Sunday, May 5, 2013

Pengiraan bermula, dan ini antara kerusi tumpuan

KUALA LUMPUR: Sehingga awal pagi nanti, seluruh negara akan memberikan tumpuan kepada pakatan manakah yang akan mula-mula mengumpulkan sekurang-kurangnya 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan -- Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Tetapi daripada 222 kerusi Parlimen yang kesemuanya ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini, ada beberapa kerusi yang mendapat tumpuan yang lebih.

Berikut antara kerusi-kerusi tumpuan itu:

P.121 LEMBAH PANTAI

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lima tahun lalu. Dalam pilihan raya itu, beliau mengalahkan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat ketika itu, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 2,895 undi.

Nurul Izzah ditentang oleh calon Barisan Nasional, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam kabinet kerajaan sebelum ini.

Kerusi ini menarik perhatian kerana kedudukan kawasan parlimen ini di pinggir Kuala Lumpur dan merangkumi penduduk yang terdiri daripada kelas menengah dan atasan serta golongan miskin bandar.

Sepanjang kempen dua minggu lalu dan sebelum Parlimen dibubarkan, kawasan ini menarik perhatian ekoran beberapa insiden keganasan politik.

P.161 PULAI

Kerusi ini jadi tumpuan kerana mempertembungkan dua pemimpin muda dalam UMNO dan Pas yang bertanding di kawasan kerusi majoriti pengundi Melayu.

Kubu kuat UMNO dan BN ini mempunyai 47 peratus pengundi Melayu.

Penyandangnya, Datuk Nur Jazlan Mohamed menang di kerusi ini dalam dua pilihan raya umum yang lalu, Pada 2004, beliau menang dengan 34,926 undi manakala pada 2008, undi itu merosot menjadi 20,449.

Lawan beliau ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob yang membawa harapan Pakatan Rakyat untuk buat pertama kalinya menembusi kubu kuat UMNO dan BN di Johor.

P.67 KUALA KANGSAR

Bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim melanggar ketetapan parti yang tidak menyenaraikan beliau sebagai calon dalam PRU-13 ini dan bertanding sebagai calon bebas. Beliau kemudian dipecat seumur daripada UMNO.

Beliau mencabar calon BN, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad serta calon Pas, Khalil Idham Lim. Kedua-dua mereka berpindah daripada kerusi Dewan Undangan Negeri untuk bertanding kerusi Parlimen.

Kerusi ini jadi tumpuan untuk melihat apakah ada undi simpati daripada Wanita UMNO dan pengundi wanita keseluruhannya kepada Kamilia yang berkempen untuk mengangkat hak wanita.

Kuala Kangsar mempunyai 51.85 peratus pengundi wanita.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa dalam satu kempennya menggesa ahli UMNO dan penyokong BN supaya jangan beri undi simpati kepada bekas ahli UMNO yang berpaling tadah.


P.125 PUTRAJAYA

Kerusi ini dilihat jadi trofi simbolik yang direbut oleh BN dan Pakatan Rakyat kerana di sinilah terletaknya pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Pakatan Rakyat mengidamkan kerusi ini kerana dilihat kalau tidak berjaya membentuk kerajaan persekutuan pun, mereka nanti boleh bermegah "menang di Putrajaya".

Ia mengemukakan pemimpin kanan Pas, Datuk Husam Musa yang mencabar Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sepanjang tempoh kempen, kawasan ini jadi tumpuan tokoh UMNO dan Pas termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

BN yakin akan menang di Putrajaya namun sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat jugatidak boleh diperkecilkan, dan apakah kehadiran tinggi dalam siri ceramahnya akan diterjemahkan jadi undi.

P.180 KENINGAU

Ini pertandingan adik beradik. Penyandang, Joseph Pairin Kitingan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) ditentang oleh adiknya, Jeffrey Kitingan yang bertanding atas tiket Parti Reformasi Negeri (STAR).

Mereka pernah bertembung sebelum ini dalam pilihan raya umum lima tahun lalu di kerusi yang sama.
Dalam pilihan raya itu, Joseph mengalahkan adiknya dengan 4,264 undi sekaligus mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2004 itu.

Kerusi ini juga ditandingi oleh calon PKR, Stephen Sandor.


P.162 GELANG PATAH

Kerusi ini disifatkan tumpuan utama daripada segala tumpuan. Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpindah dari kerusi yang disandangnya di Ipoh Timur untuk mengetuai apa yang disifatkan sebagai "asakan Pakatan Rakyat untuk membentuk gelombang tsunami dari selatan".

BN memindahkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bertanding di kawasan ini dan mengambil alih daripada MCA yang biasanya secara tradisi mewakili parti pemerintah itu.


P.205 SARATOK

BN menggugurkan calon penyandang kerusi ini, Jelaing Mersat beberapa hari sebelum penamaan calon dan meletakkan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak, William Mawan.

Beliau ditentang tokoh politik Pakatan Rakyat Sarawak yang jadi perhatian sejak dua tahun lalu iaitu Ali Biju. Dalam pilihan raya negeri pada April 2011, Ali mengalahkan Datuk Peter Nyarok Entrie dan jadi "giant killer".

Semasa kempen, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di kawasan ini dalam sisri jelajah kempen mereka ke serata negara.

-astroawani

Keputusan PRU13 secara "LIVE UPDATE"
In Shaa Allah .. Kami akan membawa liputan secara "LIVE UPDATE" keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 bermula dari jam enam petang ni di PAGE Kami :

Sila Klik : https://www.facebook.com/pages/Buletin-Pakatan-Rakyat/121753161270062

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular