Wednesday, May 11, 2011

[Video] Ada Cubaan Untuk Membunuh Anwar


Pemandu peribadi Ketua Umum PKR hari ini, membuat laporan polis mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga.


Abdullah Sani bin Said (gambar) yang berkhidmat dengan Anwar selama 28 tahun membuat laporan polis pada pukul 4.00 petang di Balai Polis di Merchant Square, Damansara. Beliau di iringi peguam Murnie Hidayah binti Anuar dan Afiq Mohd Noor.


Menurut Abdullah Sani, pada 19 April lalu, beliau memandu kereta jenis Mercedes Benz S350, membawa Ketua PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ke Perak.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Chemor dengan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sekitar jam 1 pagi, secara tiba-tiba sebuah lori memasuki lorong kanan dan Abdullah terpaksa tekan pedal brek secara mendadak.

“Saya terasa kereta yang dipandunya bergegar kuat tidak seperti biasa.

Tayar kanan bahagian belakang terkunci dan tersekat,” katanya.

Apabila berjaya menghentikan kereta dibahu jalanraya, Abdullah melihat serpihan brek disc brake di atas jalan.

Setelah menghantar kereta ke bengkel untuk membaikinya mekanik bengkel tersebut memberitahu bahawa brek disc belakang hilang satu caliper guide pin bolt.

“Saya terkejut kerana dalam pengalaman saya tidak mungkin pin bolt boleh tanggal sendiri atau jatuh. Saya percaya ini adalah satu muslihat oleh pihak tertentu untuk membuat sesuatu terhadap Anwar dan keluarganya,” tambahnya.

Beliau mengambil masa satu bulan untuk membuat laporan polis kerana menunggu laporan bertulis daripada bengkel kereta.

Menurut laporan bertulis Azman Hassan, ketua mekanik bengkel RCY Benz Auto Service Sdn Bhd, agak mustahil ‘pin bolt’ yang mengikat ‘brake caliper’ boleh tercabut dengan sendiri.

Sementara itu, peguam Murnie Hidayah berkata pihaknya tiada mengesyaki sesiapa dalam hal ini dan menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.-FMT


Pemandu dakwa kesan usaha mahu bunuh Anwar, brek kereta diusik


PETALING JAYA, 10 Mei — Pemandu Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya mengesan usaha untuk membunuh majikannya dengan cuba merosakkan sistem brek kereta Mercedes Benz dipandunya, bulan lalu.

Laporan polis dibuat di balai polis Tropicana di sini petang ini oleh pemandu Anwar, Abdullah Sani Said.

Balai polis itu terletak beberapa pintu dari ibu pejabat PKR di sini.

Abdullah Sani, 51, yang merupakan pemandu bagi Anwar sejak 28 tahun lalu mengesan usaha itu pada 19 April lalu selepas satu insiden ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari Perak, memandu Mercedes Benz S350 bernombor KCD 77.

Katanya, kereta itu dipinjamkan kepada Anwar oleh rakan beliau.

Ketika kejadian kata Abdullah Sani, dia dan seorang pembantu Anwar iaitu Mohd Nurol Sayah baru sahaja mengambil isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dari satu majlis PKR di Chemor dekat Ipoh.

“Ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan kira-kira 1 tengah hari, sebelum susur keluar Sungkai dekat KM353, sebuah lori secara tiba-tiba memotong ke arah laluan kanan dan memaksa saya menekan brek kereta,” katanya dalam laporan polis dibuat hari ini.

Abdullah Sani berkata, ketika dia cuba menekan brek keretanya, Mercedes S350 dipandunya mula menggetar dengan kasar.

“Saya dengar bunyi seolah-olah ada yang bunyi kasar dari bahagian belakang.

“Secara tiba-tiba tayar belakang seolah-solah terkunci dan tersekat, memaksa saya sedaya upaya memandu kereta ke arah bahu jalan,” katanya.
Kata Abdullah Sani, pemeriksaannya mendapati ada serpihan cakera brek kereta yang telah berpecah di atas jalan.

Katanya, dia dengan segera menghubungi kereta tunda di Slim River dan kereta itu dibawa ke bengkel RCY Benz di Glenmarie, Shah Alam untuk pemeriksaan.

Di bengkel, kata Abdullah Sani, dia dimaklumkan oleh mekanik bahawa cakera brek bahagian belakang kehilangan satu ‘pin bolt’, yang lazimnya berperanan sebagai penyokong kaliper brek.

“Saya dimaklumkan mustahil bagi ‘bolt’ terkeluar tanpa diusik,” katanya.

Kata Abdullah Sani, berdasarkan penjelasan mekanik, adalah jelas bahawa “ada pihak” yang telah cuba untuk mengusik kereta dengan matlamat mahu “menyebabkan kecederaan atau membunuh” ketua pembangkang atau anggota keluarganya.

“Dan, atas nasihat mekanik, ini menunjukkan bahawa ada elemen sabotaj, dengan melihat kenderaan ini selalu digunakan oleh Anwar,” katanya lagi.

Kata Abdullah Sani, dia khuatir tentang keselamatan dirinya dan ketuanya, oleh itu berharap polis akan menjalankan siasatan dengan segera.

Aduan Abdullah Sani disusuli dengan laporan daripada mekanik bengkel, Azman Hassan.

Dalam deklarasinya, Azman mengesahkan “mustahil bagi ‘pin bolt’ untuk terkeluar dengan sendirinya tanpa diusik oleh mana-mana pihak.

“Saya mendapati punca insiden disebabkan oleh kehilangan satu ‘pin bolt’ pada kaliper brek.

“Untuk pengetahuan anda, perlu ada dua ‘pin bolt’. Kehilangan salah satunya yang menyebabkan keseluruhan sistem brek sebelah kanan di bahagian belakang kereta rosak,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, kata Azman, yang sudah 10 tahun bekerja sebagai mekanik dan pakar dalam kerja-kerja menyelenggara kereta Mercedes Benz selama tujuh tahun, mustahil bagi ‘pin bolt’ terkeluar dengan sendirinya.

Di luar balai polis, wakil Lawyers for Liberty Murni Hidayah Anuar yang menemai Abdullah Sani berkata, dia membuat laporan kira-kira sebulan selepas kejadian kerana mereka menunggu laporan siasatan mekanik.

Abdullah Sani berkata, dia pernah memeriksa sistem brek kereta itu Oktober lalu dan tidak mengesan sebarang kekurangan pada kenderaan itu. -TMI



Popout


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular