Monday, May 2, 2011

Chong Wei gah : Menang gelaran tiga hari selepas Misbun tolak tawaran

pix_gal0
PADA saat ini, jauh di sudut hati Datuk Misbun Sidek harus gembira di atas satu lagi kejayaan bekas anak didiknya, Lee Chong Wei yang menyambung rentetan sang juara mengungguli Siri Super Terbuka India di New Delhi, semalam.


Pemain badminton nombor satu dunia itu menjulang satu lagi trofi tambahan - tiga hari selepas mentornya menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia - buat mengukuhkan lagi reputasi besarnya dengan mengatasi Peter Gade Christensen 21-12, 12-21, 21-15 dalam final perseorangan lelaki di Kompleks Sukan Siri Fort - gelanggang sama yang membantunya memenangi dua pingat emas Sukan Komanwel 2010.



“Stadium ini membawa tuah. Harap saya akan datang lagi ke sini untuk Siri Super berikut,” kata Chong Wei selepas memenangi pertarungan lebih sejam itu.

Apapun, kejayaan kali ini tidak menyusul mudah apabila dipaksa memerah keringat oleh lawan veteran dari Denmark itu yang memenangi set kedua dan satu ketika tampak mampu membuat kejutan di set penentuan.


“Ia satu halangan sukar. Saya hilang fokus dalam set kedua. Pada usia 34 tahun. Pete Gade masih seorang pemain yang bagus dan dia tidak mudah menyerah kalah,” kata Chong Wei.

Dalam perlawanan, semalam yang menarik untuk tontonan, jaguh negara dari Bukit Mertajam itu menggabungkan pukulan cantik, smash tajam serta kekuatan mental untuk mengawal rentak pergerakan Gade - pemain yang kalah 10 kali daripada 11 pertemuan dengan Chong Wei sehingga kini.

Pemain Denmark itu bangkit menguasai set kedua apabila Chong Wei hilang tumpuan tetapi jaguh negara berjaya bangkit memenangi set ketiga 21-15 buat merakamkan gelaran juara Siri Super buat kali ketiga. Peter Gade akur Chong Wei bermain dengan cukup baik, penuh tumpuan, dan keyakinan. “Saya bermain dengan pemain terbaik dunia.


Semuanya berkenaan keyakinan dan apabila Chong Wei muncul dengan penuh yakin, dia pasti tidak dapat ditewaskan.

Saya berpeluang untuk menang selepas menguasai set kedua, saya berikan segalanya, tapi dia tidak dapat ditewaskan hari ini,” katanya pemain nombor enam dunia itu. BH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular