Tuesday, September 3, 2013

Malaysia sudah dijangkiti penyakit hiburan keterlaluan

Wajarkah Konsert ‘Lamb Of God’ Dianjurkan?
Malaysia sudah dijangkiti penyakit hiburan keterlaluan dengan membawa masuk kumpulan rock metal dan muzik yang ekstrem serta lagu-lagu yang membawa mesej yang negatif.


Dengan penganjurannya konsert kumpulan Lamb of God daripada Amerika yang dijadualkan pada 28 September depan, dibimbangi akan menjerumuskan anak-anak muda negara ini dan umat Islam dengan kerosakan akhlak dan aqidah yang lebih parah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa sedih sekiranya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan konsert kumpulan muzik yang membawa muzik keras dan melampau itu.

“DPPM mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia agar menyatakan pendirian terhadap konsert ini. Sepatutnya Kementerian bertanggungjawab membudayakan masyarakat dengan aktiviti yang membina minda dan berfaedah, bukannya memburukkan lagi keadaan di negara ini.

“Dalam keadaan anak-anak muda yang hilang arah dan haluannya, kerajaan pula turut menyumbang dengan penganjuran konsert kumpulan rock metal seperti ini. Apa untungnya kepada masyarakat terutama kepada aqidah umat Islam serta pembangunan syakhsiyah umat Islam di negara ini?,”soal Setiausaha DPPM Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa pemimpin negara sanggup merosakkan masyarakat hanya semata-mata mahu memuaskan kehendak segelintir peminat yang gila?

DPPM menegaskan, sekiranya kerajaan benar-benar membela rakyat, agama dan membina generasi muda di negara ini, kerajaan perlu bertegas tidak membenarkan artis seumpama ini diberi ruang mengadakan konsert di Malaysia.

“Banyak lagi artis yang sopan, memenuhi citarasa masyarakat Malaysia dan membawa mesej positif boleh di bawa masuk mengadakan konsert di negara ini selain artis-artis liar dan merosakkan,”jelasnya

Jakim bantah Lamb of God, konsert lain bagaimana?
KUALA LUMPUR- Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantah kehadiran kumpulan heavy metal ‘Lamb Of God’ yang dijadualkan membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.

DPPM menganggap bantahan Jakim selari dengan keresahan umat Islam terhadap penganjuran kumpulan artis tersebut.

“Umum mengetahui bahawa kumpulan tersebut menimbulkan kontroversi kerana imej dan penampilan mereka yang menghina Islam.

“Dikhuatiri persembahan kumpulan tersebut akan menimbulkan krisis akidah, permasalahan moral serta keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak muda yang lebih parah,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Namun demikian, katanya DPPM merasa musykil kerana Jakim jarang bersuara menyatakan bantahan sama seperti yang dibuat terhadap Kumpulan Lamb Of God.

Sebelum ini, kata beliau banyak pihak telah membantah penganjuran kosert heavy metal Metallica, kumpulan rock Linkin’ Park dan lain-lain lagi.

Malah, ujarnya DPPM serta NGO-NGO juga pernah membantah persembahan artis kontroversi dan berimej seksi seperti Beyonce Knowles, Avril Lavigne, Adam Lambert, Inul Daratista, Rihanna, Erykah Badu dan lain-lain.

“DPPM berpandangan Jakim seharusnya bersifat tegas dengan membantah mana-mana persembahan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia serta boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sebagai organisasi kerajaan yang menjaga urusan umat Islam, Jakim menjadi panduan dan rujukan umat Islam serta menjadi benteng mempertahankan akidah dan syakhsiyah umat Islam.

Tegasnya, perbuatan amar ma’aruf nahi mungkar (mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar) perlu dimulakan oleh kerajaan dan Jakim menjadi tunjangnya sebelum diikuti oleh NGO dan parti-parti politik.

Oleh itu, kata beliau DPPM mengharapkan agar JAKIM konsisten serta aktif dalam memastikan apa juga aktiviti yang dianjurkan mengikut syariat Islam termasuk penganjuran konsert.

“Jakim menjadi contoh teladan kepada umat Islam agar bangkit mempertahankan agamanya daripada dirosakkan oleh aktiviti mungkar yang berleluasa di negara ini,” katanya. -harakahdaily

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular