Friday, August 5, 2011

Perlu Bijaksana,Jangan buat kesimpulan melulu

Isu gereja: PAS Selangor akan panggil Hasan Ali, tuntut penjelasan

SHAH ALAM, 5 Ogos — PAS Selangor menuntut penjelasan Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, selain itu pihaknya juga mahu menunggu laporan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai serbuan itu yang turut disertai polis.


“Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan (harian) bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.


“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia (Hasan) kata ada itu,” katan beliau pada sidang media di pejabatnya di sini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu setakat ini, hanya Hasan yang mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan tujuan mahu memurtadkan umat Islam.

“Jais sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

“Setakat ini , ‘kecuali satu’ tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam,” tambah Khalid.

Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.


Jangan buat kesimpulan melulu
PENYERBUAN (masuk secara mengejut) pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap majlis makan malam di Gereja Methodis Damansara Utama dua hari lepas sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Apa lagi kalau aktiviti yang berlaku ketika itu hanya majlis makan malam sosial untuk mengutip dana bagi membantu mereka yang susah.


Penyerbuan itu telah menjadi percakapan umum kini dan menimbulkan kekeliruan sejauh mana wajar atau tidak penyerbuan itu. Ini kerana hakikat sebenar di sebalik majlis tidak jelas apakah ianya sekadar majlis sosial atau bermotif tertentu. Justeru ada pihak yang beranggapan kejadian itu tidak menghormati hak asasi orang lain.


Di pihak, gereja berkenaan seperti mana dijelas Pastor Daniel Ho majlis itu adalah majlis makan malam yang berkonsepkan 1 Malaysia. Ia dianjurkan oleh sebuah persatuan muhibah. Dalam penjelasannya tidak menampakkan ada unsur-unsur negatif di sebalik majlis berkenaan. Jauh sekali seperti mana tuduhan atau tanggapan di pihak Jais kononnya majlis itu ada motif negatif, untuk memurtadkan orang Islam.


Kalau benarlah ia setakat itu, makan malam adalah kewajarannya kalau serbuan itu dipertikaikan. Tetapi apakah benar begitu? Penjelasan dan laporan penuh di sebalik kejadian itu hendaklah ditunggu. Jangan mana-mana pihak mengambil mudah membuat dakwaan dan pertuduhan yang boleh mengerohkan keharmonian hidup di negara ini. Jangan mudah menerima penjelasan pihak gereja itu yang majlis itu setakat makan malam saja tanpa niat dan nawaitu lain.


Logiknya Jais tentu adalah alasan tersendiri kenapa mereka membuat penyerbuan itu. Tidak mungkin penyerbuan itu dibuat tanpa sebab. Sebagai badan penguatkuasa agama, yang bertindak menjadi pemantau untuk memastikan perkara mungkar tidak berlaku menjadi tanggungjawab institusi itu untuk membenteraskan apa saja kemungkaran. Cuma dalam hal ini Jais perlu bertindak profesional sejajar dengan ajaran Islam sendiri bagi mengelakkan ia ekstrem.


Seperti mana dijelaskan oleh Exco Kerajaan Selangor yang menjaga hal ehwal agama Islam, Dr Hasan Ali (foto) serbuan itu dibuat setelah adanya maklumat mengatakan di majlis makan makan itu ada kegiatan cuba hendak mengkrsitinkan orang Melayu. Antara bukti yang disebut beliau semasa ucapan di majlis itu ada menyebut al-Quran dan pray (doa).


Bukti-bukti lain sama ada risalah atau apa-apa dokumen yang boleh mensabitkan tuduhan itu tidak ditemui. Kegagalan menemui bukti lain menyebabkan dakwaan itu longgar.


Bagaimana pun apa yang mungkin menimbulkan keraguan di majlis itu terdapat kira-kira 12 orang Melayu. Kehadiran mereka itu yang dikatakan untuk berbuka puasa menimbulkan tanda tanya dan keraguan. Mungkin kalau tidak ada 12 orang Melayu itu Jais tidak akan membuat serbuan.


Harus difahami oleh semua orang termasuk media. Tindakan Jais itu dilakukan berdasarkan maklumat. Bila disebut maklumat sudah tentu Jais sendiri tidak dapat menentukan apakah berlaku usaha mengkristinkan Melayu dalam majlis itu. Serbuan itu merupakan langkah untuk menyiasat dakwaan berkenaan. Tiada apa-apa tangkapan yang dibuat.


Kejadian itu sudah mulai diperkatakan. Berbagai tanggapan juga sudah mulai wujud. Ada orang Islam sendiri nampak seakan kesal dengan tindakan Jais itu dengan berhujah tidak murtad seseorang Islam itu kalau dia hanya memasuk gereja. Kenapa harus membuat kenyataan itu yang seolah-olah cuba meremehkan Jais?


Memang benar seseorang Islam itu tidak akan jatuh murtad sekadar dia memasuki ke dalam gereja. Tuhan tidak pernah menegaskan demikian dan Muhammad s.a.w. tidak melarangnya. Bahkan rumah sembahyang bukan Islam boleh dijadikan tempat berlindung jika berlaku darurat. Demikian juga dengan surau dan masjid. Tidak menjadi masalah kalau mereka masuk ke dalam masjid hatta duduk di atas mimbar.


Bagaimana pun perkara yang kena difahami, untuk masuk ke gereja bagi orang Islam ada peraturan dan adat-adatnya. Begitu juga dengan mereka bukan Islam untuk memasuki ke surau atau masjid ada adat-adatnya. Kemuliaan dan kesucian rumah ibadat itu perlu dijagai jangan sampai ia menjadi fitnah dan menyinggung penganutnya.


Dalam kasus gereja Metodist di Damansara itu ia boleh dielakkan kalau semua pihak memahami adat-adat dan peraturan tersebut. Tetapi kerana ada sedikit kelalaian di sini menyebabkan berlaku apa yang tidak sepatutnya itu.


Misalnya kejadian itu boleh dielakkan kalau pihak gereja memahami akan pantang larang orang Melayu di dalam beragama. Maksunya adat dan peraturan yang terpakai dalam masyarakat negara ini orang Melayu dilihat canggung kalau mereka memasuk atau berada dalam gereja kerana perbuatan itu asing. Apa lagi kalau pada ia masuk itu sedang berlangsung majlis makan malam atau berbuka puasa baginya.


Bagi orang Islam untuk berbuka puasa lebih afdal di masjid. Kalau pihak gereja mengerti akan hal ini pengajur tidak akan mengundang orang Melayu 12 orang atau lebih itu kandati atas niat yang baik dan tidak ada pun unsur-unsur kristinisasikan sekalipun.


Begitu juga dengan orang Melayu yang berada dalam gereja pada waktu itu tidak wajar mereka berada di situ. Mereka sepatutnya tahu adat dan peraturan agama. Sekali lagi saya katakan dalam konteks sensitiviti masyarakat (sosial) negara ini. Mungkin mereka jahil dalam hal ini atau menganggap tidak mengapa kerana nawaitu mereka baik. Tetapi mereka perlu menyemak dulu perbuatan mereka itu apakah sempurna atau pun bakal menimbulkan masalah.


Begitu juga dengan Jais. Memang tugas Jais untuk menjaga kesucian Islam. Tetapi dengan membuat pemeriksaan ala-ala serbua itu ia tidak berapa elok. Apa salah kalau Jais setelah mendapat laporan menghantar sekadar dua atau tiga orang pegawai untuk menyiasat dan memastikan apa yang berlaku.


Pegawai Jais boleh kenal pasti sesiapa yang berada di dalam majlis berkenaan kerana jumlahnya sekitar 150 hingga 200 orang saja. Selepas dipastikan memanggilnya di kemudian. Lebih lunak lagi kalau pegawai Jais memanggil pihak penganjur dan mendapatkan maklumat terperinci kemudian 'atukkan' - disemak dengan maklumat yang diperolehi. Sekiranya apa yang didapati itu benar, lebih bijaksana kalau Jais mengeluarkan peringatan ataupun amaran.


Rasanya kalau semua pihak, gereja, orang Islam 12 orang dan Jais bijaksana dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing kekalutan tidak timbul berhubung perkara itu. Tetapi kerana ada sedikit kelemahan dan kurang bijaksana di sini maka kejadian tersebut sudah menjadi isu. Lebih parah dan kronik lagi bila ia ditarik ataupun diambil oleh orang politik untuk dijadikan modal dunia politik mereka.


http://msomelayu.blogspot.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular