasarkan data di Jabatan Pendaftaran Negara.

2. Mereformasikan undi pos

Sistem undian pos yang sedia ada perlu diperbaharui. Penafian hak terhadap pengundi yang tidak dapat hadir boleh diselesaikan dengan memberi pilihan kepada semua pengundi untuk mengundi melalui pos ataupun secara lebih awal jika mereka tidak dapat hadir di kawasan pengundian pada hari mengundi, tidak kira sama ada mereka berada di Malaysia mahupun di luar negara. Anggota Polis, tentera dan penjawat awam harus mengundi secara biasa seperti para pengundi lain jika mereka tidak bertugas pada hari mengundi. Bagi memastikan ketelusan proses undian pos, ejen-ejen parti politik harus dibenarkan untuk memantau keseluruhan proses undian pos atau undian lebih awal.

3. Gunakan dakwat kekal

Dakwat kekal adalah penyelesaian yang mudah, menjimatkan dan berkesan bagi mengelakkan pengundian berganda.

4. Masa kempen minima 21 hari

Tempoh kempen minimum dua puluh satu (21) hari akan memberi lebih masa kepada para pengundi untuk mengumpul maklumat dan mempertimbangkan pilihan mereka.

5. Akses media yang bebas dan adil

Semua agensi media, terutamanya agensi media yang dibiayai oleh kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama, harus memperuntukkan liputan yang seimbang dan objektif terhadap semua parti politik. Debat umum antara para calon harus disiarkan.

6. Kukuhkan institusi awam

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) harus melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya untuk bertidak secara bebas dan saksama supaya mendapat keyakinan orang ramai. SPR harus mengambil langkah-langkah bebas dan proaktif untuk menegakkan integriti proses pilihanraya dan menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 seperti yang dimandatkan oleh Akta Pilihan Raya 1958. Kenyataan SPR yang berulang kali bahawa mereka tiada kuasa untuk bertindak adalah salah dari segi undang-undang dan tidak membangkitkan keyakinan orang ramai dalam kebolehan SPR untuk memenuhi peranan perlembagaan mereka.

Selain daripada SPR, institusi-institusi awam seperti Badan Kehakiman, Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia harus bertindak dengan bebas, saksama dan penuh integriti pada setiap masa dalam melaksanakan tanggungjawab menurut Perlembagaan Persekutuan.

7. Hentikan rasuah

Semua bentuk pembelian undi, termasuklah janji peruntukan kewangan bagi projek-projek pembangunan oleh wakil-wakil rakyat semasa tempoh kempen, harus diberhentikan. Tindakan tegas mesti diambil ke atas semua yang mengamalkan sebarang bentuk pembelian undi.

8. Hentikan politik kotor

Rakyat Tuanku sudah jemu dengan politik kotor yang semakin menjadi ciri utama politik Malaysia. Kesemua parti dan ahli politik hendaklah berhenti mengamalkan politik kotor. Rakyat dan pengundi, lebih berminat mendengar polisi dan perancangan yang ingin dijalankan.

Ampun Tuanku,

Pada hari ini, Sabtu 9 Julai 2011, di Kuala Lumpur, BERSIH 2.0 bersama dengan ribuan rakyat Tuanku telah bersatu dalam satu perhimpunan damai untuk merealisasikan reformasi pilihanraya, penegakan prinsip-prinsip demokrasi dan menuntut hak untuk pilihanraya yang bersih, bebas dan adil bagi Malaysia.

Rakyat Tuanku telah melalui berbagai-bagai halangan dan kesusahan hanya kerana ingin menjadikan pilihanraya di negara Malaysia yang terbaik di dunia.

Ramai di antara kami yang ditahan atau dikenakan tindakan undang-undang. Rakyat Tuanku yang berhimpun pada hari ini, dengan menjunjung kasih memohon kepada Tuanku agar semua yang telah ditahan berkaitan sokongan kepada BERSIH 2.0 dibebaskan dan tindakan undang-undang digugurkan.

BERSIH 2.0 bersama dengan ribuan rakyat Tuanku menjunjung setinggi-tinggi kasih, secara khusus memohon kepada Tuanku agar keenam-enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Dr. Michael Jayakumar Devaraj yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dibebaskan serta-merta, atau dihadapkan ke mahkamah.

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,

Sekian sahaja kami patik-patik sembah maklum, diiringi dengan salam takzim jua adanya. Amin Ya-Rabbal-Alamin dan Jazakallahu Khairan Kathira.

Mohon di ampun,

Wassalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Jawatankuasa Pepandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), mewakili Rakyat Tuanku yang mengusul,

1. Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi)
2. Andrew Khoo
3. Arul Prakkash
4. Arumugam K.
5. Dr Farouk Musa
6. Haris Ibrahim
7. Liau Kok Fah
8. Maria Chin Abdullah
9. Richard Y W Yeoh
10. Dr Subramaniam Pillay
11. Dato’ Dr Toh Kin Woon
12. Dr Wong Chin Huat
13. Dato' Yeo Yang Poh
14. Zaid Kamaruddin

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular