Wednesday, August 21, 2013

Isu Di Mesir : Surat ini Tidak Diterbitkan oleh Berita Harian

SURAT YANG HANTAR OLEH AHLI DEWAN PERWAKILAN NASIONAL IKRAM MALAYSIA KEPADA BERITA HARIAN YANG TIDAK DITERBITKAN OLEH AKHBAR TERSEBUT!!!!

Saudara Pengarang,
Saya merujuk kepada laporan bertajuk Kaherah Lengang yang tersiar dalam Berita Harian pada 16 Ogos 2013 lalu dan Perarakan bantah perintah darurat pada hari ini mengenai peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Kaherah.

Laporan-laporan dan gambar yang disiarkan amat tidak adil kepada apa yang berlaku di sana, dipetik dari AP/AFP yang membawa agenda tersendiri Barat yang tidak suka kepada perkembangan Islam dan berjayanya aktivis Islam di dalam arena politik.

Laporan dengan menyedut bulat-bulat sepenuhnya sumber Barat ini sangat malang kerana saya yakin Berita Harian sebagai media berwibawa mempunyai tanggung-jawab besar untuk memastikan maklumat yang disalurkan kepada pembaca tepat, adil dan saksama.

Saya ingin mencadangkan agar Berita Harian merujuk juga secara langsung kepada sumber-sumber lain yang lebih adil seperti Al-Jazeerah dan media-media rasmi Ikhwan Muslimin dan partinya, FJP sendiri.

Penelitian terhadap ribuan foto dan video yang dimuat-naik di Youtube dan laman media sosial juga memberi gambaran yang bertentangan dengan apa yang dilaporkan oleh AP/AFP.

Yang berlaku bukan pertempuran tetapi pembunuhan. Yang terjadi bukan keganasan penunjuk perasaan tetapi kekejaman pihak keselamatan yang menggunakan senjata dan penembak tepat ke atas kumpulan yang berkumpul di sekitar masjid. Yang terbunuh kebanyakannya bukan orang bersenjata tetapi penunjuk perasaan yang duduk membantah secara aman.

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim tentera Mesir tidak boleh diterima di atas tiga sebab.

Pertama, Islam mengharamkan pembunuhan kecuali di dalam beberapa kes tertentu. Pembunuhan beramai-ramai secara rambang yang dilakukan di medan Rabaah Khamis lepas tidak lepas dari pengharaman ini.

Kedua, sistem dan institusi demokrasi perlu dipertahankan. Di dalam mana-mana negara demokrasi, pilihan raya adalah pemutus muktamad dalam pemilihan pemimpin.

Apa yang berlaku ialah Dr. Mohamad Morsi yang dipilih oleh lebih separuh rakyat Mesir telah diturunkan dengan rampasan kuasa yang tidak demokratik, hanya dengan alasan demonstrasi jalanan yang melibatkan segelintir rakyat Mesir. Dakwaan mengatakan belasan juta rakyat berhimpun menuntutnya turun telah dibuktikan sebagai tidak benar.

Demonstrasi jalanan tidak boleh menidakkan keputusan pilihan raya yang sah, sama seperti kita tidak mungkin menerima perubahan kerajaan di Malaysia melalui demonstrasi jalanan.

Perhimpunan aman di Kaherah adalah kerana rakyat mahu menuntut keadilan dan pengembalian sistem demokrasi yang sah. Mereka duduk secara aman, bersolat, berzikir, mendengar ceramah dan berpuasa sepanjang Ramadan. Tujuan mereka ialah bantahan secara pasif, bukan agresif.

Kenapa mereka diserang secara kejam sedemikian yang patut menjadi isu dan persoalan yang dibangkitkan.

Ketiga, sebagai individu yang berperi kemanusiaan, kita tidak boleh menerima pembunuhan kejam beramai-ramai.

Bayangkan ratusan wanita, orang tua, anak-anak yang turut terkorban, ada yang terbakar hidup-hidup apabila Masjid Rabaah dibakar oleh pihak keselamatan.

Banyak video yang menunjukkan ada wanita dan lelaki yang ditembak oleh penembak tepat, walaupun mereka tidak berbuat apa-apa kecuali berdiri dan melaungkan slogan.

Bahkan, beberapa pemberita dan jurugambar media dibunuh oleh penembak tepat kerana pihak keselamatan khuatir berita dan foto kekejaman mereka akan disebar ke seluruh dunia.

Tidak ada individu yang mempunyai nilai kemanusian boleh menerima kezaliman ini walaupun di atas alasan apa jua pun.

Semoga rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang penyayang dan prihatin dalam memperjuangkan nasib umat Islam sejagat serta umat manusia amnya. Jika kita tidak memiliki sifat keprihatinan dan kasih sayang kepada sesama manusia apatah lagi yang ditindas, kita mungkin dilupa atau disisih orang tatkala kita memerlukan pertolongan.

Dr. Omar bin Yaakob
55, Jalan Bukit Kempas 2,
Taman Bukit Kempas,
81200 Johor Bahru


Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular