Monday, August 12, 2013

Mahathir dah ada cara untuk bidas Pak Lah?..Perlancaran buku paklah ditangguh sebab ada orang panas telinga...

Mahathir ada cara tersendiri bidas Pak Lah
Kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia Awang Selamat melalui terbitan Mingguan Malaysia mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menegaskan bekas Perdana Menteri itu akan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan caranya tersendiri yang dijangka sinis dan lebih berbisa.

Katanya, harapan untuk melihat Abdullah dan Dr Mahathir berbaik semula menjelang Aidilfitri ini tidak kesampaian kerana agenda bangsa dan agama memerlukan permuafakatan pemimpinnya.
“Awang mendoakan perdebatan yang lebih sihat bakal berlaku dan tidak membawa kemudaratan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN),” tulis beliau hari ini.

Abdullah yang juga dikenali sebagai Pak Lah dalam buku memaparkan detik-detik beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia bertajuk “Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia” menjelaskan sekiranya beliau mengikut kehendak dan tekanan Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti akan jatuh muflis.

Katanya, Dr Mahathir hanya mahu pendapatnya didengari dan tidak mendengar pendapat orang lain sebagai contoh, beliau berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu untuk menjelaskan penangguhan beberapa projek mega disebabkan bajet defisit namun cadangan itu ditolak kerana katanya, kerajaan perlu terus berbelanja.

Beliau menjelaskan Dr Mahathir mengamuk apabila beberapa projek mega seperti landasan berkembar terpaksa ditangguhkan kerana merasakan itu adalah projek angkatnya.

“Jika kita terus berbelanja, saya boleh bayangkan kita sudah muflis kerana pentadbiran saya sendiri telah berjaya menurunkan kadar defisit dari 5 peratus ke 3.2 peratus,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan semalam Buku “Awakening, The Abdullah Years in Malaysia” bukan hasil tulisan Abdullah sebaliknya, koleksi artikel penulis berlainan latar belakang termasuk pemimpin pembangkang.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyumbangkan artikel di dalam buku tersebut.

Nik Nazmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, buku yang disunting editor Bridget Welsh dan James Chin itu merupakan himpunan pandangan pelbagai pihak mengenai era pemerintahan Abdullah.

“Tema umum buku itu ialah penilaian umum dan pandangan masyarakat sepanjang pentadbiran Abdullah. Kedua-dua editor ada menemubual sendiri beliau.

“Selain itu, buku tersebut turut memuatkan artikel daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin BN dan pembangkang, ahli akademik dan sarjana,” katanya.

Artikel dalam buku tersebut turut disumbangkan pemimpin Umno seperti bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menulis pra-kata buku itu.

Manakala, pemimpin pembangkang pula terdiri daripada Nik Nazmi dan Liew Chin Tong dari DAP.

Dalam buku itu Abdullah dilaporkan berkata Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang penuh kontradiksi dan sekiranya hasrat bekas perdana menteri itu dituruti, Malaysia hari ini sudah muflis.

Ia juga menceritakan bahawa Abdullah meminta bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya bersara setahun sebelum PRU 2008.

Turut dimuatkan adalah kenyataan Abdullah yang berkata tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum di negara ini tetapi perjuangan itu tidak seharusnya seperti dilakukan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali. - Sumber: MI

PEDAS DAN PANAS BUKU AWAKENING THE ABDULLAH BADAWI YEARS IN MALAYSIA PELANCARANYA DITANGGUHKAN 
Ia bukan biografi bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, buku awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia setebal 620 muka surat itu hanyalah kumpulan esai mengenai isu-isu yang berlegar sepanjang pentadbiran Abdullah sebagai orang nombor satu Malaysia (2004-2009).

Ia dikumpul dan diedit oleh dua simpatisan pembangkang yang tidak asing lagi, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin. Mengandungi esai yang ditulis oleh 35 penyumbang antaranya ahli akademik, wartawan dan pemimpin politik.

Di dalam buku tersebut ada perbualan yang dirakam antara Abdullah dan Bridget Welsh, rakaman interbiu itulah kemudiannya menjadi sandaran untuk Pak Lah menjawab balik segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya semasa menjadi Perdana Menteri.

Ia termasuk isu beliau suka tidur, 'budak tingkat empat', dan paling utama perselisihan dengan pemimpin yang digantinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kata lain, ia sebuah buku akademik, dan Pak Lah tidak menulisnya sendiri, ia merupakan pandangan yang diutarakan bagi menjawab soalan-soalan yang kemudiannya dipilih dan ditapis, direncahkan oleh orang lain.

Editor buku tersebut, Bridget Welsh, merupakan simpatisan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wanita berbadan besar dan pengamat politik yang serius ini merupakan bekas pensyarah di School for Advanced International Studies (SAIS) of Johns Hopkins University.

Universiti Johns Hopkins adalah tempat yang sama Anwar mengajar selepas beliau dibebaskan dari penjara pada pada 2004.

Sebab itu jangan terkejut pelancaran tak rasminya di Singapura akan dilakukan oleh anak Anwar, Nurul Izzah.

Kenapa Singapura? ini mungkin kerana jiran Malaysia itu merupakan 'tauke' baru kepada Bridget Welsh yang kini merupakan pensyarah sains politik di Singapore Management University.

Cakap-cakap mengenai Bridget ada projek khas untuk buat buku mengenai Pak Lah sudah lama kedengaran dikalangan wartawan. Ada yang kata wanita berbadan besar ini sering kelihatan di rumah Pak Lah di Sungai Penchala sejak 2011 lagi.

Pada asalnya buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia ini pun hendak dilancarkan sebelum PRU13, namun atas pertimbangan tertentu, ia dilewatkan, ada yang kata akan dilancarkan secara rasmi oleh Tun Musa Hitam dan Pak Lah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pertengahan Ogos ini.

Dalam buku tersebut, Pak Lah jawab mengapa beliau menghentikan projek mega yang dimulakan di zaman Dr Mahathir.

Menurutnya, sekiranya beliau mengikut kehendak dan tekanan Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti akan bankrap.

Merujuk kepada beberapa serangan Dr Mahathir yang ditujukan kepadanya, Pak Lah berkata beberapa individu pernah bertanya kepadanya kenapa beliau tidak memberikan penjelasan mengenai penasihat mudanya (budak tingkat empat), penglibatan anaknya dalam perniagaan dan pengaruh menantunya, Khairy Jamaluddin.

"Mungkin, saya patut membela diri dan menjelaskan isu itu dengan lebih lantang. Saya boleh bertindak balas atas kenyataan Mahathir. Bagaimanapun, apa kebaikannya untuk kerajaan dan parti?" soalnya.

Jelas Pak Lah, selepas menerima beberapa kritikan daripada Dr Mahathir, apa yang jelas ialah Dr Mahathir hanya mahu pendapatnya didengari tetapi tidak mendengar pendapat orang lain.

Beliau telah berjumpa Dr Mahathir untuk menjelaskan penangguhan beberapa projek mega disebabkan bajet defisit.

"Dr Mahathir bagaimanapun menolak cadangan tersebut kerana kerajaan jelasnya perlu terus berbelanja. Tapi bagaimana kita nak teruskan apabila defisit kita sangat kritikal? Adalah tidak bertanggungjawab jika saya terus berbelanja.

"Jadi kami tiada pilihan untuk mengurangkan defisit dengan menangguhkan beberapa projek mega seperti landasan berkembar dan ia membuat Dr Mahathir mengamuk.

"Boleh anda bayangkan jika saya tunduk dengan tekanan Dr Mahathir untuk terus berbelanja ketika defisit yang sangat tinggi, bagaimana Malaysia mahu mengatasi krisis kewangan dan minyak pada 2008?

"Defisit kita berjaya diturunkan pada kadar 3.2 peratus dan kepada 5 peratus. Jika kita terus berbelanja, saya boleh bayangkan kita sudah bankrap," kata Pak Lah.

Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2009, beliau bertekad tidak mahu jadi seperti Dr Mahathir.

Beliau mahu Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kebolehannya sebagai Perdana Menteri.

"Sebab itu saya kekal berdiam diri selama ini. Saya percaya apabila kita sudah bersara, kita akan bersara. Tidak lagi perlu kita campur tangan. Jika ada yang tidak puas hati, kita luahkan secara tertutup. Kenapa perlu hebahkan kepada media?" tambah beliau.

Menyentuh mengenai kritikan bahawa beliau tertidur ketika bertugas, Pak Lah mendedahkan beliau menghidapi masalah kesihatan 'sleep apnea' dan telah mendapatkan rawatan di Australia pada 2007.

"Saya memberitahu Dr Mahathir keadaan saya. Jadi untuk beliau mengatakan saya tertidur kerana tidak berminat dengan tugas, itu tidak patutlah. Beliau tahu masalahnya, namun memilih untuk memperkatakan semua itu."

Buku Pak Lah ini walaupun belum dilancarkan secara rasmi tapi sudah beredar di kedai-kedai buku utama. Penerbit buku ini Strategic Information dan Research Development Centre (SIRD) memang terkenal sebagai penerbit dan pengedar buku-buku kiri di Lembah Klang.

Kebanyakkan buku yang 'mengangkat' tokoh-tokoh komunis yang kini banyak di pasaran buku negara, keluaran SIRD.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak mahu komen mengenai buku ini.

Beliau yang dikerumuni wartawan ketika mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada Khamis berkata: "Saya simpan komen saya dulu sehingga saya baca buku itu. Saya tidak boleh mengulas berdasarkan komen orang lain. Saya perlu membaca buku itu, (dan komen) berdasarkan tafsiran saya mengenai buku itu."

Manakala Dr Mahathir mahu lebih masa untuk membuat rujukan sebelum mengulas isu-isu mengenainya yang dibangkitkan di dalam buku tersebut.
OLEH HELME HANAFI - AD

Perlancaran buku paklah ditangguh sebab ada orang panas telinga...
Pelancaran buku ‘Awakening: The Abdullah Years In Malaysia’ ditangguh sehingga diberitahu kelak kerana 'pempolitikan' dalam laporan media.

Prof James UH Chin yang menyunting buku itu bersama Prof Bridget Welsh berkata, kelewatan pelancaran itu yang pada mulanya ditetapkan 16 Ogos ini, bagi mengelakkan salah faham berterusan.

“Media telah tersilap dengan melabelkan buku tersebut sebagai “Buku Pak Lah”. Ini tidak betul. Ia merupakan koleksi pelbagai pandangan yang kebanyakannya agak kritikal dalam tempoh perkhidmatan beliau,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, semalam.

James dan Welsh berkata, sambutan media untuk buku itu tidak dijangka, dengan tumpuan diberikan pada bahagian sensasi terutama temubual bersama Abdullah.

Mereka juga menegaskan bahawa mereka tidak pernah diminta untuk melambatkan penyiaran buku, sebelum atau selepas mana-mana pilihan raya.

“Tanggungjawab kelewatan ini terletak kepada editor, kerana kita berurusan dengan banyak penerbit, percetakan dan percanggahan permintaan profesional,” katanya.

James dan Welsh menggesa media dan komuniti blog supaya bertindak secara bertanggungjawab dan membaca buku itu sebelum membuat penilaian.

Mereka berkata buku itu terkandung perspektif daripada penyumbang daripada semua pihak dan jurang politik serta daripada pemerhati akademik.

“Kami berusaha untuk mempunyai koleksi seimbang dan sebahagian daripada keseimbangan adalah memberi ruang kepada Pak Lah sendiri untuk bercakap tentang dirinya dalam tempoh perkhidmatan beliau,” kata mereka. - SUMBER

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular