Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semua pihak harus menerima hakikat tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.
"Ia adalah kerana realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya adalah amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain," kata Najib kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin dan cendekiawan Islam hari ini.
"Dalam apa jua keadaan, perlembagaan negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak tidaklah seharusnya merasa bimbang, gundah gelana, ataupun gelisah di dalam hal ini," katanya.
Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir adalah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.
Menukar agama
Najib berkata dalam pertemuan selama sejam dengan pemimpin dan cendekiawan Islam itu, beberapa isu semasa turut dibincangkan termasuk isu “menukar” agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.
"Saya sememangnya berjumpa dengan pemimpin Islam dari semasa ke semasa. Tetapi di dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang ini amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini dan sekali lagi kita bincang atas isu ini dan juga atas perkara-perkara yang lain,” katanya.
Katanya di dalam pertemuan itu pemimpin dan cendekiawan Islam itu juga bersependapat bahawa adalah penting untuk memelihara keharmonian, keamanan dan kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak mestilah membendung perasaan emosi untuk tidak membuat apa jua perkara yang mengganggu gugat keamanan dan keharmonian serta kesejahteraan negara ini.
"Mereka juga sependapat mahukan rakyat diberi satu jaminan supaya menyerahkan perkara ini kepada pihak kerajaan untuk menanganinya dengan penuh kebijaksanaan dengan hikmahnya tanpa membiarkan isu ini menjadi satu yang boleh merosakkan apa yang telah kita bina dalam negara kita terutama sekali keharmonian antara agama," katanya.
Mengubah hakikat
Ditanya bentuk tindakan terhadap pihak yang akan terus mengeksploitasikan isu tersebut, Najib berkata, "Yang pertamanya, kalau mereka nak buat apapun, ia tidak akan dapat mengubah hakikat (Islam sebagai agama rasmi negara). Realiti (itu) tak boleh diubah."
Katanya pihak berkuasa juga tentunya boleh mengambil tindakan kepada pihak yang cuba mengeksploitasi isu ini sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.
"Kita tidak mahu sebarang tindakan yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara, sebab yang paling penting sekali adalah keamanan dan keharmonian negara kita," katanya.
Menjawab satu soalan sama ada saranan itu dibuat hanya kepada pemimpin tertentu, Najib berkata: "Saranan adalah kepada semua pihak bahawa kita mesti menolak kefahaman yang keterlaluan dan ekstrem. Tidak kira (mana-mana pihak)."
Najib berkata keharmonian dan keamanan di Malaysia telah menjadikan ia sebagai model sebuah negara yang boleh dibanggakan oleh ramai pihak di luar negara dan ia harus dikekalkan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment