Wednesday, May 11, 2011

Konflik Antara Agama: DAP Menangguk Di Air Yang Keruh - Khir Toyo

Dr. Mohamad Khir Toyo1. Kenyataan beberapa jurublog bahawa wujud konspirasi di peringkat paderi dan mubaligh Kristian untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian merupakan satu yang berat dan serius.


2. Dakwaan tersebut boleh mencetuskan kebencian terbuka antara agama dan kaum. Sebagai orang Islam, saya tidak dapat menerima sebarang usaha menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Saya percaya 99% orang Islam lain juga tidak akan bersetuju.


3. Dalam pada itu, saya juga merasakan amat mustahil sekumpulan Paderi Kristian yang berwibawa di negara ini sanggup berbuat tindakan sedemikian dan mencemarkan keharmonian negara ini dan juga membelakangkan Perlembagaan Negara. 

4. Kebanyakan rakan-rakan saya yang beragama Kristian juga tidak mengambil peduli apa agama rasmi negara ini kerana mereka beranggapan agama sebagai cara hidup peribadi. Mereka juga menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apa yang mereka mahukan ialah kerajaan tidak cuba memaksa mereka menjalani gaya hidup muslim.

Mengapa CFM Mengadakan Sidang Akhbar Bersama DAP?

5. Namun apabila sesuatu itu membabitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) maka tidak ada apa pun yang mustahil. Ini kerana DAP sentiasa mengaut keuntungan politik dengan mencetuskan konflik antara kaum atau antara agama seperti mana mereka lakukan pada 1969. Saya percaya dalam isu Hindraf yang hampir menyembabkan konflik agama Islam- Hindu (kaum Melayu - kaum India) menjelang pilihan raya 2008 juga mempunyai tangan-tangan DAP di belakangnya.

6. Jika diingat konflik Kristian - Islam ini juga cuba dicetuskan oleh sebuah parti politik pada tahun 2000 apabila mereka mendakwa seorang wakil rakyat BN beragama Kristian bertanggungjawab mengkristiankan ramai gadis Islam di selatan Kedah. Namun siasatan kemudiannya mendapati terbukti tidak benar. 

7. Hari ini parti lain dari Pakatan yang sama cuba mencetuskan konflik Islam - Kristian dengan mengapi-apikan kononnya UMNO cuba mencetuskan kemarahan orang Islam terhadap penganut Kristian melalui Utusan Malaysia.

8. Sungguhpun saya percaya kemungkinan besar apa yang didakwa oleh jurublog-jurublog terbabit terbabit tidak benar namun tindakan Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia - CFM) mengadakan sidang akhbar bersama DAP sangat mencurigakan orang Melayu dan Islam.

9. Orang Melayu tertanya-tanya CFM boleh sahaja memanggil mereka yang terbabit dalam persidangan yang didakwa dan menafikannya. Saya percaya Utusan Malaysia bersedia menyiarkan di muka hadapan akhbar mereka juga. 

10. Alangkah baik dan manisnya jika CFM mengadakan sidang akhbar bersendirian dan menafikan dakwaan jurublog-jurublog terbabit. Bukankah CFM sepatutnya kekal menjadi penaung kepada penganut Kristian tanpa kecenderungan politik kepartian?

Mengapa Utusan Dikambinghitamkan?

11. Saya juga tertanya-tanya mengapa Utusan Malaysia dijadikan bahan hentaman sedangkan akhbar tersebut hanya melaporkan sesuatu yang dianggap nilai berita. Utusan tentulah berani menyiarkan dakwaan yang serius ini kerana ia datang dari blog yang dikenali identiti pemiliknya. Utusan hanyalah penyampai berita. Malahan tindakan Utusan menyiarkan penafian YB Jeff Ooi menunjukkan mereka mengamalkan pemberitaan yang seimbang.

12. Jika dilihat terjemahan akhbar-akhbar bukan berbahasa Melayu, lebih banyak kenyataan menghasut, berbohong dan memfitnah terhadap pemimpin bukan dari kaum mereka dibuat. Malahan dalam sesetengah akhbar, terdapat hasutan membenci pemimpin Melayu, menuduh rasis dan sebagainya tersiar dengan sewenang-wenangnya tanpa disiarkan kenyataan balas pun. 

13. Pemimpin politik dan Menteri yang mengkritik Utusan harus menyatakan apakah kerana Utusan Malaysia akhbar Melayu maka ia harus menjalani ukuran kewartawanan yang lain berbanding akhbar bukan berbahasa Melayu dan portal-portal berita anti-UMNO? 

14. Apakah Utusan tidak boleh menyiarkan berita kontroversi tetapi akhbar lain boleh? Baca sahaja forum pembaca dan ruangan sms akhbar bukan milik orang Melayu yang kadang-kadang langsung tidak menghormati sensitiviti orang Melayu dan Islam tetapi tiada pula kecaman terbuka daripada mereka ini.

15. Seperti yang selalu dilaungkan oleh pejuang kebebasan media pro Pakatan, "jika mahu diambil tindakan, maka sumber berita harus diambil terlebih dahulu bukannya akhbar dan wartawan yang menjadi pelapornya." 

16. Justeru saya terasa sangat aneh mengapa tiada gesaan keras untuk mengambil tindakan ke atas jurublog-jurublog terbabit tetapi mereka lebih menumpukan kepada Utusan malaysia yang hanya menyampaikan berita dan perlu mencari berita menarik untuk menjual akhbar mereka?

17. Nyata sekali ada pihak berkepentingan mahu mewujudkan kebencian penganut agama Kristian kepada UMNO, BN dan Kerajaan dengan menghentam Utusan Malaysia sambil mendakwa Utusan adalah alat UMNO. 

18. Hakikatnya jika mereka jujur mahu meredakan konflik agama ini bukannya mahu berpolitik mengapa mereka tidak mendesak tindakan ke atas mereka yang membuat dakwaan ini? Atau apakah ada kebenaran dakwaan jurublog ini sehingga DAP terpaksa melencong isu dari mencari kebenaran kepada menyerang Utusan Malaysia?

19. Secara peribadi saya percaya adalah lebih baik jika Utusan tidak menjadikan kenyataan dua buah blog terbabit sebagai berita muka hadapan mereka. Namun Utusan seperti akhbar lain bersaing merebut ruang iklan melalui jumlah edaran dan jualan. Mereka terpaksa merebut pembaca, dan kenyataan seperti itu sangat tinggi nilai beritanya kepada pembacanya.

Konflik Agama Sangat Berbahaya

20. Cubaan mewujudkan konflik agama sangat berbahaya kepada negara kita yang pelbagai kaum dan agama ini. Ia bukan sahaja berbahaya kepada keselamatan rakyat, malah kepada ekonomi negara.

21. Ketika Perdana Menteri berusaha keras meningkatkan ekonomi negara ada kumpulan yang begitu berminat mencetuskan pertikaian dan konflik agar boleh meraih keuntungan politik.

22. Kita jangan lupa peristiwa perbalahan dan konflik antara kaum dan agama membabitkan kaum Serb, Croat dan Bosnia yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memecah belahkan sebuah negara. Jangan kerana hendak seronok berpolitik sehari dua, akhirnya menderita berabad lamanya. Dari Blog Dr Mohamad Khir Toyo


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular