KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor cuba menutup kegagalan kerajaan pusat membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu yang pernah dijanjikan semenjak tahun 1996 apabila cuba mengalih kepada isu air Kelantan.
Ahli Parlimen PAS melahirkan rasa tidak puas hati apabila menteri berkenaan terus berdolak-dalik setelah mereka membangkitkan isu lebuh raya berkenaan.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pembinaan lebuh raya itu adalah sebahagian daripada cadangan kerajaan pusat yang bermula di Pahang seterusnya ke Kota Bharu.
Malah katanya, menteri juga akui walaupun ada cadangan untuk meningkatkan taraf jalan tersebut tetapi kos terlalu tinggi menyebabkan kerajaan pusat membatalkan rancangan tersebut.
Katanya, kerajaan Kelantan sedar akan keperluan lebuh raya tersebut amat mendesak dan kegagalan kerajaan pusat untuk melaksanakannya maka kerajaan negeri terpaksa memulakan inisiatif untuk melaksanakan lebuh raya tersebut.
"Saya menyeru supaya kerajaan pusat khususnya Kementerian Kerja Raya mengambil inisiatif untuk berbincang tetapi jawapan mereka negatif dan mengalih kepada isu air dan sebagainya," katanya dalam sidang media di lobi parlimen. (Gambar atas oleh SK.)
Menurutnya, Kelantan mempunyai banyak sejarah misalnya kerajaan negeri membina Jambatan Sultan Yahya pertama pada tahun 1960 tanpa memerlukan bantuan pusat walaupun ia adalah tanggungjawab kerajaan pusat.
"Ternyata dalam kes pembangunan negeri Kelantan, kerajaan pusat amat negatif. Setelah kerajaan negeri ingin menambah Jambatan Sultan Yahya yang baru kerajaan pusat tiba-tiba dengan segera membina jambatan yang baru, sehingga hari ini masih tidak siap.
"Inilah yang kita kesalkan kerajaan pusat tidak mempunyai sikap positif dan ikhlas membina jambatan tersebut," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemberian royalti sebanyak RM10.4 billion akan memberi kemampuan kepada Kelantan untuk mendapatkan RM1.8 billion bagi membina lebuh raya berkenaan.
Malangnya, kata beliau rakyat sudah berputus asa dengan janji Kerajaan Pusat sehingga terpaksa menggunakan sistem wakaf untuk membina lebuh raya yang menjadi keperluan mereka.
"Kerajaan pusat seolah-olah tidak faham peranan dan tanggungjawab mereka. Saya akan katakan kerajaan pusat tetap menganatirikan rakyat kelantan," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Putih Mohammad Husin kecewa apabila kerajaan menanguhkan projek lebuh raya itu ke dalam RMK-11.
"Projek ini diumumkan zaman Abdullah Badawi bermula dalam RMK-8, kemudian ditangguhkan ke RMK-9, RMK-10 dan akhirnya hari ini ditangguh lagi ke RMK-11," katanya kesal.
Terdahulu, Shahziman dalam penggulungan Kementerian Kerja Raya memberitahu kerajaan tidak pernah membatalkan projek lebuh raya ini sebaliknya hanya menangguhkan untuk penilaian semula.
Shahziman juga tidak yakin sebanyak RM1.8 billion boleh dicapai melalui kutipan yang dilancarkan oleh kerajaan Kelantan. - Harakah
No comments:
Post a Comment