SHAH ALAM – Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan pihak yang terlibat menyebar video seks sebagai berdosa besar kerana tindakan tersebut adalah tuduhan zina tanpa bukti empat orang saksi.
“Zina yang tiada bukti, orang menuduh seseorang berzina perlu Qazaf (tuduhan zina, tidak cukup syarat seperti saksi kena sebat) dan menuduh orang berzina memerlukan empat saksi dan saksi tersebut kena melihat berlakunya zina, baru sah bukti tersebut.
“Hadis ada menyebut, ‘barang siapa menutup keaiban saudara Islam, maka keaiban seseorang itu akan ditutup pada hari Kiamat nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan penyebaran video seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang yang tersebar di beberapa laman blog dan YouTube pada tengahari Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Moh Tamyes berkata, tindakan sedemikian juga menunjukkan rakyat negara ini khususnya orang Melayu beragama Islam dibelenggu krisis moral yang membimbangkan.
“Dalam kaedah pemikiran, setiap tuduhan terhadap seseorang memerlukan bukti kerana bukti kepada orang yang mendakwa manakala sumpah kepada orang yang didakwa tetapi apa yang berlaku di negara ini adalah sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, gambar (video seks) yang ditayangkan bukan bukti kukuh kerana tidak boleh dikaji kesahihannya dan tuduhan tanpa bukti seperti itu perlu Qazaf.
“Melayu menghadapi krisis akhlak, moral umat Islam terlalu rendah sekali gus ia menyebabkan bangsa lain akan seronok melihat keadaan kucar kacir berlaku pada orang Melayu.
“Sepatutnya Melayu bersatu, tunjukkan kewibawaan dan kekuatan Islam kepada orang bukan Islam kerana sebanyak 60 peratus penduduk di negara ini adalah beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, situasi semasa juga membuatkan kaum lain mendabik dada dan bangga kerana orang Melayu asyik bergaduh.
“Masyarakat Islam sekarang tidak takut kepada agama, menyekutukan agama dan tidak mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku seperti tsunami di Jepun, Veitnam dan Indonesia.
“Sepatutnya, umat Islam perlu takut kepada bala Allah terhadap masyarakat yang suka berpecah belah, Oleh itu, kita perlu berwaspada, berhati-hati dengan fitnah dan takut sekiranya ia menyebabkan orang yang tidak melakukannya kehilangan nyawa,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment