Perasaan itu bukan menjadi milik mutlak mereka lagi. Tuhan ini maha adil dan maha mentadbir, rasa 'agah' dan megah yang kesekian lama bertakhta di dalam minda pemimpin Umno Johor sudah ditarik perlahan-lahan.
Azlina, Sallahudin bertemu buku dengan ruas. |
Kenapa Allah menarik rasa nikmat dan anugerah itu? Jawabnya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkin tidak bersyukur atas nikmat dan rahmat diberikan-Nya. Ada firman-Nya bermaksud; kalau kamu mensyukuri nikmatKu, Aku akan tambah, tapi kalau kamu kufur terhadap nikmat Ku, aku akan tarik dan perhinakan kamu.
Apa yang terjadi kini kerana kealpaan dan sikap ego pemimpin Umno itu sendiri. Tegasnya mereka tidak melaksanakan apa yang mereka janjikan kepada rakyat. Mereka mendabit dada kononnya sebagai pembela Melayu, hakikatnya Melayu di Johor semakin terkempit dan terhimpit. Mereka mendabik dada hendak mendaulatkan Islam, hakikatnya Islam terancam dan diserang dari depan dan belakang. Johor gagal menjadi serambi Makkah atau 'jokel' Madinah, walhal kalau hendak dikira negeri itulah mempunyai paling banyak sekolah agama dan pendidikan agama dikatakan wajib diperingkat pra sekolah.
Jadi dimana janji dan ikrar Umno? Itulah menyebabkan nikmat sementara itu ditarik balik. Keadaan Umno hari ini dalam situasi gelisah dan gelabah macam kucing kejatuhan anak. Perasaan dan keadaan ini tidak dapat disembunyikan lagi. Cara sesetengah pemimpin menangkis serangan lawan secara gasan dan samseng menunjukkan betapa mereka diasak kegelisahan. Beberapa pemimpin melenting dan jadi naik angin tidak semena-mena menujukkan hakikat itu. Bahawa mereka tidak lagi merasa selesa dan tidak akan mendapat kemenangan mudah dalam pilihan raya akan datang.
Salah seorang yang tidak dapat menyembuyikan keresahan dan 'mengepikkan' ketakutan dan melenting macam buah guli jatuh ke simen, ting ting ting, ialah ahli Parlimen Pengerang, Azlina Othman Said. Hari ini tidak semena-mena bekas menteri kabinet itu menjadi naik angin tidak tentu fasal, menyerang orang itu dan orang ini sampai mengajak berdebat dengannya.
Khabarnya dalam parlimen semalam beliau menjadi seperti badak sumbu dalam waktu haid, tanduk situ sigung sini. Badak sumbu kalau dia hendak datang bulan dia akan panas baran dan akan mengamuk 'ikut dan' bagi melepaskan perasaanya. Katanya semalam di parlimen Azalina jadi emosi kerana serangan pembangkang ke sarangnya di Pengerang. Beliau marah dengan pembanakng yang mendedahkan isu pojek loji penapis petrokimia (Rapid) yang dicadang dibangunkan di kawasannya.
Pembongkaran projek bernilai RM600 billion berkenaan adalah gangguan ke atas sarangnya di Pengerang itu. Selama ini tidak ada siapa menganggu atau pun mengusik sarangnya. Dua kali beliau menang tidak bertanding di kerusi itu. Jadi apabila sarangnya telah diusik baru Azalina merasa betapa hangat dan panasnya bila kloni diusik dan diganggu.
Katanya orang yang menjadi tandukan dan tendangan ala-alatakewando bekas puteri Umno itu ialah Naib Presiden Pas Sallahuddin Ayub. Azalina marah dan berbuku betul dengan Sallahuddin sampai meminta untuk berdebat dengan ahli parlimen Kubang Kerian itu. Tampaknya pemulangan Sallahuddin ke Johor benar-benar pemulangan seorang pendekar yang baru disintuk limau ia telah memberi impak besar kepada Umno Johor. Baguslah.
Ada beberapa perkara yang menimbulkan kemarahan Azalina. Antaranya ialah tunjuk perasaan membantah projek itu yang diadakan 30 September lepas di Pengerang. Azalina marah apabila angka tunjuk perasaan itu dikatakan mencecah 7,000. Sebalik, beliau dakwa hanya 3,000 sahaja. Sebenarnya Azalina tidak perlu emosi dan marah kalau angka yang diperolehi itu lebih tepat. Apabila beliau cuba mempertikaikan soal angka ini menunjukkan perasaan itu menganggu musim-musim tidur dan damainya selama ini.
Perkara lain yang dimarah ialah kononnya pengambilan tanah rakyat itu dibuat tidak adil dan menganiaya rakyat. Beliau melenting apabila tanah rakyat didakwa pemimpin pembangkang dibayar dengan kadar RM2.80 sekaki. Sebelum ini Azalina menjelaskan harga bayaran mencecah RM8 sekaki. Beliau juga sebelum ini marah sampai hendak saman Mazlan Aliman apabila Mazlan menuduh beliau terbabit membawa projek itu ke Pengerang. Saya sedikit hairan dalam hal ini, satu masa Azalina ghairah mempertahankan projek berkenaan dan dimasa lain ketakutan pula bila dikatakan beliau terlibat membawa balik projek itu.
Keadaan ini menunjukkan beliau sendiri tidak yakin dengan projek berkenaan akan memberi keuntungan dan dapat membantu rakyat.
Penganiayaan di zaman Udin.
Bercakap soal Johor ini.. mengenai penganiayaan terhadap rakyat ia sudah lama berlaku. Apa yang bakal berlaku di Pengerang menerusi pengambilan tanah rakyat itu adalah kesenimbungan kemungkaran yang telah lama dilakukan Umno, bukan di zaman sebelum Abdul Ghani Othman menjadi MB tetapi ia berlaku di zaman Udin anak Yassin menjadi MB lagi.
Kerajaan UBN Johor licit dalam mengambil tanah rakyat. Kerakusan itu menyebabkan hampir semua tanah rakyat di sekitar Johor Baharu kini sudah bertukar milik. Dahulu yang membuka tanah menebang hutan dan menarah bukit untuk dijadikan kawasan kediaman ialah orang Melayu. Hari ini apa yang ada lagi di Johor Baharu melainkan kenangan dan nostalgia. Jadi apa yang Umno Johor boleh anugerahkan kepada rakyat Melayu ialah kenangan dan nostalgia.
Mereka tidak terus menghalau rakyat Melayu dari kawasan itu, tetapi ia dibuat dengan penuh tektikal. Kononnya kawasan lokasi Melayu itu dibangunkan untuk membantu orang Melayu Johor. Maka dijanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Melayu dan akan diberi bantuan untuk membolehkan mereka memiliki hartanah yang dibangunkan.
Tetapi apabila pembangunan sudah siap, orang Melayu tidak mampu untuk memilikinya kerana harga jauh dari kemampuan mereka. Walhasil atas nama untuk mengelakkan kerajaan menanggung kerugian kerana hartanah tidak dapat dijual, hartanah itu ditawarkan kepada orang asing (Singapura). Yang belinya ada Melayu dan ada Cina. Hendak tidak hendak Melayu yang dijanjikan oleh Umno, dimana janjinya tidak ditepati terpaksa melarikan diri masuk hutan atau terjun laut.
Hari ini penghalauan secara diplomasi dan penuh tektikal terhadap orang Melayu masih berlaku. Beberapa kelompok setinggan di Pasir Gudang, Larkin atau Kempas sedang atau dalam proses penghalauan. Kerajaan UBN tidak mengeluarkan apa-apa surat hak milik kepada mereka kandati mereka sudah tinggal disitu sampai beranak dan bercucu. Sekali lagi nama pembangunan dijual kepada rakyat. Proposal untuk membangun kawasan itu dibuat dengan memberi keutamaan kepada setinggan. Tetapi akhirnya apa jadi, semua hartanah dibangunkan itu jatuh ke tangan pihak lain. Sekali lagi setinggan terpaksa mencari lokasi baru untuk dijadikan tempat kediaman.
Gejela ataupun tindak tanduk itu apakah boleh dikatakan Umno membela rakyat? Orang Johor boleh tanya kepada raja atau sultan mereka hal ini?
Sejujurnya orang Melayu Johor tidak perlu berserah harap kepada Umno lagi. Lupalah sejarah yang menjadi kebanggaan orang Johor kerana semata-mata Umno ditubuh di istana Abu Bakar. Sejarah atau kebanggaan itu tidak memberi apa-apa makna lagi melainkan ia sekadar sejarah. Kebanggaan yang satu ini tidak boleh bawa makan kepada orang Melayu Johor untuk sepuluh atau dua puluh tahun lagi. Ternyata hari ini Umno hanya memberi makan kepada golongan ningrat dan bukan marhean.
Hari ini rakyat Johor sudah ada hero baru yang lahir dari semangat dan kebijaksanaan Hang Nadim. Terimalah Hang Nadim yang kecil dan baru itu kerana dia hadir dan muncul untuk membawa perubahan dan membela Johor dari diserang todak kejahatan dan kerakusan Umno selamanya. Hang Nadim ini lebih rela berkorban dan keikhlasannya.
Nah.. sokonglah Hang Nadim dan berikan peluang kepadanya. Hang Nadim yang dimaksudkan itu ialah orang-orang seperti Sallahudin Ayub, Mazlan Aliman, Khaizan Karat dan lain-lain. Saya nampak mereka ini lebih ikhas dan jujur untuk membela rakyat Johor daripada balkis-balkis dan sang rajwali Umno yang kepatahan kepak di siang hari. Maafkan saya Mat, Mat mana lagi kalau bukan Ahmad Maslan. Mat katanya saham FVGH merudum lagi .. /~merahtintaMSO
No comments:
Post a Comment