Wednesday, September 28, 2011

Bajet 2012 adalah bajet pilihanraya

Kemungkaran politik dan ekonomi - Tanggungjawab rakyat menolaknya
Ramai rakyat berpendapat pilihanraya umum akan tiba dalam tahun ini juga. Faktor banjir musim tengkujuh tidak menjadi hal kerana jika di adakan waktu banjir yang kebetulan berlaku di dalam negeri-negeri tadbiran PR, banjir itu mungkin menjadi ‘plus faktor’ kepada BN kerana ramai penyokong PR di negeri-negeri itu katanya tidak akan dapat keluar mengundi dengan sepenuhnya. Betul atau tidak pandangan itu saya tidak tahu.


Tetapi yang penting sekali kita lihat PM Najib sudah menjelajah ke seluruh negara mengumumkan peruntukan itu dan ini dalam jumlah yang sangat besar. Wang ringgit yang di salurkan kepada rakyat sekarang itu adalah wang rakyat termasuk wang rakyat yang tidak menyokong BN, bukannya wang BN.

Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7hb Oktober ini adalah bajet pilihanraya. Keseluruhan bajet itu akan penuh dengan janji-janji dan selalunya sebagaimana pengalaman yang lalu tidak semua janji itu akan terlaksana kerana ianya hanya janji dan janji. Samada bajet itu cantik atau sebaliknya kecenderungan rakyat untuk melakukan perubahan semakin kuat dan nyata.

Yang pentingnya rakyat mesti seronok selepas mendengar pembentangan bajet itu. Semasa rakyat sedang seronok itulah pilihanraya akan diadakan kerana jika dilakukan lama selepas itu rakyat akan sedar bajet itu hanyalah janji untuk mendapatkan sokongan yang kebanyakannya tidak akan dapat dilaksanakan.

Najib tidak akan mengadakan pilihanraya sesudah rakyat sedar yang bacaan pembentangan bajet itu hanyalah satu pembentangan yang tidak mungkin terlaksana. Sebelum rakyat sedar pilihanraya mesti di adakan.

Banyak perkara yang akan dilakukan yang memungkinkan rakyat marah semuanya ditangguhkan. Cukai 6% keatas perkhidmatan pra bayar melalui perlaksanaan GST telah ditangguhkan selepas pilihanraya. Dalam isu ini semua rakyat tahu yang mereka akan dikenakan cukai ini selepas pilihanraya nanti. Justru mengundi BN kali ini ialah untuk mempastikan BN boleh mengenakan cukai terhadap mereka apabila mereka mendapat mandat nanti.

Tetapi BN tidak menyedari yang anak-anak muda mungkin tidak akan mengundi BN untuk mengelakan mereka dicukai sebanyak 6% itu. Pendek kata semua yang akan dikenakan kepada rakyat tidak akan dilakukan sekarang ini. Mereka akan dikenakan semuanya itu setelah mereka mengundi BN nanti.

Di peringkat parti-parti kedua-dua belah pihak BN dan PR mereka sedang berusaha menyelesaikan masalah yang ada di antara parti masing-masing. UMNO dan ahli-ahli komponennya sedang berusaha menyelesaikan masalah di antara mereka. BN sedang cuba mengatasi masalah beban yang sedang UMNO pikul untuk menjadikan MCA dan Gerakkan di terima kembali oleh pengundi.

Di pihak PR yang hanya belum selesai ialah masalah isu hudud yang sedang di usahakan untuk dilaksanakan di negeri Kelantan yang kini menjadi masalah di antara PAS dengan DAP. Kedua-dua belah pihak mempunyai masalah.

UMNO berpendapat (kata Muhyiddin) yang UMNO bukan menentang hudud tetapi undang-undang itu belum sampai masanya untuk dilaksanakan kerana belum bersedia. Tetapi kepada yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat kerajaan Persekutuan telah menolak usul untuk mengadakan hukum hudud ini bulat-bulat semasa pimpinan Dr Mahathir dulu.

Saya tidak menyalahkan Dr Mahathir dalam isu ini tetapi apa yang salahnya beliau telah mengalihkan kesalahan itu kepada Karpal Singh bukannya disebabkan penolakan kerajaan Persekutuan. Memanglah Karpal menolaknya kerana pemimpin Islam seperti pemimpin UMNO sendiri menolaknya bagaimana pula kita hendak mengharapkan Karpal untuk memperjuangkan hudud itu.

Saya tidak mahu berbahas tentang hudud ini kerana saya tidak faham tentang sistem perundangan hudud ini. Tetapi apa yang saya faham hudud adalah ‘preventive Law” sedangkan undang-undang civil itu adalah sebaliknya. Yang saya tahu di Saudi Arabia yang melaksanakan hudud ini pun tidak sampai sepuluh orang yang dipotong tangannya kerana kesalahan mencuri, kerana dengan undang-undang hudud ini orang ramai amat takut untuk melakukan perkara-perkara yang mempunyai elemen mencuri dan sebagainya.

Tetapi biarkan isu itu dihalusi oleh semua pihak dalam PR kerana BN memang tidak bersetuju dengan hukum hudud ini. Hukum hudud ini memang telah dimomokan sebagai hukum yang zalim oleh mereka yang takut menghadapi undang-undang ini. Dalam sistem hudud bukan senang untuk membuktikan kesalahan seseorang kerana saksi-saksi yang sekurang-kurangnya 4 orang itu mestilah dari mereka yang muktabar dan ini susah untuk dicari. Usaha untuk menentukan samada saksi-saksi itu adalah dari mereka yang muktabar itu sendiri adalah susah.

Bukan kerja senang untuk memotong tangan seseorang itu dalam sistem hudud. Kalaulah begitu senang maka kita akan lihat beribu-ribu rakyat yang tidak bertangan terutamanya dikalangan mereka yang rasuah dalam kerajaan. Bukan semudah itu untuk memotong tangan orang dalam sistem hudud itu.

Isu hudud ini membesar sekarang kerana ianya dijadikan isu politik oleh pihak tertentu untuk memecahkan perhubungan PAS dengan DAP kerana kita sedang menunggu tarikh pilihanraya yang tidak lama lagi. Perhubungan yang rapat di antara PAS dan DAP sangat memeningkan BN. Keadaan ini memang tidak pernah dijangka oleh BN yang selama ini selesa kerana perbezaan filsafah perjuangan kedua-dua parti ini.

Tetapi dalam hati saya apa pun keadaannya hidup di dalam masyarakat majmuk seperti kita ini mesti ada pengorbanan semua pihak. Saya tidak bersetuju dengan pandangan rasis yang dimainkan oleh UMNO untuk mendapatkan sokongan. Jika berjaya pun UMNO untuk mendapat sokongan setiap orang Melayu dan berkuasa dalam kerajaan ianya tidak membawa apa-apa makna kepada kestabilan negara berbilang kaum seperti negara kita ini.

Itulah sebabnya PR sedang mendapat tempat dihati rakyat terutamanya dikalangan anak-anak muda kerana mereka sudah mual dengan keadaan ini. Sebenarnya dalam masyarakat bawahan seperti masyarakat yang saya hidup sekarang ini, kita tidak ada masalah untuk hidup bersama-sama dalam harmoni.

Yang cuba untuk memecah belahkan kita hanya kepada mereka yang inginkan kuasa maka mereka menggunakan isu ini untuk mendapat keuntungan politik dan di iringi oleh kepentingan peribadi semata-mata. Mereka menggunakan perpecahan kita di bawah ini sebagai modal politik mereka.

Itulah sebabnya mereka memilih hukum hudud sebagai senjata yang ampuh untuk mendapatkan kuasa ini dengan menakut-nakut kan orang Cina dengan hukum ini, justru berjaya memecah belahkan keharmonian rakyat di bawah ini. Kepada orang Melayu mereka menggunakan isu-isu lain terhadap DAP misalnya untuk Melayu kembali kepangkuan UMNO.

Orang Melayu pula sudah begitu tidak tahan dengan sikap UMNO yang tidak jujur dari atas hingga ke bawah. Akhirnya dengan tindakan UMNO ini maka orang Melayulah yang paling malang dalam negara yang mereka kata sebagai negara asal dan pribumi kepada mereka.

Bagi saya orang Melayu tidak lagi perlu berjuang dalam parti-parti Melayu. Orang Melayu mesti berjuang dalam arena lebih jauh dari terjerat dengan UMO yang sudah begitu tersasar perjuangannya. Pemikiran insular pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan membawa perubahan dan kemampuan orang Melayu dalam menghadapi kehidupan yang kian mencabar.

Orang Melayu wajar berada di mana-mana. Orang India yang kecil bilangan penduduknya di sertai dengan begitu ramai ahli-ahli dalam Dewan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri-negeri melalui semua parti yang boleh di sertai oleh berbagai kaum seperti DAP, PKR, serta parti-parti lain. Malahan orang Melayu perlu berpolitik lebih jauh dari politik kepartian yang rasis keperibadiannya.

Pemikiran insular pemimpin UMNO ini jugalah yang menggegarkan yang Melayu perlu menjadi bangsa yang global dengan retorik-retorik yang besar-besar itu sedangkan mereka sendiri mempunyai pemikiran yang ‘narrow-minded’ yang akan menyekat pembangunan orang Melayu sendiri.

Di Pulau Pinang misalnya ramai kontraktor dan peniaga Melayu telah mendapat banyak kerja yang di berikan oleh kerajaan negeri dan di akui oleh Dewan Perniagaan Melayu P Pinang. Saya pernah bertanya kepada pimpinan DAP yang memerintah samada orang Melayu yang berjaya itu adalah di sebabkan oleh mereka seorang bumiputra dan mereka diberikan keistimewaan?

Mereka menjawab yang mereka diberikan kerja kontrak itu bukan kerana mereka Melayu tetapi kerana merit yang ada kepada mereka. Jawapan ini sangat memberansangkan saya kerana rupa-rupanya orang Melayu diakui oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai bangsa yang bermaruah dan mempunyai merit yang tinggi.

Rupa-rupanya kumpulan kotraktor bumiputra ini lah yang selama ini tidak mendapat apa-apa semasa pemerintah BN kerana kerajaan BN hanya menumpukan perhatian kepada kontraktor-knotraktor kroni mereka sahaja dan peluang untuk kontraktor yang mempunyai merit itu tertutup rapat. Mereka hanya berjaya membina kemampuan mereka setelah mereka dilayan sama rata dan mereka mendapat kerja-kerja itu dengan kemampuan mereka sendiri dan kerajaan P Pinang tidak menolaknya.

Inilah cara pentadbiran yang dikehendaki rakyat; satu kerajaan yang boleh memberikan peluang kepada semua pihak dan bukannya peluang untuk kroni-kroni yang hampir dengan pemerintah sahaja. Kerajaan yang benar-benar baik ialah kerajaan yang serius mentadbir dengan jujur dan berkesan untuk mendapat sokongan ramai.

Rakyat tidak mudah terpengaruh dengan kempen Perdana Menteri mengayuh basikal di merata-rata tempat. Rakyat tidak akan bahagia dengan peruntukan wang ringgit semasa musim pilihanraya sahaja. Sampai bila kita hendak memberikan sokongan kepada pemimpin yang datang semasa pilihanraya dan mengayuh basikal ke hulu kehilir. Rakyat mahukan dasar yang mantap dan yang dilaksanakan dengan baik tanpa rasuah, tanpa kroni.

Salah seorang dari sahabat yang mendapat kerja kontrak di P Pinang memberitahu saya, “Bang, kat Penang tak payah nak bawak EXCO atau ketua jabatan pergi Siam atau pergi karaoke untuk dapat kontrak ni bang. Dulu nak dapatkan kontrak terpaksa bawa pemimpin UMNO dan w/rakyat pergi Haadyai dan macam-macam lagi. Ratusan ribu habis kerja tak dapat juga”.

Sesungguhnya rakyat mahukan sebuah kerajaan yang ‘decent’ untuk mereka hidup dengan tenang dan tidak mahu lagi melihat perkara-perkara mungkar berlaku di hadapan mata kepala mereka sendiri. Bentangkanlah bajet yang terhebat sekali pun tetapi jika rakyat ramai tidak mendapat nikmatnya semuanya itu tidak akan membawa apa-apa makna kepada negara. Yang untung hanyalah segelintiran manusia istimewa di sekeliling pemimpin-pemimpin besar sahaja.

Banyak perkara yang rakyat nampak kemungkaran berlaku, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kuasa ada di kalangan mereka yang mungkar ini. Itulah sebabnya mereka memilih untuk menukar kerajaan. Samada berjaya atau tidak itu hanya keadaan akan menentukannya. Mereka sangat benci dengan OSA dan berbagai akta yang melindungi rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan.

Tetapi sejarah dunia yang sudah tua ini membuktikan yang bathil itu tetap akan kecundang akhirnya dan yang benar itu tetap akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi rintangan yang besar sebelum menempa kejayaan.

Segala kemungkaran politik dan ekonmi serta kegiatan memecah belahkan perhubungan di antara kaum ini akan hanya dapat di hapuskan oeh rakyat jika rakyat ramai-ramai berpakat untuk menolaknya.

Lakukan secara demokrasi. - Aspan Alias

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular