Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini meminta semua pihak, termasuk media tidak melaga-lagakannya dengan Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung dakwaan menteri besar itu akan ditukar.
Merujuk laporan Sinar Harian hari ini, Azmin mendakwa laporan yang memetik pandangannya tentang "peranan" Khalid di peringkat pusat disalah lapor oleh akhbar harian itu.
"Saya faham Sinar Harian mungkin ada kepentingan tertentu. Tetapi jangan laga-lagakan saya dengan Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya selama ini patuh pada keputusan parti dan mendokong pentadbiran beliau," katanya ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang kepada media itu.
Memetik Azmin (lihat gambar), Sinar hari ini melaporkan, Khalid mungkin dipindahkan ke pusat sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.
Laporan itu menyebabkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tampil menegur kenyataan itu yang menurutnya bersifat peribadi dan boleh mengelirukan orang ramai.
Manakala Khalid pula petang ini berkata, ia "bukanlah komen daripada Pakatan sebagai satu kumpulan".
Menjelaskan kenyataannya sebelum ini, Azmin berkata, beliau hanya menyebut peranan Khalid sebagai tokoh korporat untuk melaksanakan dasar-dasar dalam Buku Jingga.
"Saya tak sentuh langsung soal lantikan atau rombakan (kepimpinan)," katanya sambil mendakwa laporan yang dirujuk itu menyimpang dari topik perbincangan. Mk
ISU PERTUKARAN MENTERI BESAR SELANGOR: SATU SIMBOLIK KEJAYAAN PENTADBIRAN PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR
Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat hari ini bahawa kenyataan Y.Berhormat Mohamed Azmin Ali berkaitan keperluan untuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk ke peringkat Pusat sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir sebagai satu isyarat jelas bahawa kemajuan Selangor hari ini sedang berada pada landasan yang tepat dan membanggakan.
AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia
ISU PERTUKARAN MENTERI BESAR SELANGOR: SATU SIMBOLIK KEJAYAAN PENTADBIRAN PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR
AMK Selangor percaya bahawa kenyataan itu membayangkan bahawa Pakatan Rakyat telah bersedia untuk mengambil alih Putrajaya dan mempunyai keupayaan pimpinan yang berkebolehan serta berintegriti untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan baik.
Kenyataan YB Azmin Ali itu perlu dilihat dari satu sudut positif, iaitu sebagai satu pengiktirafan kepada Tan Sri Khalid atas kewibawaan beliau mengurustadbir ekonomi Kerajaan Selangor dengan berkesan sehingga perolehan dan simpanan Kerajaan Negeri mencecah RM 2 Billion
Malah, Y.Berhormat Mohamed Azmin Ali juga telah menjelaskan menyebut peranan Tan Sri Abdul Khalid sebagai tokoh korporat untuk melaksanakan dasar-dasar dalam Buku Jingga dan tidak menyentuh langsung soal lantikan atau rombakan kepimpinan
Oleh yang demikian , pihak-pihak lain tidak perlu melatah dan berterusan membuat sebarang spekulasi dengan bertujuan membina persepsi buruk antara kepimpinan kedua-dua tokoh Parti Keadilan Rakyat ini.
Tidak timbul sama sekali gelora seperti yang dimahukan sebelah pihak yang nyata tidak senang dan bimbang, ketenangan hubungan baik dalam arus politik Selangor akan menyukarkan negeri terkaya ini dirampas kembali oleh Umno Barisan Nasional.
Justeru AMK Selangor menasihatkan mana-mana akhbar untuk tidak memutar belit sebarang kenyataan daripada pimpinan kerana ini bakal mengakibatkan perpecahan sekiramya tidak ditangani dengan baik.
Mujurlah kedua-dua tokoh politik ini sangat profesional dan matang, serta tidak terkesan dengan cubaan untuk melaga-lagakan malah terus berkhidmat dengan cemerlang.
AMK Selangor meyakini kecemerlangan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor , terus kukuh samada di peringkat parti ataupun negeri dan percaya bahawa kebajikan rakyat Selangor yang lebih terbela serta ini akan mendorong rakyat untuk terus mengekalkan pentadbiran Pakatan Rakyat, seterusnya membantu perjuangan untuk menumbangkan rejim dan mentadbir Putrajaya.
AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia
No comments:
Post a Comment