Wednesday, October 19, 2011

Himpunan Sejuta Umat: PAS Umum Pendirian: TIDAK TERLIBAT!


Himpun: PAS tidak terlibat


KUALA LUMPUR, 18 Okt: PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober 2011 ini.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, sebentar tadi.


Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya. Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam. PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS
Himpunan Sejuta: Pemuda PAS perlu patuh keputusan parti, kata SU Agung

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Pemuda PAS perlu mematuhi keputusan diambil kepimpinan parti berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan di Shah Alam Sabtu ini, kata Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini memutuskan bahawa biro politik PAS, yang akan bertemu malam ini, akan mengambil pendirian sama ada Himpun merupakan strategi Umno untuk menggunakan isu etnik menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Mereka berada di bawah kami. Apa sahaja kami putuskan, mereka mesti patuh,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insider selepas sidang media Pakatan Rakyat hari ini.

PAS pusat akan membuat pendirian sama ada akan menyertai kempen Himpun ataupun sebaliknya malam ini.

Dalam satu kenyataan awal pagi tadi, Pemuda PAS berkata pihaknya menyokong perhimpunan tersebut yang bermatlamat mahu menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan memberi sokongan sebagaimana diperlihatkan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, kepimpinan pusat akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dan keputusan itu akan menentukan sama ada mereka akan menyertai Himpunan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 60 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu.

“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak,” kata Nasrudin.

Dr Rani yang juga Adun Meru berkata, PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu sidang media bahawa biro politik akan melihat sama ada terdapat agenda politik di sebalik penganjuran Himpun.

“Ya, anda mesti mempertahankan akidah anda tetapi tidak harus bertindak tidak adil ke atas kepercayaan-kepercayaan lain. Ketegangan kaum tidak harus dicetuskan,” kata beliau.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, PAS akan mengetuai isu itu dan perikatan akan membuat keputusan akhir selepas pertemuan biro politik komponen tersebut malam ini.

“Kami sedang mengumpulkan maklumat sama ada terdapat pembabitan Umno. Adakah mereka benar-benar mempertahankan akidah? kata Ketua Umum PKR ini.

Beberapa jam sebelum sidang media itu, penganjur Himpun menegaskan, gerakan itu tiada kaitan dengan elemen politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan termasuk kaum lain.

Pengerusi Bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perhimpunan itu juga tiada kaitan dengan beberapa ahli politik yang kontroversial termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin yang dilaporkan akan berucap pada majlis tersebut.

“Zulkifli Nordin, Senator Ezam Mohd Noor dan (Ahli Parlimen Pasir Mas) Datuk Ibrahim Ali tidak terlibat dalam kepimpinan Himpun. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan tokoh pada hari perhimpunan.

“Jika mereka mengeluar sebarang kenyataan berkait dengan perhimpunan, itu tidak mewakili Himpun,” kata beliau dalam satu kenyataan. -TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular