Sunday, April 21, 2013

Kerjaya politik Ong Tee Keat berakhir?

21 APRIL — Terkejut dan tidak disangka-sangka!
Demikian reaksi pertama penulis selepas mendapati perkhabaran bahawa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sememangnya, keputusan di saat-saat akhir oleh Tee Keat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan sesuatu yang mengejutkan.

Lebih-lebih lagi, tidak ada pun petanda-petanda bahawa Tee Keat akan memilih untuk tidak bertanding. Sedia maklum, perwatakan Tee Keat yang keras dan tidak mudah menyerah meyakinkan ramai bahawa beliau akan terus bertanding sebagai calon di Pandan.

Perkhabaran ini sudah pasti mengecewakan ramai pengikut setianya yang telah menyokong beliau selama ini. Malah beberapa hari sebelum penamaan calon, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat setempat mengadakan protes bagi membantah tindakan MCA tidak mencalonkan Tee Keat.

Bagi kumpulan pengundi tersebut, mereka hanya mengenali Tee Keat dan tidak akan mengundi mana-mana calon selain Tee Keat. Bagi mereka nama Tee Keat merupakan satu institusi di Pandan. Tee Keat adalah Pandan dan Pandan adalah Tee Keat.

Malah mereka juga mengancam untuk memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dalam satu pengumuman ringkas sebelum bermulanya penamaan calon pagi Sabtu, Ahli Parlimen Pandan dan Ampang Jaya selama lima penggal itu memaklumkan, beliau akan menumpukan sumber terhadnya untuk terus membantu rakyat Pandan menerusi program-program rakyat.

Bagaimanapun, Tee Keat menggesa penyokong-penyokong setianya untuk tidak bersedih kerana pengumuman mengejutkan itu tidak bermakna beliau telah mengabaikan kumpulan pengundi yang telah menyokongnya.

Ketiadaan Tee Keat pada PRU kali ini sudah pasti sukar ditelan oleh penyokongnya. Boleh juga dikatakan berakhirnya satu era dalam politik di Pandan.

Selama lima penggal, nama Ong Tee Keat menjadi sebutan ramai. Dan kepada beliau, ramai masalah rakyat diadukan dan ternyata beliau tidak menghampakan mereka. Mereka yang datang pula terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Keputusan MCA untuk tidak mencalonkan Tee Keat sebagai calon di Pandan merupakan penghinaan terakhir buat mantan Presiden MCA itu. Selepas kehilangan jawatan sebagai Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan dan kini Ahli Parlimen, kerjaya politik Tee Keat sudah sampai ke penghujungnya.

Biarpun dianggap sebagai seorang calon boleh menang dan disenangi oleh rakyat di Pandan malah disenangi oleh Perdana Menteri sendiri, kriteria itu tampaknya tidak dapat meyakinkan Soi Lek dan kepimpinan tertinggi parti untuk menerimanya. Oleh itu, dimanakah keadilan dalam politik yang sering diuar-uarkan?

Namun bagi Tee Keat, keputusan untuk tidak bertanding pada saat-saat akhir mengundang pelbagai persoalan. Pertamanya, adakah beliau benar-benar bersara terus daripada politik? Keduanya, adakah keputusan untuk tidak bertanding bermakna Tee Keat masih berpeluang untuk kembali bersaing untuk jawatan tertinggi pada pilihan raya parti akan datang? Ketiga, mungkinkah juga Tee Keat kini sedang memikirkan terus untuk berhijrah ke Pakatan Rakyat?

Dari segi logiknya, mana-mana pemimpin politik tidak mungkin mahu menamatkan riwayat politik mereka dalam keadaan yang tragis dan Tee Keat juga tidak terkecuali. Jika berlandaskan kepada kenyataan yang diberikan Tee Keat hari ini, nampaknya beliau masih belum berputus asa untuk berkhidmat kepada rakyat Pandan biarpun tidak lagi bergelar sebagai Ahli Parlimen selepas ini.

Cuma peranan beliau kini lebih menjurus sebagai seorang dermawan atau philantrophist yang akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan penduduk. Keputusan Setiausaha Sulit Tee Keat, Allan Tan Yew Leng untuk bertanding sebagai calon Bebas dilihat hanya strategi memecahkan undi di Pandan.

Sedia maklum, inilah kali pertama Allan akan bertanding sebagai calon pilihan raya. Allan mula berkhidmat dengan Tee Keat sebagai Setiausaha Sulitnya sejak 2001 lagi dan dikenali ramai khasnya dalam kalangan penduduk Pandan. Keputusan Allan untuk bertanding itu juga dilihat satu percaturan taktikal oleh Tee Keat.

Berkemungkinan, Tee Keat menyedari beliau tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi Pandan jika berlakunya pertembungan tiga penjuru dan justeru, beliau menggunakan Allan sebagai proksinya.

Dan ini membawa kita kepada persoalan kedua, iaitu apakah Tee Keat masih bercita-cita untuk kembali menerajui MCA? Petang semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin memberi peringatan kepada semua calon BN yang bertanding atas tiket Bebas akan dipecat secara automatik ataupun digugurkan keahlian parti sepanjang hayat.

Pastinya, amaran oleh TPM itu sampai ke pengetahuan Tee Keat. Dengan memilih untuk tidak bertanding, bermakna Tee Keat tidak boleh dipecat sebagai ahli parti MCA. Bermakna juga Tee Keat masih berpeluang untuk kembali bergiat aktif dalam politik kepartian, lebih-lebih lagi pilihan raya parti akan diadakan pada tahun ini.

MCA sudah begitu sebati dalam jiwa Tee Keat. Mula menyertai parti itu pada 1981, beliau keberatan untuk meninggalkan parti berkenaan dan ini terserlah dalam satu temuramah dengan media semalam. Biarpun Tee Keat sudah kehilangan segala-galanya, cabaran yang diberikan oleh Tee Keat pada pilihan raya parti tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Maka kerana itu, kita dapat lihat pucuk kepimpinan parti MCA dan Soi Lek beria-ia untuk menentang pencalonan beliau di Pandan. Ketegasan itu jelas menterjemahkan kebimbangan mereka.

Keputusan sebulat suara oleh Jawatankuasa Pusat MCA untuk menolak pencalonan Tee Keat merupakan satu bukti jelas bahawa mereka bertekad mematikan terus langkah mantan Presiden MCA. Langkah itu merupakan satu tindakan pre-emptive untuk menghalang Tee Keat daripada meneruskan agenda untuk kembali menerajui MCA.

Seandainya Tee Keat berjaya mengorak langkah kembali ke MCA seperti yang disebutkan, beliau bakal berhadapan dengan saingan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA lain yang sedang menunggu peluang dan ketika untuk menaiki tampuk kekuasaan.

Nama-nama seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Datuk Seri Ong Ka Chuan turut mengintai jawatan tertinggi parti itu. Malah ketika ini juga, Soi Lek telah membuat percaturan untuk mengukuhkan pengaruhnya di dalam parti, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan parti akan diadakan selepas PRU 13 nanti.

Ini terserlah dengan barisan kepimpinan calon MCA yang dinamakan untuk PRU 13. Kebanyakan yang diturunkan merupakan pengikut setia Soi Lek. Tokoh-tokoh seperti Datuk Chua Tee Yong, Loh Seng Kok, Datuk Tee Siew Kiong, Datuk Donald Lim Siang Chai adalah antara proksi Soi Lek.

Justeru, peluang untuk Tee Keat kembali ke MCA penuh dengan ranjau dan liku berduri. Untuk Tee Keat kembali berkuasa, mantan Presiden MCA itu harus melalui terlebih dahulu proksi-proksi ini. Tambah menyukarkan, Tee Keat perlu meyakinkan lebih 2,400 perwakilan bahawa satu perubahan total perlu di dalam MCA jika MCA mahu terus kekal relevan dalam politik semasa negara.

Pemimpin politik seperti beliau yang terkenal dengan sikap terus-terang dan “calling a spade, a spade” mungkin digemari oleh rakyat namun dalam realiti politik negara, ia ditohmah dan dibenci.

Sepanjang kerjaya politiknya, Tee Keat telah mengharungi pelbagai suka-duka dan pengguguran beliau sebagai calon pilihan raya hanyalah sebahagian daripada proses tersebut.

Namun kejayaan terbesar pernah dikecapi Tee Keat ialah semasa bertanding pada pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen Ampang Jaya pada 1989. Biarpun ketika itu, beliau baharu sahaja menjadi seorang pemimpin politik sepenuh masa tetapi kejayaannya menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dengan majoriti 4,500 undi mencuri tumpuan.

Dan bermula dari situ, kerjaya politik Tee Keat terus berkembang apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada 2008. Lebih manis lagi pada Oktober 2008, beliau pula dipilih sebagai Presiden MCA ke-8.

Soal sama ada Tee Keat akan berhijrah ke Pakatan Rakyat tidak berbangkit. Malah dalam satu pertemuan dengan Tee Keat baru-baru ini, pemimpin berkenaan memaklumkan beliau sangsi dengan politik di dalam Pakatan Rakyat.

Baginya, penghijrahan ke Pakatan Rakyat tidak akan menyelesaikan masalah malah mungkin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk mengelak masalah. Perwatakan tegas dan menyendiri kurang disenangi oleh segelintir pemimpin parti pembangkang. Mereka mungkin melihat Tee Keat sebagai seorang tokoh yang akan menghalang cita-cita terpendam mereka.

Pastinya, keputusan untuk tidak bertanding merupakan satu keputusan yang sudah difikir semasak-masaknya. Ia juga satu pengalaman baharu buat Tee Keat sepanjang kerjaya politiknya yang mencecah tiga dekad. Apa tidaknya, sepanjang tempoh perkhidmatan di dalam kerajaan, beliau sentiasa komited dengan agenda yang diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional. Cuma apa yang membezakan beliau dengan pemimpin-pemimpin politik lain ialah sikap berterus-terangnya dalam isu-isu panas seperti PKFZ dan rasuah.

Buat pertama kali dalam kerjaya politiknya, beliau tidak perlu bersusah-payah untuk berkempen. Beliau juga tidak perlu menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk meraih sokongan. Lebih signifikan, beliau kini boleh menjadi pemerhati politik dari luar.

Dari segi strateginya, keputusan untuk tidak bertanding mempunyai pro dan kontranya. Ada yang mengatakan Tee Keat membuat pilihan tepat kerana parti yang pernah diterajuinya sudah mengabaikan beliau. Tidak kurang juga yang sinis mengatakan seorang pemimpin yang jujur seperti Tee Keat tidak mungkin mendapat tempat dalam hati MCA lagi.

Ada pula percaya bahawa keputusan itu harus dibuat lebih awal kerana era Tee Keat di Pandan sudah berakhir. Apapun, keputusan itu tidak akan mengubah persepsi dan sokongan pengundi terhadap mantan Presiden MCA itu.

Malah menurut kumpulan pengundi ini, Tee Keat sepatutnya menyertai Pakatan Rakyat jika mahu terus memperjuangkan agenda ketelusan dan keterbukaannya.

Penyertaan Allan sebagai calon Bebas di Pandan bermakna pertandingan di kawasan berkenaan akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli dan seorang peguam yang mewakili BN, Gary Lim. Cumanya, peluang untuk Allan memenangi saingan kali ini agak tipis kerana momentum kini berpihak kepada Rafizi. Paling tidak pun, Allan hanya akan meraih undi simpati.

Ternyata, keputusan beliau untuk tidak bertanding sebagai calon kali ini konsisten dengan pendiriannya selama ini yang tidak mahu mengingkari kerajaan. Akan tetapi dalam dunia politik, tiada yang mustahil.

Percaturan untuk tidak bertanding sebagai calon di Pandan menutup kerjaya politik Tee Keat selama lebih tiga dekad. Kini, pengundi-pengundi di Pandan perlu membuat keputusan sukar sama ada untuk terus memberikan sokongan kepada Allan berlandaskan rekodnya sebagai Setiausaha Sulitnya yang taat atau menginginkan angin perubahan dengan menyokong Rafizi ataupun memilih calon BN, Gary Lim.

Pilihan itu terletak di tangan pengundi Pandan.

Apakah Tee Keat akan kembali bergiat aktif dalam arena politik negara selepas ini?

Hanya beliau sahaja yang mampu menjawab persoalan tersebut. - MI

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular