Sekitar hari penamaan calon PRU-13
Hari ini berlangsung proses penamaan calon Pilihan Umum ke-13 bagi 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Ikuti Laporan secara "LIVE UPDATE" dari Kami Di :
KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum ke-13 secara rasminya bermula hari ini apabila parti-parti politik mengemukakan pencalonan untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi seluruh negeri kecuali Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka tempoh pencalonan pukul 9 hingga 10 pagi, dan senarai calon yang sah bertanding dijangka akan diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara sebaik proses semakan selesai.
Proses penamaan calon bagi pilihan raya umum kali ini dipermudahkan selepas pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang berkuatkuasa tahun lalu.
Pindaan itu memansuhkan tempoh bantahan dan penarikan balik pencalonan yang sebelum ini dibenarkan selama satu jam selepas tempoh mengemukakan borang pencalonan selesai.
Tempoh kempen selama 15 hari juga bermula hari ini sehingga tengah malam sebelum lebih 13 juta pengundi membuat penentuan pada hari pengundian pada 5 Mei nanti.
Selain sejarah proses penamaan calon, pilihan raya kali ini juga dijangka bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila DAP buat pertama kalinya dijangka tidak akan bertanding menggunakan logonya sendiri.
Parti itu mengumumkan akan bertanding di Semenanjung dengan menggunakan logo Pas dan di Sabah dan Sarawak dengan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ia susulan tindakan Pendaftar Pertubuhan tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan DAP yang dipilih semasa pemilihan parti itu pada 15 Dis 2012.
Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman bagaimanapun menegaskan pendaftaan parti itu masih sah dan ia boleh menggunakan simbolnya pada PRU-13 ini. SPR juga membuat kenyataan yang sama.
Selain itu, tidak seperti pilihan raya umum yang lalu yang mana menyaksikan hampir semua kerusi ditandingi satu lawan satu antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, pilihan raya kali ini dijangka bakal meriah dengan calon bebas.
Sesetengah mereka adalah ahli parti yang diketepikan masing-masing oleh BN dan komponen Pakatan Rakyat serta penyandang kerusi.
Calon bebas yang akan jadi tumpuan ialah bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang menyatakan hasrat bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pandan yang beliau wakili sejak 1989 semasa ia masih dikenali sebagai kawasan Ampang Jaya.
Satu lagi kerusi tumpuan melibatkan kemungkinan calon bebas ialah di Parlimen Pasir Mas apabila penyandangnya, Datuk Ibrahim Ali yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mengumumkan mahu bertanding.
Bekas Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar juga sebelum ini menyatakan mahu bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas selepas mendakwa "hanya meminjamkan" kerusi itu kepada calon lain pada pilihan raya umum 2008.
Bekas Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang yang juga penyandang kerusi DUN
Machang Bubok, Tan Hock Leong juga mengumumkan mahu bertanding sebagai calon bebas selepas mengisytiharkan diri keluar daripada PKR.
Penyandang kerusi Parlimen Seremban, John Fernandez dari DAP juga dijangka akan bertanding calon bebas selepas digugurkan oleh parti itu dalam pilihan raya kali ini. Beliau akan disertai lima yang lain — 3 bekas ahli DAP dan 2 bekas ahli MIC — yang akan bertanding kerusi DUN.
Kebanyakan pertembungan lebih daripada dua calon juga dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.
Dalam pilihan raya umum 2008, 89 kerusi Parlimen dan DUN ditandingi lebih daripada dua calon, kebanyakannya di Sabah.
Sehingga Khamis, SPR mengumumkan lebih 2,000 borang pencalonan telah dikeluarkan oleh badan itu dan 800 daripadanya diambil oleh calon bebas.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan calon supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong bagi mengelak provokasi selain melarang sebarang alat muzik dan pembesar suara.
Semua yang terlibat juga dinasihatkan supaya patuh undang-undang dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan pihak polis dari masa ke masa.
BN yang menyertai pilihan raya kali ini dengan manifesto Menepati Janji, Memenuhi Harapan dijangka berdepan saingan yang dipercayai paling sengit daripada Pakatan Rakyat yang menampilkan manifesto dengan slogan Pakatan Harapan Rakyat.
Dalam pilihan raya umum 2008, BN menang 140 kerusi — kurang lapan kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga, manakala Pakatan Rakyat menang 82 kerusi.
Semua parti yang bertanding mengumumkan calon masing-masing sejak seminggu yang lepas namun sehingga semalam rundingan penentuan calon di beberapa kerusi terus berlaku termasuk beberapa calon yang menarik diri.
No comments:
Post a Comment