Thursday, March 15, 2012

Parlimen Bakal Dibubarkan Selepas 11 April?

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata adalah lebih baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah supaya membubarkan Parlimen selepas istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda disempurnakan 11 April nanti.

 Beliau berkata ia penting supaya tidak timbul sebarang persoalan atau dicabar di mahkamah kelak mengenai kesahihan pembubaran itu.

"Banyak intepretasi undang-undang mengenai perkara ini. Seri Paduka bersemayam di takhta sekarang kerana perkhidmatan Agong yang lepas telah tamat.

"Ada yang berpendapat apabila Agong belum ditabalkan, jadi tak boleh bubar Parlimen. Pada saya ini adalah pandangan peribadi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lepas menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat pemerintahan pada 11 November 2011.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah satu formaliti dalam proses peralihan kuasa ketua negara.

Beliau berpendapat apabila Yang di-Pertuan Agong baru sudah dilantik dan menduduki takhta berkenaan, satu penyerahan kuasa telah berlaku.

"Sekiranya tidak, Agong yang baru dilantik tidak boleh berada di situ dan tidak boleh digelar Yang di-Pertuan Agong.

"Berkenaan sama ada Perdana Menteri boleh menasihatkan Agong untuk membubarkan (Parlimen), itu tidak timbul masalah," katanya.

Pembubaran Parlimen sebelum Yang di-Pertuan Agong ditabalkan tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Shamrahayu. - Bernama

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/parlimen-bakal-dibubarkan-selepas-11.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular