Tuesday, August 20, 2013

Ada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983), mengapa DS Zahid sibuk dengan EO?

KENYATAAN MEDIA 20.8.13
Ada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983), mengapa DS Zahid sibuk dengan EO?

Merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan bahawa polis mempunyai kuasa di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) untuk menahan suspek untuk tempoh 72 hari untuk membantu siasatan dan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju menghidupkan semula undang-undang penahanan tanpa bicara untuk mengekang peningkatan jenayah.

Kedua-dua kenyataan di atas adalah satu tamparan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang selama ini berhujah perlunya dikembalikan Akta Ordinan Darurat (EO) untuk melawan jenayah berat yang semakin meruncing.

Pertama, Ketua Polis Negara membuktikan Zahid silap selama ini memperjuangkan EO sebagai penyelesaian kepada jenayah dan juga menyedarkan rakyat rupa-rupanya ada lagi akta yang setara dengan ISA dan EO yang membenarkan penahanan selama 72 hari, dua bulan setengah dengan arahan mahkamah!

Kedua, PM Najib membuktikan saranan Zahid untuk mengembalikan EO tidak dipersetujui kabinet.

Kenyataan bercanggah sebegini meruntuhkan lagi kepercayaan awam terhadap Zahid dan kementeriannya.

Persoalan yang lebih utama ialah apakah tujuan Zahid memperjuangkan kembali EO? Apakah ia kerana kuasa menggunakan EO berpusat di tangan menteri, manakala akta lain memerlukan perintah mahkamah atau sekadar interbiu tersirat beliau untuk pertahan jawatan Naib Presiden Umno di pemilihan parti yang bakal datang?

PAS menyokong pendirian yang diambil oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi supaya Akta Pencegahan Jenayah 1959 (disemak 1983) yang sedia ada diperbaiki supaya memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah berat. PAS berharap Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) ini tidak disalahgunakan pada orang yang tidak bersalah dan untuk sebarang tujuan politik jahat.

PAS juga mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan mereka menahan 200 suspek yang disyaki terlibat dengan jenayah berat baru-baru ini. Pencegahan jenayah mesti dibuat sepanjang waktu. Pencegahan jenayah yang dilakukan secara bermusim dan tidak berkala bakal menyebabkan para penjenayah untuk terus melakukan jenayah kerana merasakan operasi mereka mudah dilakukan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Ogos 2013

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular