Thursday, August 9, 2012

“Fatwa” Utusan : Bukti dasar 1Malaysia ciptaan Najib Razak hancur ..

“Fatwa” Utusan: Hancurnya impian 1Malaysia
Berita muka hadapan Utusan Malaysia, hari ini yang bertajuk “Haram sokong DAP” adalah perbuatan amat terdesak lidah rasmi UMNO itu untuk membangkitkan kebencian orang Melayu terhadap DAP yang gigih menentang rasuah dan salah guna kuasa.


Menyifatkan laporan berita Utusan tersebut sebagai “lolongan keterlaluan”, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata ia mencerminkan Utusan sebagai akhbar anti-nasional dan anti-Malaysia. “Adakah Utusan Malaysia cuba untuk menghasut dan mengapi-apikan konflik agama di Malaysia?” soal beliau.
 
Katanya, isunya bukan siapa yang mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi ia melibatkan tanggungjawab dan etika sebuah akhbar yang dimiliki pemerintah boleh menerbitkan fitnah sedemikian rupa. 

“Laporan Utusan hari ini jelas membuktikan dasar 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Najib Razak demi membina kesatuan Malaysia yang meletakkan keutamaan pertama sebagai rakyat Malaysia sudah hancur luluh. “Ia bukan sahaja bertentangan dengan dasar 1Malaysia Perdana Menteri Najib Razak sejak tiga tahun lalu tetapi bertentangan dengan intipati pembinaan negara Malaysia dalam tempoh lima dekad,” ujarnya. 

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu turut berkata, isu yang dimainkan ini seolah-olah sebuah konspirasi bagi membuktikan ramalan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jun lalu yang menyatakan bahwa pilihanraya umum akan datang ini dipenuhi dengan sentimen perkauman. “Atau Najib mengakui bahawa beliau telah gagal sepenuhnya mengawal Utusan Malaysia yang mana akhbar tersebut sekarang dikawal oleh panglima perang UMNO yang tidak lagi terikat dengannya dan dasar kebangsaan yang ditaja UMNO-BN. 

“Mungkin itulah sebabnya 10,000 cybertroopers UMNO-BN dilancarkan untuk memutarbelit dan menyebarkan pembohongan termasuk membabitkan isu filem “Tanda Putera” yang ditaja kerajaan BN berkisar kejadian 13 Mei 1969 yang dipenuhi dengan fitnah,” katanya. 

Kit Siang menjelaskan filem “Tanda Putera” yang ditaja oleh pemerintah UMNO-BN merupakan sebuah fitnah terbesar, dan tuduhan paling liar dan tidak berasas serta melulu dan keji. Katanya, filem itu cuba menggambarkan kononnya beliau (Kit Siang) dalam rusuhan 13 Mei 1969 telah melakukan provokasi terhadap perarakan jalanan dan telah didakwa membunuh orang Melayu, malah kencing pada tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor. 

Sedangkan, Kit Siang tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 11,12 dan 13 Mei 1969. Malah beliau yang berada di luar Kuala Lumpur hanya kembali selepas 17 Mei 1969 dan ditahan di bawah ISA. Malah, sewaktu ditahan tanpa bicara di bawah ISA, para pegawai penyiasat tidak pernah menyoal siasat beliau tentang rusuhan 13 Mei. Semua itu ada dalam rekod pihak berkuasa. 

“Kita menunggu, adakah Najib yang mewar-warkan “penyatuan golongan moderat dunia” di forum antarabangsa akan mengambil tindakan terhadap Utusan? “Utusan telah menunjukkan contoh ekstremis, tidak bertanggungjawab, menghasut dan tidak beretika yang boleh mengapikan ketegangan antara kaum dan agama dan melemahkan perpaduan nasional,” jelas beliau. – Roketkini.com

Utusan menyebelahi Dr M berkenaan teori bangsa, selepas laporan DAP ‘haram’ 
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dilihat sengaja menimbulkan konflik apabila mencadangkan konspirasi bagi membuktikan kenyataan kontroversi Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum semakin rasis dengan pilihan raya semakin hampir, kata Lim Kit hari ini. 

Wakil rakyat pembangkang itu menuntut Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak bertindak terhadap akhbar arus perdana tersebut apabila akhbar itu mengeluarkan artikel “Haram sokong DAP” hari ini. “Ada konspirasi untuk membuktikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad itu betul dengan bekas PM itu pada Jun menjangkakan pilihan raya umum akan memberikan keutamaan terhadap kaum kerana ‘Malaysia semakin rasis’,” kata Lim (gambar) dalam kenyataannya. 

Dr Mahathir yang merupakan PM keempat dan yang paling lama berkhidmat telah mengeluarkan kenyataan kontroversi ketika forum di sini pada 28 Jun — pilihan raya umum ke-13 akan menjurus semakin perkauman kerana rakyat Malaysia semakin bersifar perkauman. “Mereka mahu dikenali berasaskan kaum mereka, walaupun mereka putus hubungan dengan negara ataupun asal usul,” kata Dr Mahathir ketika forum berkenaan politik dan perniagaan, sambil menambah,”itu sebabnya sekarang ini politik lebih bersifat perkauman berbanding dahulu.” 

Lim turut menyelar Utusan kerana bertindak dengan tidak bertanggungjawab dalam menyiarkan laporan apabila memetik ustaz pondok yang menyatakan “haram” untuk masyarakat Islam menyokong DAP namun mengatakan MCA dan MIC boleh diterima kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dikenali sebagai penyokong Islam. 

“Akhbar yang menyiarkan di muka hadapannya “Haram sokong DAP” adalah akhbar anti Malaysia,” kata Ahli Parlimen Ipoh-Timur itu. Jelasnya jika akhbar yang rapat dengan BN mengeluarkan kenyataan menentang BN, Umno atau parti komponen, Menteri Dalam Negeri akan segera menyekat akhbar berkenaan daripada dikeluarkan. “Namun inilah PM, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan membenarkan penyiaran artikel yang berunsur perkauman seperti itu,” kata Lim. 

“Adakah Najib, yang memperjuangkan ‘penyatuan kesederhanaan’ di pentas dunia, akan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia atas contoh ekstrimis, ketidak bertanggungjawaban, menghasut, dan anti semangat kebangsaan, kepercayaan beragama dan bersatu padu?” cabar Lim. Akhbar berkenaan melaporkan ustaz di sekolah pondok, Abdullah Sa’amah, berkata Muslim tidak seharusnya mengundi DAP dan rakannya PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-13. 

“Perjuangan DAP tidak menerima Perlembagaan (Persekutuan), mereka mahu kesamarataan (untuk) Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahukan kesamarataan,” kata Abdullah dipetik Utusan. “Wajib untuk Muslim dalam PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP yang cuba mengambil kuasa melalui pilihan raya.” “Berdosa menyokong parti yang bekerjasama dengan DAP kerana menyokong mereka bererti kita juga menyokong pakatan,” kata pengasas sekolah Pondok Geting di Tumpat. MI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular