“Atap rumahku dibuka, saat itu aku berada di Mekah. (Malaikat) Jibrail turun dan membedah dadaku, kemudian mencucinya dengan air Zam Zam. Kemudian didatangkan sebuah bekas yang dibuat daripada emas, yang berisi hikmah dan iman, lalu dituang ke dalam dadaku. Kemudian dadaku ditutup.”
Demikianlah yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 349. Peristiwa di atas berlaku pada malam Isra’ dan Mi’raj, seketika sebelum baginda menaiki Buraq untuk meluncur sekelip mata dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.
Timbul persoalan, mengapakah perlu dicuci hati Rasulullah sebelum di-Isra’ dan di-Mi’raj? Ini adalah satu daripada beberapa rahsia yang boleh disingkap dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa agung ini, yang berlaku sebelum baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, memiliki banyak pengajaran dan iktibar yang bermanfaat bagi sesiapa yang ingin merenunginya. Dalam penulisan ini, insya-Allah saya akan menyingkap beberapa rahsia yang sama-sama dapat kita jadikan pelajaran dan iktibar.
Kembali kepada peristiwa pencucian hati Rasulullah, salah satu rahsia terpenting yang dapat kita pelajari adalah kelayakan yang perlu dimiliki oleh hati sebelum ia dapat meraih keistimewaan yang bakal Allah berikan kepada tuan empunya. Hanya hati yang bersih layak untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah ketika Isra’ (surah al-Isra’, ayat 1) serta keindahan apa yang berada di atas langit dunia dan syurga ketika Mi’raj (surah al-Najm, ayat 13-18).
Manakala hati yang kotor, yang dicemari dengan kuman kedengkian, buruk sangka, dendam, angkuh, ujub, riya’ dan sebagainya, tidak layak untuk semua keistimewaan di atas. Maka dengan itu sesiapa yang menginginkan keistimewaan daripada Allah, hendaklah dia terlebih dahulu memerhatikan keadaan hatinya.
Menyentuh berkenaan kebersihan hati, peristiwa pencucian hati Rasulullah melalui pembukaan dada oleh Malaikat Jibrail merupakan satu mukjizat yang khusus kepada baginda. Adapun kita, maka tidak boleh ada satu bentuk pencucian seumpama itu. Pakej-pakej pencucian hati “sekali cuci bersih selamanya” yang ditawarkan oleh individu atau pihak tertentu adalah palsu belaka. Sebaliknya yang boleh dilakukan ialah usaha pendidikan, penyedaran, penerapan dan pembetulan yang dilakukan secara berulangan lagi berterusan oleh tuan empunya hati.
Menjadi Imam Di Masjid al-Aqsa.
Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah mendapati para Nabi dan Rasul sebelum baginda sedang bersolat di sana. Lantas baginda turut bersolat menjadi imam bagi para Nabi dan Rasul tersebut. [Shahih Muslim, hadis no: 172] Rahsia di sebalik ini disingkap oleh Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi:
“Para Nabi solat di belakangnya (Muhammad). Hal ini merupakan pemberitahuan mengenai ciri universal risalah baginda, keabadian kepimpinannya, kepiawaian ajaran-ajarannya serta kesesuaiannya dalam pelbagai ruang dan waktu.
Peristiwa Isra’ telah terjadi dan telah mengisytihar bahawa Muhammad bukanlah dari kalangan para pemimpin atau para pemuka yang kemampuan dan perjuangan mereka tidak melampaui batas suku dan negeri. Bahawa Muhammad bukanlah sosok para pemimpin suatu komuniti yang hanya menyenangkan suku-suku yang melahirkan mereka dan lingkungan tempat asal mereka. Akan tetapi Muhammad berasal dari kalangan Nabi dan Rasul Allah yang membawa risalah langit ke bumi, membawa risalah Pencipta kepada yang dicipta, membahagiakan manusia dalam pelbagai suku dan golongan, dalam pelbagai masa dan generasi.” [al-Sirah al-Nabawiyah, ms. 162]
Setelah menjadi imam, Rasulullah di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke lapisan-lapisan langit. Di sini timbul satu persoalan, mengapa baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa dan bukannya tempat lain, seumpama Masjid al-Haram? Rahsia pertama yang dapat ditangkap ialah bagi membuktikan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Namun terdapat rahsia kedua yang dapat disingkap, iaitu sebagai sindiran kepada kaum-kaum sebelum itu yang titik paksi mereka ialah Masjid al-Aqsa.
Sama-sama diketahui bahawa bumi Palestin ialah tempat diutus beberapa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah. Akan tetapi umat setempat telah menentang ajaran yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi tersebut. Sudah menjadi ketetapan Allah bahawa sesiapa yang menentang ajaran-Nya dan ajaran Rasul-Nya, maka mereka akan dibalas dengan kehinaan. Maka dengan itulah mereka disindir dan dihina, di mana peristiwa Isra’ dan Mi’raj menjadi kebanggaan kepada umat Muhammad dan bukan kepada diri mereka.
Di sini kita wajib mengambil iktibar bahawa kemuliaan atau kehinaan sesuatu umat bergantung kepada ketaatan atau penentangan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Jika taat, hasilnya ialah kemuliaan. Jika tentang, akibatnya ialah kehinaan. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan.” [al-Mujadalah 58:05]
Dalam perjalanan Isra’ tersebut, Rasulullah bertembung dengan beberapa lelaki yang menggigit bara api di dalam mulut mereka. Baginda bertanya: “(Wahai Jibrail), siapakah mereka?” Jibrail menjawab: “Mereka itu ialah para khatib di dunia yang menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang mereka lupa akan diri mereka sendiri; padahal mereka semua membaca Kitab (al-Qur’an), tidakkah mereka berakal (untuk memikirkannya)?” [Musnad Ahmad, hadis no: 12211 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth. Ia merujuk kepada ayat 44 surah al-Baqarah]
Perkara di atas tidak hanya khusus kepada para khatib kerana dalam al-Qur’an Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]
"Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"
No comments:
Post a Comment