Friday, May 10, 2013

MCA mula melakukan introspeksi diri dan itu tindakan terpuji

Saya amat berminat kepada isu yang melingkari MCA akhir-akhir ini. Hari ini perjumpaan di kalangan bekas pimpinan utama MCA telah membuat keputusan untuk mendesak Chua Soi Lek meletakkan jawatan dengan segera. Chua Soi Lek wajar bertanggungjawab atas kekalahan MCA yang begitu besar dalam PRU yang baru selesai minggu lepas. Daripada 37 kerusi yang ditandingi MCA hanya 7 kerusi sahaja dimenangi oleh parti kaum Cina yang terbesar dan tertua di negara ini.


MCA merupakan rakan UMNO dan MIC yang bersama-sama menyempurnakan perolehan kemerdekaan dari Britain pada tahun 1957 dahulu dan kekalahan MCA dalam pilihanraya yang baru selesai ini merupakan ‘follow through’ kepada kekalahannya yang besar pada PRU 2008 yang lalu. Dalam pilihanraya ke-12 2008 dahulu MCA hanya memenangi 15 kerusi dari 45 yang ditandinginya.

MCA nampak serius dalam usaha memperbaiki diri dan bekas-bekas pimpinan utama parti itu berjumpa dan membuat keputusan mendesak Chua Soi Lek untuk mengundurkan diri sebagai peneraju parti untuk kaum Cina yang tertua di negara ini. Sikap bekas pimpinan utama parti itu amat terpuji dan jika inilah sikap pimpinan veteran itu, MCA akan kembali pulih secara beransur-ansur seperti banyak parti lain di dalam dunia ini yang kembali berkuasa setelah ditolak rakyat dalam pilihanraya mereka.

Dua hari lepas MCA telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan kerana penolakan oleh kaum Cina kepada parti itu dalam pilihanraya yang baru selesai itu. Keputusan ini merupakan satu tindakan yang benar-benar tepat kerana kekalahan MCA itu sudah dianggap oleh kaum Cina yang mereka tidak memerlukan wakil mereka berada di dalam kerajaan.

Liberal Demokrat Jepun, parti yang terlalu banyak jasanya kepada negara dan rakyat Jepun telah tumbang beberapa tahun lalu walaupun parti itu banyak jasanya kepada negara Jepun. Parti Liberal Demokrat itulah yang membangunkan negara Jepun dari kekalahan peperangan dunia kedua itu. Liberal Demokratlah yang telah membangunkan Jepun menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar di dunia ini.

Jasa Liberal Demokrat amat besar tetapi ditolak juga oleh rakyat setelah memerintah Jepaun selama 50 tahun kerana wujud unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa di dalam parti itu, penyakit yang dianggap sudah meresapi parti-parti kerajaan kita di sini. Setelah memperbaiki diri semasa di luar kerajaan Liberal Demokrat telah kembali pulih dan kini kembali semula memerintah negara Jepun dengan lebih baik dan transparent.

Parti yang membawa kemerdekaan kepada negara India, iaitu Parti Kongress India juga ditolak oleh rakyat pada tahun 80-an dahulu dan digantikan dengan Parti Janata dan Perdana Menterinya bernama Moreiji Desai. Tetapi setelah sekian lama berada di luar kerajaan kini Parti Kongress India kembali menerajui kuasa di India setelah parti Kongress itu memperbaiki kepimpinan mereka semasa berada di petak pembangkang negara demokrasi terbesar dunia itu.

Begitu jugalah MCA yang telah begitu lama berada di dalam kerajaan dan kini sedang menghadapi zaman malapnya. Yang penting MCA wajar melakukan introspeksi yang intensif sambil memahami segala kesilapan yang mereka telah lakukan sejak sedekad yang lalu. MCA masih bertuah kerana bekas pimpinan utamanya masih sedar dan mempunyai ‘sense of belonging’ kepada partinya walaupun telah tidak lagi berada di tampuk kuasa parti itu. Mereka bersama-sama menumpukan tenaga dan usaha untuk mengembalikan MCA sebagai parti yang relevan dan parti yang bertenaga dengan kepimpinan baru dan diterima oleh rakyat pada masa yang akan datang.

Pandangan dan cadangan yang bertangungjawab pimpinan veteran mereka ini memberikan suntikan semangat kepada MCA dan jika MCA serius mengutamakan pembangunan kembali parti itu mendahulu kepentingan Chua Soi Lek misalnya, MCA akan tetap kembali dengan keadaan yang lebih memberangsangkan rakyat semua kaum untuk menyokongnya.

Proses pembersihan kepada sesuatu parti itu tetap berlaku di mana-mana parti di mana-mana negara. Itu sebabnya selalu saya perkatakan menukar kepimpinan negara dengan parti yang lain itu bukannya satu kerja jenayah. Tetapi sebaliknya ia merupakan satu tindakan untuk menghalang negara daripada terperosok ke lembah kekotoran pentadbiran sesebuah negara itu yang akhirnya akan merosakkan kehidupan rakyat jelata.

Saya sangat teruja untuk memuji MCA kerana berani mengambil tindakan dan mengakui kesilapan dan kesalahan lampau dengan tidak berlengah-lengah lagi untuk memperbaiki diri mereka secepat yang mungkin.

Sebagai sebuah parti yang begitu banyak pengalaman saya mula merasakan tanda-tanda yang menunjukkan MCA akan kembali pulih bagi meneruskan perjuangan parti itu yang jelas tertulis dalam perlembagaan parti itu.

Seperti juga manusia yang telah melakukan banyak kesalahan, mereka akan kembali diterima oleh agama dan Tuhannya setelah melalui proses pembersihan yang serius, iaitu proses bertaubat dan pembersihan diri. - Aspan Alias

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular