Sunday, April 10, 2011

Peluang Pekerjaan..

SPRM perlukan 800 anggota

Aspek keselamatan, individu berurusan di pejabat suruhanjaya dimantap 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan kira-kira 800 anggota lagi bagi memantapkan aspek keselamatan membabitkan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara.

Ketika ini, hanya 31 pegawai SPRM dan 90 pengawal keselamatan menjalankan tugas berkaitan keselamatan di seluruh negara membabitkan ibu pejabat SPRM, 15 ibu pejabat negeri dan 19 cawangan negeri di beberapa daerah.
Selain itu, pejabat SPRM yang terletak di bangunan guna sama di tingkat atas dan tidak mempunyai aras bawah pula membabitkan Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Labuan, manakala pejabat cawangan pula di Sibu dan Miri. 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaafar, berkata sebagai permulaan, pihaknya mengemukakan permohonan fasa pertama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengisi 134 jawatan berkenaan. 

“Kita mengharapkan tambahan 134 anggota untuk menjalankan tugas berkaitan keselamatan itu dapat segera dipenuhi bagi memastikan keselamatan fizikal membabitkan persekitaran bangunan pejabat SPRM termasuk dokumen dan harta benda di dalamnya serta individu yang berurusan dengan SPRM, terutama orang yang kena tuduh, orang yang disyaki, saksi atau pengadu sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang tempoh masa berada di premis suruhanjaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Semalam, Zakaria mengumumkan arahan terkini SPRM iaitu semua individu yang berurusan dengannya hendaklah diselesaikan di aras bawah pejabat milik sendiri SPRM atau diawasi sepanjang masa berada di premis suruhanjaya itu. 

Ia menyusul berikutan kes Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Rabu lalu, selepas datang ke pejabat SPRM pada kira-kira jam 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat. 

Mengenai kerja-kerja pemasangan jeriji di pejabat SPRM, Zakaria berkata, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM sudah diarah supaya mengumpul maklumat berkaitan perkara itu, termasuk pejabat SPRM yang memerlukan struktur tambahan itu dengan segera. 

Sementara itu, penganalisis jenayah, Profesor Madya Dr P Sundramoorthy, berkata dasar membabitkan keselamatan saksi, pengadu dan orang kena tuduh dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh ditambah baik lagi bagi mengembalikan semula kredibiliti badan bebas itu. 

“Ini termasuk memperbanyakkan lagi kamera litar tertutup (CCTV) terutama di bilik siasatan, memberi latihan lengkap berkaitan proses siasatan kepada setiap kakitangan terbabit dan memastikan hanya mereka yang layak dibenarkan bekerja di suruhanjaya itu,” katanya. bharian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular