Bolehkah cinta kepada negara dipaksa-paksa?
APAKAH perlu sebuah undang-undang untuk memastikan mana-mana bangunan kerajaan atau swasta memasang bendera pada bulan sambutan kemerdekaan? Apakah perlu sebuah undang-undang untuk kita menunjukkan kecintaan, kasih dan sayang kepada ibu pertiwi ini?
Itulah persoalan yang timbul selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat kenyataan bahawa kementeriannya akan mengkaji keperluan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan hal itu.
Alasannya, masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta yang tidak mengibarkan bendera negara biarpun hari ulang tahun kemerdekaan Malaya — yang hari ini dikenali sebagai Malaysia selepas dibentuk bersama oleh Sabah dan Sarawak — tinggal hanya beberapa hari saja lagi. Sekarang ini, kata beliau, kerja memasang bendera itu sukarela.
Cadangan itu bukanlah satu jawapan kepada masalah yang ada. Ia sebaliknya menimbulkan banyak tanda tanya tentang cinta kepada negara, tentang negara, tentang kita dan tidak kurang mustahaknya, tentang cara kita berfikir.
Apakah cinta boleh dipaksa dan paksaan itu pula dengan undang-undang yang tentunya datang satu pakej dengan hukuman? Apakah semudah itu kita menyelesaikan masalah lunturnya kecintaan kepada negara — kalau memasang bendera itu jangka suhu yang dipakai untuk menyukat hangat atau dinginnya kecintaan itu?
Apakah hanya mereka yang memasang Jalur Gemilang saja yang cintakan negara ini? Apakah hanya kerana tidak memasang bendera maka kita seseorang itu tidak cintakan negara?
Ini bukan satu pembelaan kepada mereka yang tidak memasang bendera. Ini hanyalah satu reaksi kepada cara kita berfikir dalam menyelesaikan masalah. Maka itu, ini juga bukan satu perakuan kepada mereka yang memasang bendera.
Apakah mungkin orang segan mengibarkan bendera kerana selama ini baik secara berterus terang atau halus kita memaksa rakyat berfikir bahawa parti dan kerajaan itu adalah negara?
Apakah mungkin juga orang segan mengibarkan bendera kerana selama ini apabila mereka yang menunjukkan kecintaan kepada negara dituduh sebagai pengkhianat dan wajar berambus keluar dari tanah tumpah darah mereka?
Mereka yang benci rasuah dan penyelewengan adalah orang yang cintakan negara. Mereka yang mahu melindungi alam sekitar daripada dirosakkan adalah orang yang cintakan negara. Mereka yang mempertahankan asas pembinaan negara ini mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan serta pesan-pesan yang ditinggalkan oleh leluhur pendiri bangsa adalah orang yang cintakan negara.
Apakah hanya dengan mengibarkan bendera saja kita mengukur rasa cinta kepada negara?
Kalau undang-undang digubal sekalipun untuk mewajibkan rakyat memasang bendera, apakah setelah undang-undang itu dilaksanakan nanti kita akan bangga melihat Jalur Gemilang berkibar?
Kita hendak menipu orang atau kita hendak menipu diri sendiri?
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/bolehkah-cinta-kepada-negara-dipaksa-paksa-21066?cp
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment