Seolah-olah satu kegilaan yang menggila,begitulah hebatnya virus syirik yang menyerang umat islam di Malaysia. Entah ke mana hilangnya kewarasan diri hinggakan mereka begitu mudah diperbodohkan oleh golongan tolol yang menjaja Rahsia Tarikh Lahir demi keuntungan peribadi.
Di facebook, gejala tag mengetag Rahsia Tarikh Lahir , Rahsia Bulan Lahir, Rahsia Bulan Lahir Pasangan, Rahsia Bulan Islam dan macam-macam lagi Rahsia Yang Sesat dan Menyesatkan begitu menjadi-jadi.
Ada yang benar-benar percaya, kononnya ia menepati ( atau hampir-hampir menepati )hidup dan kehidupannya. Ada yang sungguh-sungguh yakin, dengan beralasan itu adalah hasil kajian tokoh tertentu selama berpuluh-puluh tahun, apatah lagi tokoh itu adalah tokoh terkemuka . DAN ada juga yang beralasan, ia sekadar suka-suka sahaja. Walau apapun alasan, jawapannya tetap sama iaitu ia sesat dan menyesatkan serta boleh merosakkan akidah.
p/s = Sayang seribu kali sayang, tokoh-tokoh yang tolol ini berjaya memperbodohkan golongan yang bahlul.Si Tolol menjadi jutawan dan si bahlol menjadi tak keruan
Sebelum memulakan bicara, ingin saya tegaskan. Bicara kali ini tidak sekelumitpun bertujuan mempertikaikan kewibawaan pakar-pakar motivasi yang bakal disentuh nanti. Jauh sekali untuk tidak menidakkan sumbangan mereka. Mereka adalah tokoh yang ternama, itu benar tanpa dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa.
Namun , itu semua bukanlah alasan untuk kita bertaqlid buta dan bukannya penyebab untuk menjadi pendengar yang setia. Tidak harus kita berdiam seribu bahasa andainya, pendapat mereka ini tersasar dan terbabas dari landasan yang sepatutnya.
Sepertimana untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Imam Malik " Siapapun dapat diterima atau ditolak pendapatnya kecuali yang ada di makam ini(sambil menunjuk ke makam Rasulullah SAW)". Jika pesanan Imam yang mulia ini dihayati, maka pasti sahaja kita tidak lagi ‘pekak dan tuli’ dalam segala urusan.
(Apabila kesesatan diniagakan)
Siapakah anda untuk mempersoalkan pakar-pakar motivasi ini ? Saya amat yakin, pertanyaan yang sebegini akan diajukan kepada saya dan sesiapa sahaja yang berbicara tentang isu ini. Sekali lagi saya ulangi kata-kata Imam Malik “Siapapun dapat diterima atau ditolak pendapatnya kecuali yang ada di makam ini(sambil menunjuk ke makam Rasulullah SAW)”.
Atas dasar menghormati ketokohannya, maka saya tidak ingin berbicara perihal peribadi tokoh-tokoh yang terkenal sebagai pakar motivasi ini, meskipun ia telah tersebar dengan rancaknya. Saya sekadar ingin membantah pandangan atau ramalannya, dan bukan batang tubuhnya.
Jujur! Dalam memperkatakan persoalan ini, saya berhujah dengan bersandarkan pandangan beberapa ulama terkenal Tanah Air yang turut mengkritik, malah menghukumnya sebagai syirik. Saya akan linkkan kenyataan mereka di sini disamping memetik pandangan-pandangan yang mereka kemukakan.
Harap para pembaca, akan ke link tersebut untuk memperolehi maklumat yang semaksimum mungkin, demi memaksimumkan kefahaman tentang hal ini, sekali gus mematangkan diri dalam beragama.( ulama atau tokoh agama yang saya maksudkan ialah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Dr Asri Zainul Abdidin, Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Prof Madya Dr Shukeri Mohammad), di samping itu saya paparkan juga link dari Hafiz Firdaus Abdullah ( seorang penulis rencana dan buku agama, jua mengendalikan soal jawab agama dalam beberapa majalah) dan link seorang blogger yang mantap hujahnya tentang isu ini, iaitu El-ILMY.
Saya tak pasti, adakah ramalan di atas benar-benar dibuat oleh Dr Fadzilah Kamsah atau oleh manusia lain yang sememangnya tolol. Namun, seperti yang diketahui umum Dr Fadzilah kamsah, turut memperkatakan Rahsia Tarikh Lahir ( yang didakwa mengikut kajiannya selama 25 tahun). Cuba lihat baris terakhir ramalan itu. Bukankah ini boleh meretakkan rumahtangga seseorang.
SUAMI AKAN MERAGUI ISTERI. ISTERI AKAN MENCURIGAI SUAMI. DAN AKHIRNYA PERKAHWINAN AKAN BUBAR Untuk pengetahuan sahabat KADAR PERCERAIAN pasangan islam di Malaysia hari ini amatlah membimbangkan,iaitu setiap 15 minit akan berlaku satu kes perceraian( statistik dari JAKIM) Lagi satu, Ramalan yang kononnya hasil kajian di atas ternyata menyalahi tuntutan agama sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih, iaitu “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat “.Muttafaqun Alaihi).
Menurut Prof Madya Dr Shukeri Mohamad( pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri Kelantan, juga Presiden Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Kelantan) “…. untuk kepentingan keturunan/melahirkan keturunan yang baik, Allah SWT mensyariatkan kaedah-kaedah tertentu dalam perkahwinan seperti mengutamakan ciri-ciri keagamaan dalam memilih pasangan….”
rujuk kertas kerjanya yang dimuatkan dalam buku berjudul Maqasid Syariah Dalam Pentadbiran Negara, Terbitan kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Perta(KIAS),m/s : 63. Tapi, hari muncul pula, kriteria terbaru dalam memilih pasangan iaitu, pilihlah pasangan berdasarkan tarikh lahirnya.
Ini kriteria yang menyalahi sunnah. Bayangkan, betapa resah dan gelisahnya pasangan yang sedang bertunang jika salah seorang daripada mereka dilahirkan pada tarikh tersebut ( 5 dan 17 Haribulan). Tidak mustahil pertunangan itu akan putus ditengah jalan jika pasangan tersebut taksub kepada tokoh motivasi tersebut. Ini ternyata membawa kepada syirik dan kufur.
MUNGKIN ADA YANG BERALASAN, ini adalah hasil kajian terperinci pakar motivasi terkenal selama 25 tahun. Untuk menjawabnya, eloklah saya paparkan sebahagian daripada hujah Ustaz Zaharudin Abdul Rahman.
Menurut Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :- a) Al-Quran b) Hadith Sohih dan Hasan c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)
Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya : "Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .
( Nostradamus )
Menurut Ustaz zaharuddin lagi, mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.
Namun, Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mengetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.
Sesungguhnya kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir. ( lebih lanjut sila baca ulasan penuh daripada Ustaz Zaharuddin kat SINI ).
Demi kematangan beragama dan demi kemantapan berakidah, saya merayu kepada para pembaca agar saksikanlah rakaman kuliah agama tentang syirik dan batilnya Rahsia Tarikh Lahir yang disampaikan oleh Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman , pensyarah KIAS yang berkelulusan B.A, M.A dan PhD dalam bidang Fiqh di Universiti Islam Madinah ( LIHAT SINI ). Rakaman kuliah ini akan menjawab alasan dangkal kononnya Rahsia Tarikh Lahir ini bukanlah Ramalan tapi kajian dari pakar motivasi terkenal negara selama 25 tahun.
Saya petik pula sebahagian hujah Dr Asri Zainul Abidin,( Mantan Mufti Perlis yang juga merupakan pakar hadis dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia). Menurutnya, Kepercayaan bahawa tarikh tertentu membentuk watak tertentu tidak berasaskan apa-apa bukti ilmiah sama sekali.
Demikian juga, kepercayaan rupa paras tertentu membawa perangai baik dan buruk yang tertentu tidak berasaskan bukti melainkan pra-sangka terhadap ciptaan Allah semata. Jika ada yang mendakwa bahawa tarikh lahir tertentu seperti angka 1 mempengaruhi nasib tertentu dengan disertakan bukti beberapa tokoh atau individu, itu bukanlah bukti yang ilmiah.
Ia sebenarnya,merupakan sebahagian warisan ahli-ahli nujum kono yang ditentang oleh Islam, atau mungkin rekaan baru mereka untuk melariskan ‘bisnes motivasi’. Para penilik atau ahli nujum nasib seperti itu menipu manusia dengan mainan kata-kata. Jika apa yang mereka ramalkan itu kelihatan tidak tepat, mereka akan berkata ‘itu disebabkan awak belum lakukan itu dan ini’ atau ‘disebabkan awak belum tahu potensi awak’ dan seumpamanya.
Mereka mempengaruhi psikologi sebahagian masyarakat. Orang-orang yang memandulkan akal, akan mempercayai tipu helah yang seperti itu. Warna kulit dan rupa paras adalah ciptaan Allah. Ia bukan pilihan manusia. Tarikh lahir juga adalah luar dari penguasaan seseorang individu. Meramal manusia berdasarkan rupa atau tarikh lahir, menyanggahi prinsip Islam yang menilai manusia berdasarkan amalan yang telah dilakukan.
Nabi s.a.w menyebut: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).-
lebih lanjut tentang penjelasan Dr Asri mengenai kesyirikan Ramalan Rahsia Tarikh Lahir sila lihat kat SINI MUNGKIN ADA yang berhujah, Ramalan Itu Benar-benar tepat atau 99 % menepati cirri-ciri potensi dirinya. Sebenarnya ia hanyalah kebetulan sahaja sebagaimana Ramalan Nostradamus juga yang bersifat kebetulan semata-mata.
Lagi satu, dalam Al-Quran ada diceritakan tentang perbuatan syaitan yang mencuri dengar berita di langit suatu ketika dahulu. Ia termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia.
Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia. Namun Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT.
Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad S.A.W diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya ( kredit buat El-ILMY )
bagi meramalkan nasib)
Saya paparkan juga sedikit penjelasan daripada Hafiz Firdaus Abdullah tentang kesesatan Rahsia Tarikh Lahir. Menurutnya , Pada zaman Rasulullah, masyarakat meramalkan nasib yang baik atau buruk melalui arah penerbangan burung. Jika mereka dalam perjalanan atau melakukan sesuatu urusan lalu nampak burung terbang ke arah kanan, maka ia adalah ramalan nasib yang baik.
Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, maka ia adalah ramalan nasib yang buruk. Terhadap kepercayaan seperti ini, Rasulullah bersabda: Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali) [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910] Ini kerana nasib baik atau buruk ditentu oleh taqdir Allah dan bukannya kepada arah penerbangan burung.
Pengajaran hadis di atas tidak terhad kepada kepercayaan arah penerbangan burung tetapi meluas kepada apa jua petanda atau amalan yang diyakini dapat memberi pengaruh kepada nasib seseorang. Di kalangan masyarakat Melayu umpamanya, wujud kepercayaan apabila dalam perjalanan ke satu tempat yang jauh, jangan berpatah balik ke rumah jika terlupakan sesuatu. Berpatah balik diyakini akan membawa nasib yang buruk. Tidak ketinggalan ialah apa yang disebut-sebut masa kini sebagai “Rahsia Tarikh Lahir”, di mana diyakini tarikh sekian-sekian akan meramalkan nasib sekian-sekian.
Semua ini tidak berbeza dengan kepercayaan kepada arah penerbangan burung pada zaman Rasulullah. Semua ini merupakan syirik kepada Allah kerana hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku kepada kita, sama ada baik atau buruk. Justeru hendaklah ditinggalkan, bahkan dijauhkan sejauh-jauhnya – apa-apa kepercayaan bahawa sekian-sekian petanda, amalan atau tarikh lahir dapat memberi pengaruh kepada nasib baik atau buruk seseorang.
Tambahan Info Tentang Kesesatan Rahsia Tarikh Lahir
Tambahan Info Tentang Kesesatan Rahsia Tarikh Lahir
1) Klik DR ASRI ZAINUL ABIDIN untuk menonton rakaman kuliah Dr Asri tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
2)Klik USTAZ MUHD KAZIM ELLIAS untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Muhd Kazim tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
3) Klik DR ABDUL BASIT ABDUL RAHMANuntuk menonton rakaman kuliah Dr Abdul Basit tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
4) Klik USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN untuk menonton rakaman kuliah Ustaz Zaharuddin tentang syiriknya Rahsia Tarikh Lahir.
SAYA MERAYU tolonglah tonton rakaman kuliah ini, Dan marilah kita perangi golongan yang menaja Rahsia Tarik Lahir atas nama Motivasi mahupun atas nama Workshop Mengenali Potensi Diri.
SAYA MERAYU tolonglah tonton rakaman kuliah ini, Dan marilah kita perangi golongan yang menaja Rahsia Tarik Lahir atas nama Motivasi mahupun atas nama Workshop Mengenali Potensi Diri.
Sumber : bicaradariaku
No comments:
Post a Comment