KUALA LUMPUR 13 Ogos: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan cara terbaik untuk mendidik, sebaliknya membebankan rakyat dan menguntungkan kroni, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.
Sistem yang dikuatkuasa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mensasarkan kadar saman yang tinggi dan jumlah kutipan besar dengan kompaun minimum RM300 hingga RM2000.
“Tujuan utama undang-undang diperkenalkan supaya rakyat selamat di jalan raya, bukan sekadar saman dan kaut keuntungan,” kata Sim yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Pantai Jerejak.
Beliau turut mempersoal pelaksanaan AES yang diswastakan oleh kerajaan.
“Kenapa swastakan AES sedangkan ia adalah tugas polis? Penswastaan ini akan menimbulkan keraguan bahawa sistem tersebut akan disalahguna untuk mengaut keuntungan,” katanya.
Tambah Sim, konsep sistem itu yang tiada bezanya dengan saman ekor langsung tidak memberi amaran mahupun pengajaran kepada pemandu.
“Saman akan sampai selepas kejadian berlaku, masa bila pemandu nak belajar? Jika kita ambil contoh di luar negara, saman hanya akan dikeluarkan dengan kehadiran polis,” jelas beliau.
“Kita mahu rakyat ubah sikap melalui pengajaran, bukan penguatkuasaan.
Ya kita setuju dengan penguatkuasaan tapi sistem ini lebih bersifat perniagaan,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan agar saman perlu dibayar serta-merta, Sim berkata, ia perlu perbincangan lebih lanjut.
“Ia perlu dibincangkan dengan lebih lanjut, takut disalah guna dan menimbulkan gejala rasuah dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan dua syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun, lapor akhbar The Edge.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34507