Wednesday, August 24, 2011

UMNO memBABIkan serta mengANJINGkan manusia lain?

Hilangnya sesuatu bangsa itu bermula dengan kehilangan identitinya
Nampaknya cara untuk mengharapkan UMNO mendapat mandat seperti sediakala hanyalah dengan berdoa sahaja. Berdoa agar rakyat yang mengundi akan digerakan untuk memangkah simbol BN semasa berada di dalam peti undi di dalam piihanraya nanti. Kalau ditimbang dan di tara mengikut akal fikiran kita parti ini sudah terlalu payah untuk menambah keyakinan rakyat jika dibandingkan dengan keadaan dalam pilihanraya yang lalu.

Berdoa itu berdoalah. Tetapi selain dari berdoa untuk meringankan tangan rakyat untuk memangkah simbol BN itu usaha lain patut juga dilakukan dan di sertakan dengan doanya sekali. Usaha itu ialah untuk menurunkan tahap kesombongan pemimpin serta penyokong UMNO supaya tidak bertambah jauh lagi rakyat dari parti itu. Usaha ini adalah wajib supaya rakyat tidak menjauhi parti itu lebih jauh dari pilihanraya yang lalu.

Setiap di antara pemimpin dan ahli-ahlinya wajar berdoa untuk diri mereka sendiri supaya mereka tidak sombong lagi dan menambah tahap sahsiah yang lebih baik pada diri masing-masing. Jika UMNO masih berminat untuk mendapatkan sokongan rakyat ketinggian sahsiah diri mereka merupakan elemen yang terpenting kerana tanpa sahsiah yang tinggi rakyat tidak akan memberikan sokongan kepada parti itu lagi.

Penyokong-penyokongnya juga wajar bersahsiah yang baik. Jika tidak bersahsiah dan selalu mengecam orang yang tidak sehaluan dengan kata-kata kesat mereka akan dijauhi dan dibenci orang ramai. Sebagai parti yang memerintah sahsiah mestilah baik. Bagaimana UMNO hendak mendapatkan dukongan rakyat jika penyokong-penyokongnya sentiasa membabikan mereka yang tidak sehaluan.

Bagaimana pula orang ramai memandang ibu bapa kita jika kita hanya menggunakan mulut untuk memBABIkan serta mengANJINGkan manusia lain? Bukanlah sahsiah dan moral seseorang itu adalah datangnya dari didikan ibu bapa kita? Peradaban kita melambangkan keluarga dan tahap didikan ibu bapa kita. Kalau kita tidak pandai menjaga maruah kita setidak-tidaknya kita jagalah maruah ibu bapa kita yang telah membesarkan dan membela kita sejak lahirnya kita.

Gambar2 dari Blog Penyokong UMNO DI SINI, SINISINI  Dan SINI

Mereka sanggup menganjingkan orang yang tidak sehaluan politik merupakan manusia yang tidak bersahsiah, jauh sekali untuk diletakan mereka kedalam gulungan yang punya temaddun. 

Jika kita hendak menjadi pihak yang memerintah kita perlu dihormati. Jika ada di kalangan kita yang memanggil seseorang sebagai BABI dan anjing semata-mata mereka bukan dari gulungan kita bagaimana hendak diterima oleh rakyat yang memerlukan kepimpinan? Orang yang berkepimpinan tidak akan memanggil manusia lain dengan nama-nama kotor.


Orang yang mempuyai kepimpinan sepatutnya tahu bahawa manusia itu adalah secantik-cantik kejadian Tuhan. Menyamakan manusia dengan binatang tidak lain dari penghinaan terhadap kejadian tuhan yang paling cantik tadi. 

Bagi yang sedar tentang seriusnya penyakit ini mereka tidak akan mahu menjadikan parti sokongan mereka menjadi kilang sumpah menyumpah orang lain. jangan jadikan parti yang anda anggotai sebagao agen pemusnah ketemadunan dan menghilangkan identiti Melayu itu sendiri. Perlu diingat hilangnya banyak bangsa di muka bumi ini bermula dengan kehilangan identitinya.

Jika kita tidak bersetuju dengan sesiapa memadailah dengan mengkritik sikapnya sahaja dengan hujjah yang berhemah, bukannya membabikan orang lain seolah-olah menyokong pihak atau parti lain itu suatu kesalahan di sisi agama dan Tuhan kita. Tidak payahlah membabikan dan menganjingkan sesiapa. Kalau kita tidak mampu untuk berhujjah secara baik, lebih baik duduk diam sahaja dan belajar dari kesilapan orang lain dari belajar dari kesilapan buruk kita.

Jika kita menggunakan kata-kata yang kesat dan hina itu ianya hanya akan menunjukan kepada masyarakat bagaimana kita dididik oleh ibu bapa kita. Tidak kah kita kasihan terhadap ibu bapa kita lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kita yang telah meninggalkan kita. Bukankah bahasa yang kita keluarkan itu melambangkan budaya dan nilai kita di sisi masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi Tuhan Maha Esa?

Kenapa perlu kita aibkan diri kita sendiri? Bukankah mengaibkan diri kita sendiri itu adalah orang yang tidak mahu menjaga kesucian dan kerahsiaan Tuhan?

Bagi orang yang mempunyai sahsiah yang tinggi mereka akan merasa malu untuk menggunakan perkataan yang tidak baik kepada orang lain walau macam mana sekali pun mereka tidak sehaluan dengan kita terutamanya dalam politik.

Kita dicegah oleh agama kita menghina sesama manusia dengan ‘name calling’ yang mengaibkan itu walaupun kepada mereka yang berlainan bangsa, agama dan politik mereka. Negara ini adalah negara demokratik dan sesiapa juga boleh menentukan pendirian mereka dalam politik tanpa halangan.

Jika penyokong-penyokong UMNO masih mahukan sokongan ramai, hentikanlah mengaibkan manusia lain dengan panggilan-panggilan kotor itu. Tingkatkanlah sahsiah masing-masing agar orang ramai merasa sejuk untuk mendengar hujjah yang baik dari penyokong-penyokong dan pemimpin UMNO.

Orang ramai sudah bosan dan jengkel dengan sifat perongos penyokong-penyokong UMNO sekarang ini. Setakat ini mereka yang di atas pagar sudah mula menjauhkan diri mereka dari parti pemerintah kerana sifat mereka yang menjemukan serta menakutkan mereka (orang ramai) untuk mendekati mereka.

Berilah kefahaman kepada diri masing-masing yang kita hendak minta sokongan ini adalah mereka yang bernama manusia, bukannya haiwan liar di hutan belantara. Mereka ini ada agamanya, ada budayanya, ada adabnya dan mempunyai otak anugerah tuhan.

Gunakanlah mulut itu dengan menyebut nama tuhan atau menyebut nama-nama sifatNya. Jika hendak mengkritik gunakanlah bahasa yang digunakan oleh manusia yang bersahsiah dan bertemaddun.. Bukan salah untuk berbeza tetapi berpada-padalah bila berkata-kata.

Kalau orang ramai tidak lagi mahu mengikuti kita, ianya tentu bersebab. Cari lah dan lakukanlah ‘soul-searching’ yang serius untuk mencari sebabnya. Walau apa pun kita mesti mencegah diri kita dari menjadi manusia yang suka menghina pihak lain kerana kehilangan sokongan tadi. Orang ramai sedang memerhatikan kita. Jangan buat malu bangsa kita.

UMNO jangan hilangkan identiti orang Melayu, kerana hilangnya sesuatu bangsa di dunia ini bermula dengan hilangnya identiti bangsa itu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular