Saturday, January 12, 2013

Kalimah Allah dan ‘inferiority complex’ ― Tuan Fairuz Tuan Ismail

12 JAN ― Semenjak kecil, secara langsung atau tidak langsung saya telah diajar oleh persekitaran tentang sifat bangsa Melayu yang kebanyakannya bersifat negatif. Orang Melayu disifatkan sebagai bangsa yang malas, yang tidak pandai berniaga, yang tidak mampu bersaing dengan bangsa Cina. Bangsa yang selamanya memerlukan tongkat untuk berjaya.

Mencecah usia remaja, melalui kursus-kursus yang dianjurkan kerajaan, saya telah didoktrinkan untuk percaya bahawa orang Cina sentiasa berusaha untuk menguasai Malaysia. Mereka mahu mendominasi setiap bidang kehidupan dan telah berjaya dalam banyak bidang kecuali politik. Hanya bidang politik sahaja masih dikuasai orang Melayu. Ini sahajalah yang dipunyai Melayu yang akan menentukan nasib bangsa pada masa hadapan. Inilah mesej yang disampaikan melalui lagu popular “anak kecil main api” yg dinyanyikan ketika kursus BTN.

Umat Melayu juga digambarkan sedang menghadapi ancaman Kristianisasi. Diceritakan bahawa ramai anak-anak Melayu telah murtad setalah minum air “Holy Water”. Ilmu-ilmu agama dan ayat-ayat hafazan seolah-olah di “flush out” dari dada peminum. Ada juga yang terpengaruh dengan Kristian setelah membaca kitab suci mereka iaitu Bible.

Jadi kami dinasihatkan agar berhati-hati dengan orang Kristian dan kitab Bible. Jangan sekali kali mendekati atau membaca kitabnya, bimbang kami akan turut terpengaruh dengan agama Kristian.

Beginilah keadaan saya dibesarkan. Dibesarkan dengan mentaliti terkepung (siege mentality) serta “inferiority complex”. Sentiasa merasakan bahawa bangsa dan agama dalam keadaan lemah dan terdedah kepada ancaman luar. Saya percaya, pengalaman saya ini tidak jauh bezanya daripada majoriti orang Melayu yang lain.

Namun, syukur ke hadrat Allah, tawaran menyambung pelajaran ke England merubah pandangan hidup saya.

Bermula di kolej persediaan, saya lihat sendiri bangsa yang saya sangkakan lemah ini, sebenarnya tidak jauh bezanya dengan bangsa lain. Bangsa ini juga mampu untuk berjaya jika mengikut resipi-resipi kejayaan. Yang menentukan kejayaan bukanlah bangsa tetapi sikap dan mentaliti yang betul.

Di kolej persediaan inilah, ketakutan serta perasaan tidak selamat saya kepada agama Kristian berjaya dihapuskan. Dalam satu kursus dakwah kepada bukan Islam, kami diajarkan tentang ajaran Kristian dan kitab sucinya Bible. Kami diyakinkan bahawa tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti dalam Bible. Membacanya hanya akan menambahkan keyakinan bahawa Kristian adalah agama yang telah terpesong, dan Islam adalah agama yang benar, yang disampaikan melalui nabi yang terakhir iaitu Muhammad SAW. Antara orang mengendalikan kursus tersebut adalah bekas pendakwah kristian, saudara Lim Jooi Soon. Beliau menemui kebenaran Islam setelah mengkaji dan mendalami Bible.

Setibanya di England, saya dianugerahi Allah nikmat yang besar iaitulah menyertai gerakan Islam. Disitulah saya bertemu dengan individu berbangsa Melayu yang hebat. Kehebatan yang muncul hasil keiltizaman diri mereka kepada Islam. Barulah saya nampak secara praktikal akan kuasa tranformasi yang ada agama Islam yang saya anuti selama ini, yang telah mentransformasi bangsa Arab dan Turki. Bangsa padang pasir yang sering berkelahi sesama sendiri, dan juga bangsa nomad kepada bangsa yang mempunyai empayar yang hebat dan digeruni, bilamana mereka beriltizam dengan Islam. Kembalinya saya dari England, bukan sahaja sebagai seorang bergelar doktor, namun sebagai seorang Muslim yang tidak lagi dihinggapi penyakit “inferiority complex” dan “siege mentality”.

Kedua-dua penyakit inilah saya lihat masalah terbesar orang Melayu. Penyakit yang telah bersarang lama, subur sejak runtuhnya supremasi Kerajaan Islam Melaka pada tahun 1511. Kini, walaupun setelah 55 tahun merdeka, minda orang Melayu masih lagi terjajah.

Selagi mana kita tidak menanamkan bahawa orang Melayu yang mempunyai Islam sebagai sumber kekuatan adalah bangsa yang hebat, yang mampu bersaing dengan sesiapa sahaja, selagi itulah kita tidak akan mampu menjadi ummah yang hebat. Mungkin bertitik tolak daripada kesedaran inilah Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia membawakan konsep “Malaysia boleh” , untuk menghasilkan bangsa Malaysia (termasuklah orang Melayu yang merupakan kaum majoriti) yang yakin diri, yang tidak takut untuk menghadapi saingan daripada luar.

Kebelakangan ini timbul isu berkenaan kewajaran orang Kristian di Malaysia menggunakan kalimah ALlah dalam terjemahan bible, sekali lagi mentaliti terkepung dan “inferiority complex” sesetengah orang Melayu jelas kelihatan. Saya tidaklah berhasrat untuk mengulas dari segi hukum kerana ia bukanlah kepakaran saya, namun apa yang pasti, ulama” berselisih faham mengenainya. Ada yang melarang dan ada yang membolehkan. Maka sepatutnya isu ini agar tidak dipolemikkan.

Namun kebanyakan yang menghalang menyatakan kebimbangan akan kekeliruan yang mungkin timbul di kalangan remaja Islam sekiranya perkara tersebut dilaksanakan. Mereka khuatir sekiranya kalimah ALlah tersebut sebenarnya digunakan golongan pendakyah Kristian untuk memurtadkan umat Islam.

Saya secara peribadi lebih suka pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah. Pendapat ini juga dikongsi rakan-rakan pendakwah yang aktif menyeru bukan Islam kepada kebaikan Islam. Tatkala mereka yang mempunyai mentaliti terkepung (siege mentality) melihat penggunaan kalimah Allah sebagai ancaman, pendakwah yang berminda positif melihat ia sebagai satu peluang kepada umat Islam untuk berdakwah kepada orang Kristian. Jika rakan kita di Eropah dan dunia barat begitu bersungguh-sungguh menterjemahkan God sebagai Allah untuk mendekati golongan Kristian di sana, mengapa tidak kita di sini. Mereka cumalah golongan minoriti di sana sedangkan kita golongan majoriti. Namun bezanya, mereka adalah kelompok yang punya keyakinan diri yang tinggi, golongan yang percaya dengan yakin akan kehebatan yang ada pada Islam tidak boleh ditandingi oleh agama lain. Tidak hairanlah dakwah mereka lebih berjaya.

Kalimah Allah yang mungkin digunakan untuk mendakyahkan orang Islam yang lemah akidahnya juga sepatutnya tidak menjadi isu. Tentu semua setuju bahawa golongan yang mudah diselewengkan oleh pendakyah kristian ini adalah golongan yang kurang ilmu. Maka tanggungjawab kitalah untuk berdakwah dan menanamkan akidah yang benar dalam diri mereka. Kejayaan mereka dimurtadkan adalah manifesti kegagalan kita umat Islam dan bukannya kekuatan yang ada pada agama/orang kristian. Janganlah hanya menyalahkan pihak luar atas kelemahan ummah sendiri.

Kesimpulannya, Islam yang ada pada kita sepatutnya menghalang kita daripada rasa lemah, kerana seperti kata Saidina Umar Al Khattab, kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Tiada sebab untuk kita tidak menjadi hebat apabila Islam menjadi panduan hidup kita. - TMI

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular