Sunday, August 26, 2012

Hudud : Kewajipan ke atas umat Islam dan menjadi tanggungjawab pemerintah Islam untuk melaksanakannya


ULASAN TERHADAP ISU HUDUD DI MALAYSIA 
Isu hudud yang menjadi topik perbincangan hangat di negara Malaysia baru-baru ini masih berterusan dan semakin mendapat perhatian apabila ia melibatkan parti-parti politik di Tanah Air sama ada pihak kerajaan atau pembangkang serta masyarakat muslim dan non-Muslim.
Hal ini bermula dengan kenyataan tok guru di sebuah pondok iaitu Abdullah Sa'amah yang mengeluarkan kenyataan bahawa 'haram bagi umat Islam di Malaysia memberikan undi kepada parti DAP' sehingga menjadi isu dan tercetus isu hudud sebagaimana yang terus diperbincangkan sehingga ke hari ini. 

MANHAL PMRAM melihat isu ini yang bermain di media memberikan kesan positif dan negatif bergantung kepada jawapan dan olahan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit. 

Isu yang hangat diperkatakan ini dilihat sebagai peluang dalam menyebarkan penerangan dakwah kepada masyarakat muslim yang masih kabur serta non-Muslim mengenai konsep perlaksanaan hudud serta keadilan yang terdapat dalam hukum jenayah Islam. 

Namun begitu, isu ini juga dilihat sebagai peluru oleh sesetengah pihak dalam memberikan gambaran yang salah kepada non-Muslim terutamanya sehingga boleh menyebabkan penerimaan mereka terhadap Islam semakin berkurangan.  

Walau apa pun, jika golongan ulama serta cendekiawan Islam dapat memainkan peranan dengan menguasai medium penerangan ia memberikan kredit besar kepada perjuangan Islam dalam memahamkan manusia dengan lebih jelas dan cerah berhubung keadilan Islam dalam hukum jenayah terutama yang melibatkan hudud. 

Melihat kepada senario yang berlaku setelah membuat penelitian secara ilmiah tanpa melihat kepada kecenderungan parti politik, MANHAL PMRAM mengambil pendekatan untuk turut bersama-sama dalam menyuarakan hasil perbincangan secara ilmiah dalam memberikan saham kepada perjuangan Islam dengan cara memberikan penerangan mengenai isu hudud yang diperkatakan. 

Ulasan MANHAL PMRAM terhadap isu ini ialah :
1- Hudud merupakan kewajipan ke atas umat Islam dan menjadi tanggungjawab pemerintah Islam untuk melaksanakannya. 

Hal ini demikian kerana suruhan-suruhan berkaitan perlaksanaan hudud merupakan nas muktamad (qath’ie) iaitu tidak boleh digantikan atau ditukar dengan sistem perundangan yang lain.[1] 

Maka inilah konsep wasatiyah yang sebenar dalam Islam iaitu melaksanakan secara tetap terhadap nas yang muktamad dan mengolah secara baik terhadap nas zhanni (yang mempunyai banyak tafsiran

Maka nas ini dilihat kepada perubahan masa, tempat dan masyarakat dalam menjaga maslahat). Mereka yang meninggalkan hudud dengan beralasan perundangan yang sedia ada sudah cukup dan memadai menjaga keamanan adalah mereka yang lari daripada manhaj wasatiyah dalam Islam bahkan mereka digelar sebagai perosak agama sebagaimana yang disebutkan oleh Dr Yusuf al-Qardhai dalam kitab beliau iaitu as-Siyasah as-Syar’iyah. 

2- Hudud merupakan sebahagian dalam syariat Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana juga kewajipan-kewajipan yang lain seperti solat, zakat, puasa, pernikahan, kehakimana dan sebagainya. Hal ini jelas kerana syariat Islam itu berbentuk menyeluruh dan komprehensif dalam kehidupan manusia. 

Islam bukan hanya agama yang berbentuk kepercayaan serta ibadah di masjid semata-mata.[2] Namun Islam adalah satu cara hidup yang merangkumi segala aspek kehiduapan bermula sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar urusan, maka termasuklah juga hudud kerana ia berada dalam konteks hukuman jenayah dan kehakiman dalam Islam.[3] 

Maka meninggalkan hudud bererti meninggalkan sebahagian syariat Islam, dan ia merupakan kelakukan yang tercela sebagaimana celaan Allah ke atas Yahudi yang beriman dengan sebahagian syariat yang diturunkan ke atas mereka dan meninggalkan sebahagian yang lain sebagaimana ayat ke-85 dalam Surah Al-Baqarah. 

3- Hudud merupakan hak umat Islam dan kewajipan ke atasnya dan non-Muslim mesti menghormati hak umat Islam

Dalam sistem demokrasi yang dijalankan di negara kita yang memperuntukkan dalam Perkara 3 Fasal 1 bahawa Islam agama bagi Persekutuan dalam masa yang sama non-Muslim diberikan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak sivil mereka dilindungi dalam Perkara 3 Fasal 4. 

Justeru, non-Muslim mesti menghormati kebebasan bagi umat Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuk hudud sebagaimana non-Muslim diberikan ruang dalam mengamalkan kepercayaan mereka. Dan perkara ini diperuntukkan dalam perlembagaan dan dijaga hak antara setiap warganegara. 

4- Adapun perbincangan mengenai hukuman hudud ke atas non-Muslim,maka ia terpulang kepada non-Muslim tersebut dan mereka tidak dipaksa. 

Hal ini demikian kerana mereka tidak menganut akidah Islam maka bagaimana mungkin mereka dipaksa mengamalkan ajaran dalamya. Bahkan ayat ke-42 dalam Surah Al-Maidah menjelaskan mengenai keterbukaan Islam terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman jenayah Islam atau tidak. 

Bahkan ulama’ menyatakan bahawa jika non-Muslim dengan rela ingin mengikut perundangan Syariah sepenuhnya, maka bergantung kepada pemerintah untuk melaksanakannya atau menjatuhkan dengan hukuman selain Islam ke atas non-Muslim tersebut. 

Selain itu, sejarah Islam ketika wujudnya Khilafah Uthmaniyah menunjukkan bahawa terdapat 2 jenis mahkamah[4] iaitu mahkamah khas untuk umat Islam dan mahkamah yang diperuntukkan untuk non-Muslim. Hal ini menunjukkan ketegasan Islam bahawa umat Islam mesti menjalani hukuman mengikut syariat dan keterbukaan terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman mana yang mereka rela. 

5- Dalam membincangkan isu hudud, umat Islam mesti berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan serta dakwaan. Hal ini demikian kerana sebarang bentuk kepercayaan, perbuatan serta percakapan yang menghina dan mempersenda hudud yang merupakan hukum Allah boleh menyebabkan terkeluar daripada agama

Begitu juga dengan hukum tidak melaksanakan hudud (sekiranya mampu laksanakannya), maka ulama membahagikan kufur kepada kufur besar yang menyebabkan keluar daripada agama serta kufur kecil yang tidak menyebabkan sehingga terkeluar namun berdosa besar bahkan tergolongan dalam kalangan zalim dan fasik. Hal ini berdasarkan kepada tafsiran bagi ayat ke-44, 45 dan 47 dalam Surah Al-Maidah.[5] 

Antara sebab yang boleh menyebabkan terjatuh dalam kufur besar ialah ingkar akan kewajipan melaksanakannya, melaksanakan hukuman selain Islam kerana bertujuan menentang syariat Islam, meyakini hukum selain Islam lebih relevan berbanding hukum Islam, meyakini hukum selain Islam adalah sama taraf dengan hukum Islam serta percaya bahawa melaksanakan hukum yang bercanggah dengan Islam adalah diharuskan dan tidak haram.[6] 

6- Isu Kafir Harbi dalam negara Malaysia tidak timbul kerana istilah Kafir Harbi tidak wujud selagimana tidak wujud negara Islam sebagaimana yang diperkatakan oleh ulama serta tokoh ilmuan iaitu Dato Dr Haron Din. 

Hal ini demikian kerana melihat kepada Malaysia yang merupakan pada hakikatnya adalah negara umat Islam kerana tidak memenuhi syarat negara Islam iaitu meletakkan perlembagaan tertinggi adalah syarak dan melaksanakan syariat secara menyeluruh.[7] 

Hal ini jelas apabila peruntukkan bidangkuasa bagi Mahkamah Syariah juga terbatas. Ia dapat dilihat pada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan perkara-perkara di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM 5000.00 atau sebat tidak lebih 6 sebatan atau gabungan hukuman-hukuman tersebut.[8] 

Maka non-Muslim yang berada di negara Malaysia realiti sekarang, lebih sesuai dengan istilah muwatinah iaitu warganegara. Justeru mana-mana warganegara dalam sesebuah negara dipelihara kehormatan dan hak mereka selagimana mereka mengikuti perlembagaan negara tersebut. 

Dan warganegara yang non-Muslim juga berkongsi hak dengan warganera muslim dari sudut keistimewaan bagi seseorang warganegara sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan seperti kebebasan menganut mana-mana ajaran, perlindungan diri, jiwa dan harta serta sebagainya. 

Ini dapat dirujuk kepada sirah Nabi SAW di awal pembinaan negara di Madinah yang menunjukkan tidak ada lagi istilah ahli zimmi ke atas Yahudi yang berada di Madinah.[9] Bahkan mereka sama sebagaimana masyarakat yang lain dari sudut kewarganegaraan mereka. Yang berbeza adalah dari sudut akidah dan syariat. 

Hal ini demikian kerana wujudnya istilah ahli zimmi (non-Muslim yang berada bawah naungan negara Islam) apabila wujudnya negara Islam dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka antaranya ialah membayar jizyah (cukai ke atas ahli zimmi). Maka di Malaysia mereka (non-Muslim) tidak ada dikenakan bayaran jizyah dan Malaysia pada hakikatnya adalah negara umat Islam. 

Namun begitu, realiti hari ini, negara-negara umat Islam juga turut mengguna pakai istilah negara Islam[10] apabila melakukan hubungan luar kerana mereka membawa imej Islam apabila bertemu sesama mereka dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan isu umat Islam serta apabila berhadapan dengan negara bukan Islam (negara kafir iaitu negara yang diperintah oleh orang kafir yang tidak ada peruntukan Syariah dalam perlembagaan mereka walau sebahagian)[11]

Namun ia hanya untuk hubungan luar bagi mendatangkan maslahat kepada Islam. Dari sudut hakikat ia tetap sebagaimana negara umat Islam yang mana kewajipan ke atas wargenara muslim mesti memperjuangkan sehingga negara mereka menjadi negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh

7- Kewajipan warnegara muslim dalam negara umat Islam ialah menyebarkan dakwah dalam menerangkan hakikat sebenar perlaksanaan Islam yang dituntut iaitu secara menyeluruh kepada umat Islam khususnya. Selain itu meneruskan gerak kerja untuk menegakkan syariat Islam di negara mereka agar menjadi negara Islam dengan melaksanakan seluruh syariat Islam. 

Bahkan mempertahankan negara yang sedia ada dimiliki oleh umat Islam daripada dijajah oleh pihak musuh.[12] 

Justeru, umat Islam mesti memahami bahawa tidak memadai dengan hanya negara umat Islam sahaja bahkan gerak kerja mesti diteruskan sehinggalah tertegaknya syariat Allah di atas muka bumi ini bermula dengan negara mereka sebagaimana pada ayat ke-193 dalam Surah Al-Baqarah dan ayat ke-39 dalam Surah Al-Anfal. 

Maka wajib berusaha menegakkan syariat Islam dengan menukarkan negara umat Islam yang sedia ada kepada negara Islam

Wallahu a’lam 

Disediakan oleh : Muhamad Zuhaili Saiman (Pengerusi Felo MANHALPMRAM 2012) 
‘Izzati Farhana Mahadzir (Penasihat HEWI PMRAM 2012) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular