Monday, May 2, 2011

Video seks: Hishammuddin tetap mahu saman Anwar


KLUANG, 1 Mei — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu.

Beliau (gambar) berkata, dakwaan Anwar itu perlu dijawab di mahkamah supaya masyarakat tahu kedudukan sebenar isu terbabit.


“Kita bawa ke mahkamah kerana kalau tidak, apa yang disebar melalui luar dan internet orang akan percaya kerana kita tidak jawab,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan Ketua Umum PKR mengaitkan beliau dengan video seks terbabit semata-mata untuk mengalihkan perhatian masyarakat.

“Itu strategi... dia (Anwar) tidak boleh jawab soalan wartawan, dia alih pandangan kepada orang lain. Kita tidak berdosa, kenapa hendak takut,” katanya.

Akhir Mac lalu, Hishammudin melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap Anwar.

Anwar dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video kononnya aksi beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara 21 Mac lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan pembabitan mereka dalam rakaman berkenaan. KB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular