Monday, March 26, 2012

Panas!! Tim.Menteri Di " BOO" dan nyaris ditumbuk.. Hebatnya POLIS apabila yg terlibat "Pemimpin BN"+Video


Hampir 10 ribu berhimpun protes masalah kekurangan guru di SRJK(C)

Hampir 10,000 orang membanjiri perkarangan ibu pejabat Dong Jiao Zong di Kajang, pagi ini, meluahkan bantahan terhadap kerajaan berhubung masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina). Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong dari MCA turut hadir, namun ketibaan beliau dibalas dengan sorakan "boo" oleh peserta perhimpunan.
 
Menurut penganjur, 4,500 kerusi telah disediakan untuk perhimpunan ini, dan kesemuanya dipenuhi. Dong Jiao Zong mengumumkan penyertaan lebih daripada 600 pertubuhan, dan kehadiran lebih daripada 5,000 orang apabila perhimpunan bermula pada jam 11 pagi. Bilangan orang yang hadir semakin bertambah, dan mencecah hampir 10 ribu sebelum perhimpunan ini bersurai pada jam 12.30 tengah hari.

Selain itu, kira-kira 40 orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat tampil menyokong perhimpunan ini, antaranya DAP yang diwakili Teresa Kok, Tan Seng Giaw, Fong Kui Loon dan lain-lain; PKR diwakili Tian Chua, Saifuddin Nasution, William Leong dan lain-lain, dan PAS pula diwakili Mahfuz Omar dan lain-lain.

Antara pertubuhan yang menyertai perhimpunan ini termasuklah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia, Nanyang University Alumni Association, Malaya, Malaysian Seven Major Clans Association dan banyak lagi pertubuhan dari seluruh negara.

Masalah dasar kerajaan
 
Dalam teks ucapan Pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian membidas kerajaan kerana tidak menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Pada tahun 1968, ketika menjawab soalan di parlimen, Kementerian Pelajaran menunjukkan statistik bahawa SRJK (c) kekurangan seramai 1,172 orang guru. Bukan sahaja masalah ini tidak diselesaikan dalam tempoh 30, 40 tahun ini, malah guru yang tidak fasih bahasa Cina dihantar untuk mengajar di SRJK (c). Yap Sin Tian khuatir langkah kerajaan ini bakal mengubah bahasa pengantar di SRJK (c).

Yap Sin Tian menambah, seandainya kerajaan tidak menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah ini, maka beliau percaya api kemarahan ini akan terus menular, dan tindakan protes akan diadakan di setiap pelusuk negara.

Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen menganggap dasar kerajaan yang menjurus kepada kegagalan penyelesaian masalah kekurangan guru. Beliau mempertikaikan, negara kita mampu membina bangunan tertinggi di dunia seperti Menara Kembar Petronas KLCC, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun tidak terdaya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru yang berlanjutan untuk puluhan tahun.

Usul-usul mengenai perhimpunan bantahan mengenai masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), termasuklah:-

1. Perhimpunan ini menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menarik balik penempatan semua guru yang tidak berkelayakan Bahasa Cina termasuk guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang ditempatkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) pada awal sesi persekolahan tahun ini. Perhimpunan ini juga menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia menempatkan semula guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) yang dipindahkan sebelum ini.

2. Perhimpunan ini menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia supaya mengadakan program latihan kerja khas untuk guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina yang telah mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) sekurang-kurangnnya tiga tahun agar mereka memiliki kelayakan profesion mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

3. Perhimpunan ini menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia supaya memulihkan sistem latihan perguruan yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), dan menubuhkan bahagian latihan perguruan yang khusus untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta mewujudkan satu pelan latihan perguruan yang lebih sempurna dengan menetapkan kepujian mata pelajaran Bahasa Cina di peringkat SPM untuk melahirkan guru-guru yang memenuhi keperluan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina).

4. Perhimpunan ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula Akta Pendidikan dan melaksanakan dasar pendidikan pelbagai aliran sekolah dengan bahasa pengantar masing-masing untuk menjamin semua aliran sekolah yang sedia ada dengan memberi kedudukan dan layanan yang sama rata kepada setiap aliran sekolah.

Wee Ka Siong dakwa nyaris ditumbuk
 
Di samping itu, Wee Ka Siong yang hadir selaku Timbalan Menteri Pelajaran dan pemimpin MCA, disambut dengan sorakan "boo" dari peserta perhimpunan sepanjang perjalanannya ke pentas. Ramai yang menjerit mendesak beliau "undur", malah pertembungan fizikal hampir berlaku. Wee Ka Siong mendakwa dirinya nyaris ditumbuk, mujur ditangkis oleh polis yang melindunginya.

Dalam satu sidang media selepas perhimpunan, Wee Ka Siong berkata, kehadiran dirinya direstui oleh Perdana Menteri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin dan Presiden MCA Chua Soi Lek. Menurut laporan Sin Chew Daily, Chua Soi Lek sebelum ini menegaskan bahawa MCA tidak akan menyertai perhimpunan ini, kerana "menganggap demonstrasi tidak mampu menyelesaikan masalah".

Wee Ka Siong mendakwa dirinya tampil untuk mendengar suara pejuang pendidikan bahasa Cina. Beliau mengakui dirinya sekadar tersenyum pahit berdepan dengan layanan yang "tidak mesra" dari peserta. Beliau bersedia berdepan dengan sikap yang tidak mesra ini, bagaimanapun berasa "sakit hati" kerana hampir dikasari secara fizikal.-MR

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/panas-timmenteri-di-boo-dan-nyaris.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular