“Orang Indonesia mentalitinya lebih rendah sedikit dari rakyat Kelantan tapi persamaannya mereka bersifat fanatik dan kenegerian yang melampau,” begitulah bunyi satu komen pembaca di dalam akhbar Berita Harian semalam.
Aduhai Berita Harian, hampir saya tidak terkata apa-apa apabila terbaca sahaja komen yang bersifat penghinaan yang bukan sahaja terhadap rakyat Indonesia malah lebih teruk lagi ditujukan sesama sendiri iaitu warga Malaysia dari Kelantan.
Apabila terbaca komen seperti ini, cuma tiga perkara yang secara automatik terlintas dalam fikiran saya iaitu komen bodoh, komen bodoh dan komen bodoh.
Selepas itu barulah saya terfikir lagi, kalau komen ini adalah komen bodoh dari seorang pembaca akhbar itu, bagaimana pula dengan editor yang melepaskan tulisan-tulisan seperti ini?
Saya tidaklah mahu mengatakan yang editornya lebih bodoh berbanding orang yang mendapat ilham menulis komen ini, tetapi tidakkah tuan editor ini dapat berfikir dengan jelas kesannya nanti.
Sudahlah kredibiliti akhbar ini yang dianggap sebagai sebuah akhbar dari aliran media arus perdana semakin diragui, ditambah lagi dengan menyiarkan komen seperti ini hanya menyebabkan bilangan yang meragui kredibiliti akhbar ini semakin bertambah.
Penghinaan
Ini menyebabkan saya tertanya-tanya lagi kepada ketua editor akhbar itu pula, tiada apa-apakah yang mampu dibuatnya berhubung komen berbentuk penghinaan yang dilepaskan oleh editornya itu?
Selain itu, adakah penulis komen yang menggunakan nama samaran Lamputoslet dan editor akhbar ini tidak menyedari ada di antara wira muda yang menjulang nama negara dalam acara bola sepak Sukan SEA itu berasal dari Kelantan.
Tidak sedarkah yang Khairul Fahmi Che Mat, Syahrul Azwari dan Wan Zaharul Nizam adalah anak-anak Kelantan yang bermain untuk negara yang mereka cintai?
Cuba tanya Khairul Fahmi, setiap kali dia menyarung jersi kebangsaan adakah dia merasakan dia bermain untuk negeri Kelantan atau Malaysia.
Begitulah bertubi-tubi persoalan yang timbul dalam fikiran saya selepas membaca komen Lamputoslet itu.
Sekali lagi, aduh mak, gara-gara komen bodoh seperti ini, tidak pasal-pasal ada yang sudah mula berbalas maki-hamun sesama sendiri di laman sosial face book.
Mentaliti rendah
Yalah, siapa yang tidak panas hati apabila diri kita dikatakan memiliki mentaliti yang rendah, lebih-lebih lagi komen seperti itu dibuat di akhbar dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja.
Saya bukanlah berasal dari Kelantan, tetapi seorang warganegara Malaysia yang memegang mykad dengan kod ditengah-tengahnya ’01′.
Meskipun saya bukan anak Kelantan, saya memang bersetuju sangat kalau ada di kalangan rakan-rakan di Kelantan yang berhajat membuat laporan polis.
Kenapa tidak, bukankah membuat laporan polis memang sudah menjadi satu trend terbaharu dalam masyarakat negara ini dan tidak lagi suatu yang membosankan seperti orang dahulu-dahulu mengembala sekawan lembu contohnya.
Apa yang penting, seperti yang selalu dilakukan, selepas sahaja membuat laporan polis jangan lupa berdiri di depan lip-lap pancaran dari flash kamera media sambil memegang satu salinan laporan polis!
Laporan polis
Masih ingat tak lagi pada 2008, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara pernah membuat laporan polis kerana kerajaan negeri Selangor gagal menunaikan janji dalam manifesto ketika usia kerajaan baru itu baru sahaja berusia satu bulan lebih sahaja.
Macam tidak masuk akal bukan? Lainlah kalau kerajaan itu berusia 52 tahun dan masih gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyatnya, boleh juga diterima akal.
Jadi, dalam hal ini tiada sebab kalau ada pihak yang menganggap bahawa perkara ini tiada isu atau asas yang membolehkan satu laporan polis dibuat.
Saya berpendapat memang ada asasnya sekiranya laporan polis dibuat kerana komen itu boleh menggugat keharmonian rakyat Malaysia yang datangnya dari berbilang negeri termasuk Kelantan.
Komen seperti itu menyentuh sensitifviti rakyat Kelantan dan mengandungi sintimen kenegerian yang merbahaya terhadap keharmonian penduduk negara ini.
Hina kaum
Bahayanya komen seperti ini tidaklah banyak bezanya dengan komen yang bersifat menghina sesuatu kaum di Malaysia.
Tambah pul, kebarangkalian pihak berkuasa berjaya mengesan penulis komen itu memang ada kerana setiap penghantar komen dikehendaki mendaftar sebagai ahli melalui mesej pesanan ringkas terlebih dahulu.
Penghantar komen turut mempunyai nombor siri tertentu sekaligus nombor telefon mereka dapat dikenal pasti dan membolehkan pihak berkuasa menjejaki penulis komen ini.
Jadi, kepada rakyat Kelantan, tunggu apa lagi, cepat-cepatlah buat laporan polis supaya pihak yang memberi komen itu dapat belajar sesuatu dari kebodohannya. / Nazli Ibrahim - FMT
No comments:
Post a Comment