Monday, July 25, 2011

GERAKKAN & MCA terang-terang telah menyalahkan UMNO

UMNO - Kesuntukan masa untuk berubah
Tan Sri Muhyiddin mengingatkan komponen dalam BN supaya menghentikan perpecahan di antara satu dengan lain serta mengingatkan juga UMNO dan ahli-ahlinya supaya bersatu untuk menghadapi pilihanraya yang tidak berapa bulan sahaja lagi. Selama ini BN memang satu gagasan yang mana parti-parti di dalamnya mempunyai disiplin dengan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh merosakan perhubungan di antara satu parti dengan parti yang lain.

Tetapi sejak kekalahan banyak kerusi di dalam pilihanraya yang lalu dan kehilangan 5 buah kerajaan negeri parti-parti komponen mula menyanggah di antara satu dengan lain dengan pemimpin-pemimpin masing-masing menuduh parti-parti dalam komponen bertanggungjawab di atas kekalahan itu. 

GERAKKAN misalnya, terang-terang telah menyalahkan UMNO kerana kelemahan pimpinannya dan oleh kerana terlalu sabar mengikut telunjuk sambil melihat perangai dan ragam UMNO maka UMNO telah membawa parti-parti lain terkorban bersama di dalam pilihanraya itu. 

MCA juga pernah mendakwa yang UMNO merupakan parti yang bertanggungjawab atas kekalahan itu dan menyalahkan UMNO yang berjuang dengan sikap rasisnya telah menyiahkan sokongan kaum Cina dan bangsa lain dalam pemilihan itu. MCA dengan lantang telah meminta kerajaan suapaya memberi peluang sama-rata dan membuang keistimewaan orang-orang Melayu di dalam perdagangan dan perindustrian. Dasar-dasar kerajaan memberi keistimewaan orang-orang Melayu itu telah memerangkap negara kita ke dalam ‘middle-income trap’ dan cita-cita untuk menjadikan negara sebagai negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi akan terbantut.



Kenyataan-kenyataan pimpinan MCA ini telah mendapat reaksi panas dari UMNO dan beberapa orang pemimpinnya telah meminta MCA supaya keluar dari gagasan BN. Perkasa juga telah mengambil kesempatan untuk masuk dalam gelanggang polimik dengan parti-parti yang didominasi oleh bangsa Cina dan sikap rasis yang tinggi yang ditunjukan oleh Perkasa telah membuatkan orang-orang Cina conclusive untuk menolak BN tunjangan UMNO ini.

Kata-kata telah terlanjur. Kata perbilangan ‘terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata membawa padah’ kepada diri kita sendiri. Bukti-bukti jelas memang telah kita alami sebelum ini tetapi kita pernah mahu belajar dari kesilapan-kesilapan yang terdahulu. Orang-orang Cina sekarang tidak ada halangan untuk menyokong PAS dan ini bukannya elemen baru dalam politik negara. 

Pada tahun 1969 Dr Mahathir telah tumpas di tangan PAS di Kota Setar kerana mulut celuparnya. Mahathir telah berkata yang beliau tidak memerlukan undi Cina kerana Mahathir menyangka yang orang Cina tidak akan mengundi PAS. Tetapi jangkaan beliau meleset kerana orang-orang Cina telah memberikan undi yang padu kepada Mursyidul Am PAS semasa itu Hj Yusuf Rawa. Dr Mahathir telah tumpas dengan majoriti undi sebanyak seribu lebih kerana lidahya sendiri.




Ahmad IsmailBagi pandangan politik rasis yang sangat menebal pada hari ini tidak mudah untuk di ubati. Rakyat ramai sudah begitu mual dengan isu rasis ini siang dan malam. UMNO menggunakan isu rasis ini untuk menyatukan orang Melayu di bawahnya sedangkan orang Melayu sendiri sudah penat dengan isu rasis ini. Orang Melayu sendiri berfikir yang mereka tidak boleh tahan dengan isu ini kerana mereka sendiri mempersoalkan apa yang mereka dapat dengan peningkatan isu ini. 

Malahan jika berjaya pun ianya akan membelahkan lagi rakyat yang inginkan kerukunan dan melihat bagaimana pemimpin UMNO kita sendiri mengambil kesempatan di atas sokongan orang Melayu untuk memperkayakan diri sendiri sedangkan mereka sedang berperang dengan berbagai-bagai isu seperti kenaikan harga barangan yang melibatkan kehidupan seharian mereka. 

Isu imej pimpinan UMNO bukan isu kecil kerana dalam politik elemen persepsi itu adalah proponent yang terpenting di dalamnya. Apabila imej sudah begitu tercalar selalunya ia tidak akan kembali pulih seperti sediakala lagi. Itu tidak ada siapa yang boleh memberikan jawapan kenapa keadaan itu berlaku, tetapi itulah dia kenyataannya. 

Contohnya isu rasuah yang bermain di bibir semua rakyat pada hari ini. Semua orang yang berfikir akan mengakui yang rasuah ini terutamanya rasuah yang besar-besar itu merupakan penyakit ketagihan. Ketagihan rasuah ini merupakan imej yang melekat dan menjadi stigma kepada UMNO dan pimpinan BN. Tetapi masih lagi ramai yang percaya yang imej rasuah ini boleh dibersihkan dengan retorik dan pengumuman acronym-acronym yang hebat-hebat dari Idris Jala. 

Membilang acronym yang banyak tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada persepsi rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk membersihkan imejnya dan seterusnya mendapat sokongan ramai. Rakyat tetap mahukan ‘result’ secara organic. Jika kita lihat pengalaman rakyat yang sedang menghadapi kesempitan kehidupan pada hari ini dengan kos kehidupan yang tinggi dan standard kehidupan yang menurun, laungan pemimpin untuk menjadikan negara ini negara yang berpendapatan tinggi sangat payah untuk diyakini rakyat.

Sikap ‘defensive’ pemimpin kita pada hari ini menambahkan ‘apprehension’ rakyat ramai untuk meyakinkan diri mereka yang pimpinan kita menpunyai masa yang cukup untuk membetulkan keadaan. Apa yang kita lihat pada hari ini tindakan pimpinan kita hanyalah setakat menyambung yang putus dan menampal lubang-lubang yang bertaburan di merata-rata tempat. Kadangkala lubang-lubang itu terlalu besar sehinggakan tidak boleh ditampal lagi.

Rakyat mahukan perubahan yang hakiki. Tuntutan rakyat ini tidak akan dapat dipenuhi dengan ‘walk-about’ dan yang sepertinya. Kalau ‘walk-about’ secara ini dilakukan pada tahun-tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan mungkin boleh laku, tetapi tidak lagi sekarang kerana setakat bersalaman dengan pemimpin tidak akan dapat mengubah keadaan.

Rakyat tidak payah pun mengenali pemimpin tetapi yang rakyat mahu dan tuntut pada hari ini ialah dasar-dasar baik yang memberi faedah secara ‘direct’ kepada rakyat yang datang ‘walk-about’ dengan mereka. ‘Walk-about’ pemimpin hanya merasa makan karipap dan minum air bandung sahaja……tidak boleh menaikan pendapatan dan merapatkan jurang perbezaan kaum. yang berpecah-pecah kini.

Najib perlu membetulkan masalah dalaman UMNO dahulu dan di turuti dengan masalah di kalangan parti-parti komponen BN. Muhyiddin tidak payah berulang alik ke Sarawak kerana Sarawak BNnya kuat. Lagi pun UMNO tidak wujud di Sarawak. Tidak perlu bersuluh di tempat yang terang. Yang perlu di suluhkan ialah tempat-tempat yang mana BN dalam kegagalan.

Yang perlu di perbetulkan oleh Muhyiddin ialah masalah rasuah yang dikaitkan dengan pimpinan BN khususnya UMNO. Yang lebih penting lagi ialah masalah rasis yang mendalam. Itulah sebabnya Muhyiddin telah melakukan kesilapan dengan meminta Perkasa mempergiatkan hentaman terhadap parti-parti politik pembangkang dan NGO NGO yang mereka anggap di dalangi pembangkang. Jika Perkasa dianggap rasis maka itu jugalah anggapan ramai terhadap UMNO.

Yang lebih serius lagi UMNO perlu cari nama atau orangnya yang akan dijadikan Menteri Besar di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang serta Kelantan jika BN menang. Saya bersama ramai orang yang sependapat dengan saya tidak nampak ada nama yang ‘viable’ untuk ditonjolkan di negeri-negari ini. Kalau ini tidak di selesaikan janganlah menaruh harapan untuk mengambil kembali kerajaan-kerajaan negari ini. Tidak mungkin pemimpin UMNO sekarang yang telah menyebabkan jatuhnya negeri ini untuk di gunakan bagi mengambil alih kembali pimpinan negeri-negeri itu.

Penyakit rasuah ini merupakan penyakit yang begitu contagious dan ianya telah meresap kedalam sistem dan jiwa hampir kesemua pimpinan UMNO. Betul atau tidak saya pun tidak begitu tahu….tetapi itulah yang dipersepsikan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO setiap peringkat.



Untuk menghilangkan persepsi ini tidak cukup untuk memaksa mendiang Teoh Beng Hock untuk menjadi saksi pendakwa untuk membuktikan pimpinan Pakatan Rakyat juga rasuah.

Rasuah itu adalah stigma yang melekat kepada batang tubuh UMNO. Rakyat telah menganggap rasuah dan UMNO itu ibarat aur dengan tebing, saling sandar menyandar di antara satu dengan yang lain.

Mungkin masa terlalu suntuk untuk parti ini berubah. - Aspan Alias




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular