Saturday, January 8, 2011

[Bergambar] Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat



Mangsa banjir di Kelantan meningkat 866 orang

KOTA BAHARU - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kelantan semakin bertambah petang ini kepada 866 orang berbanding 376 mangsa yang dilaporkan pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, sehingga kini sebanyak 13 pusat pemindahan telah dibuka di lima daerah iaitu Kota Baharu, Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh.



"Meskipun keadaan cuaca di beberapa kawasan di negeri ini agak cerah hari ini tetapi faktor hujan yang masih turun secara renyai-renyai dan sederhana berterusan itu menyebabkan air yang menenggelami kawasan semakin naik.

"Seramai 866 mangsa membabitkan 298 keluarga kini ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan di negeri ini iaitu enam pusat di Pasir Mas, tiga pusat di Kota Baharu, dua di Tanah Merah dan masing-masing satu di Bachok dan Pasir Puteh," katanya.

Jurucakap itu berkata, enam laluan ditutup kepada kenderaan ringan manakala satu ditutup kepada semua kenderaan.

"Penutupan laluan itu membabitkan daerah Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat. Laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan ialah di KM 3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM 9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM 3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh (Tanah Merah) dan Jalan Cabang Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti (Tumpat).

"Satu laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah di Pasir Puteh iaitu KM2 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh," katanya.

Jurucakap itu berkata paras air di Sungai Golok kini masih bertahan di paras 9.9 meter, melebihi paras bahaya 9 meter, manakala sungai-sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga. - BERNAMA







No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular