KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati ditembak di Jalan 29 Selayang Baru berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, tengah hari semalam.
K Archuthan, 41, ditembak ketika menunggu anaknya yang berusia 17 tahun pulang dari sekolah berdekatan bersama isterinya, S Citra, 36, di dalam kereta miliknya jenis Toyota Camry.
Dipercayai mangsa yang mempunyai sebuah syarikat kawalan keselamatan maut akibat parah ditembak di beberapa bahagian badan dan leher.
Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5.
“Saya sangka ada orang bermain mercun tetapi tidak lama selepas itu, orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian setelah mendapati mangsa sebenarnya ditembak,” katanya.
Dipercayai, isteri mangsa turut terkena tembakan di rusuk kanan dan dibawa orang awam ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa ditembak dari jarak dekat dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.
Menurutnya, siasatan awal polis menemui enam kelongsong peluru saiz 9 milimeter di tempat kejadian.
“Mangsa baru dibebaskan daripada Enakmen Ordinan (EO) dan dibuang ke Perlis sebelum ini. Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan usaha mencari suspek sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. SH
No comments:
Post a Comment