Menjelang perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan perhatian semakin tertumpu kepada Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan, seorang peguam terkenal yang pernah terpilih menjadi Presiden Majlis Peguam suatu ketika dahulu.
Buat pertama kali perhimpunan Bersih membantah pilihanraya tidak telus yang diamalkan kerajaan Umno-BN dikepalai oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Biasanya perhimpunan seperti itu dianjurkan oleh parti politik yang kesannya telah sedia maklum sebagaimana perhimpunan Bersih pada 2007 dahulu. Polis bertindak kasar meleraikannya secara kekerasan di beberapa lokasi.
Bagaimanapun puluhan ribu rakyat berjaya meloloskan diri dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong meminta agar SPR dibersihkan dari mainan politik Umno-BN.
Di pihak pemimpin BN pula mereka cukup tertekan, sekiranya perhimpunan berjaya mengumpul puluhan ribu peserta maka tsunami politik pasti akan melanda sekali lagi sebagaimana perhimpunan Bersih pada 2007 lalu yang memberi impak kepada keputusan pilihanraya 2008.
Ikuti temubual selanjutnya wartawan Suara Keadilan bersama peguam yang bersemangat kental ini.
SK: Sejauh manakah seriusnya ancaman Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk berhimpun pada waktu Bersih menganjurkan perhimpunan, adakah Perkasa cuba menimbulkan suasana tegang?
Ambiga: Itulah yang diperkatakan oleh mereka. Pada pendapat saya, dari laporan akhbar memang tujuan mereka (berhimpun) itu untuk membuat kekacauan. Tidak seperti Bersih, matlamat kami ingin menganjurkan satu perhimpunan yang aman. Bagaimanapun, jika Perkasa ingin membuat perhimpunan aman itu adalah hak mereka, saya tidak ada masalah terhadap sesiapa yang menentang pendapat kami. Ini demokrasi, jika ada pendapat berlainan, mereka boleh suarakan.
SK: Pemuda Umno juga ingin menganjurkan perhimpunan
Ambiga: Kami mengalu-alukan. Perhimpunan aman satu hak di bawah perlembagaan kita. Itu satu cara bagaimana rakyat mengetengahkan isu bagi menarik perhatian kerajaan terhadap masalah-masalah mereka
SK: Bukankah Bersih asalnya diwujudkan oleh parti politik, tetapi Datuk pula tidak mahu menjadikan Bersih yang wujud sekarang cenderung kepada politik.
Ambiga: Saya memang tiada apa-apa keinginan menceburi politik. Mungkin ada yang terkeliru dalam hal ini. Bersih 1 memang dianggotai parti-parti politik, tetapi lebih kurang satu setengah tahun lalu saya diminta untuk mengetuai Bersih 2 (Bersih 2.0) sebagai satu gerakan kemasyarakatan. Kami telah mengadakan pelancaran tahun lalu, di mana pihak-pihak politik telah menarik diri dari Bersih 2. Kesemua 14 anggota ahli jawatankuasa pemandu Bersih yang ada sekarang adalah wakil-wakil NGO dan bukan dari dari parti politik.
Sejak itu kami telah mengadakan beberapa mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menganjurkan forum dan sebagainya. Kini telah diterima Bersih 2.0 bukanlah penglibatan politik. Bagaimanapun selepas pilihanraya Sarawak timbul perasaan tidak puas hati di kalangan anggota Bersih.
Sebabnya, selepas kami mengadu, bermesyuarat dan sebagainya bersama SPR tetap berlaku pelbagai perkara yang tidak memuaskan; seperti penipuan, pembelian undi dan lain-lain. Kami rasa SPR dan kerajaan tidak serius mereformasikan sistem pilihanraya di Malaysia. SPR juga tidak bebas.
Pilihanraya umum (PRU) akan diadakan pada bila-bila masa. Oleh itu, kami berpendapat sekiranya rakyat tidak menimbulkan isu-isu ini sekarang, PRU ke 13 nanti kita akan menghadapi masalah yang sama seperti di Sarawak.
Tuntutan Bersih sangat mudah; bersihkan senarai nama pengundi, reformasi sistem undi pos – memang SPR telah mengubah sedikit sistem itu tetapi tidak cukup. Gunakan dakwat kekal – cara yang mudah dan murah mengurangkan pengundian berulang, akses media bebas, 21 hari berkempen serta hindari politik kotor. Apa salahnya tuntutan ini? Soalan saya kepada semua, mengapa tuntutan seperti ini dibantah?
SK: Adakah Bersih telah cukup melakukan dialog atau perbincangan bersama SPR sebelum melakukan bantahan secara demontrasi?
Ambiga: Kami telah melakukan banyak perbincangan dengan SPR. Mereka mendengar masalah yang dibangkitkan tetapi tiada tindakan. Sebagaimana yang berlaku di Sarawak, banyak laporan penipuan undi dibuat tetapi SPR kata mereka tiada kuasa. Sebenarnya SPR mempunyai kuasa untuk mengawal apa yang berlaku dalam pilihanraya. Sekurang-kurangnya mereka boleh membuat laporan polis. Tetapi semua itu tidak berlaku.
SK: Penganjur perhimpunan berdepan dengan amaran polis yang akan bertindak kepada sesiapa sahaja. Mungkinkah polis akan melakukan tindakan pencegahan (tangkapan) sebelum hari perhimpunan seperti mana dilakukan ke atas pemimpin Hindraf pada awal tahun lalu.
Ambiga: Ya, mereka mungkin akan berbuat demikian. Tetapi saya ingin katakan bahawa kami masih ingin berhubung dengan polis dan kami masih ingin bekerjasama dengan mereka agar perhimpunan ini berjalan dengan aman. Kita tidak akan menentang polis.
SK: Boleh Datuk nyatakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan aman.
Ambiga: Artikel 10 (i). Kebebasan untuk mengadakan perhimpunan aman dan berpersatuan. Ia ditegaskan pada fasal ii), iii) dan iv). Dinyatakan mengikut perlembagaan semua warganegara dibenar mengadakan perhimpunan aman tanpa membawa apa-apa senjata. Itu hak asasi.
Tentunya pihak berkuasa akan berhujah ada undang-undang seperti Akta Polis (yang boleh menghadkan kebebasan berhimpun) tetapi pada pendapat saya undang-undang seperti itu tidak boleh membantah Perkara 10 (i)(b) Perlembagaan Persekutuan. Tiada kuasa perundangan yang kesannya boleh menidakkan Perkara 10.
Kamu boleh mengawal (perhimpunan) tetapi kalau undang-undang itu menidakkan Artikel 10 (i) maka pada pendapat saya undang-undang itu tidak sah.
SK: Maknanya Akta Polis tertakluk di bawah Perkara 10, bukan mengatasinya?
Ambiga: Semestinya di bawah, tidak boleh ada undang-undang lain menidakkan Artikel 10.
SK: Pada pendapat Datuk, polis seharusnya menjadi pengawas kepada perhimpunan agar ia berjalan lancar
Ambiga: Ya, pengawas dan kalau terjadi apa-apa kesalahan mereka boleh bertindak pada hari itu. Hal ini biasa di negara-negara lain yang demokratik. Perarakan aman Bersih ini juga akan berlangsung pada tarikh 9 Julai di beberapa tempat lain di dunia, seperti di England, Taiwan dan lain-lain
SK: Apa komen Datuk mengenai laporan-laporan polis kononnya akan berlaku kerosakan kepada perniagaan dan kesusahan awam yang bakal ditimbulkan oleh perhimpunan Bersih.
Ambiga: Saya tidak ada masalah sekiranya ada pihak yang membantah. Mungkin ada sedikit kesusahan pada hari itu tetapi kalau kami dibenarkan berjalan secara aman, perkara itu berlaku dalam masa yang singkat. Maka biarlah perhimpunan ini berlangsung secara aman.
SK: Biasanya yang membuat provokasi adalah polis, sebab sekiranya perhimpunan berjalan secara aman mereka tidak boleh melakukan tangkapan.
Ambiga: Itulah laporan-laporan yang saya terima. Namun saya ingin mengubah fikiran pihak berkuasa. Saya menyeru kepada mereka agar memikirkan tentang hak di bawah perlembagaan, tengoklah macam mana cara untuk bekerjasama dengan kami bagi meneruskan perhimpunan ini.
Ada banyak perhimpunan aman di negara kita, terbaru perhimpunan Lynas (membantah pembinaan loji nadir bumi) mereka berhimpun dan polis tunggu sahaja sehingga selesai. Tidak ada apa-apa masalah. Perhimpunan yang berjalan lancar akan menaikkan imej kerajaan di peringkat antarabangsa sebagai kerajaan yang mengamalkan demokrasi terbuka.
SK: Ada pendapat yang tidak demokratik kononnya perhimpunan besar boleh mencetuskan kekacauan seperti di negara-negara Arab.
Ambiga: Perhimpunan ini tidak ada kena-mengena dengan negara Arab. Sama sekali berbeza. Ini perhimpunan masyarakat yang bertamadun dan kita telah menganjurkan perhimpunan-perhimpunan seumpama ini banyak kali sebelum ini. Masyarakat Malaysia mencintai kedamaian, tidak akan berlaku huru-hara. Berhimpun secara aman adalah hak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Apakah ertinya hak yang termaktub itu jika kita tidak dibenarkan berhimpun sama sekali.
SK: Terbaru, ada ancaman keselamatan terhadap Datuk sehingga ke tahap membunuh jika meneruskan demonstrasi Bersih. Adakah Datuk berasa terancam?
Ambiga: Tentang hal itu saya telah membuat laporan polis pada 23 Jun lalu. Saya menuntut diadakan siasatan ke atas ancaman tersebut. Saya percaya polis boleh menyiasat nombor telefon dari mana sms (sistem pesanan ringkas) itu dihantar dan boleh mengenal pasti siapa penghantarnya.
Mengenai ancaman bunuh, semangat saya masih tetap kuat menghadapi cabaran. Bagaimanapun bukan saya sahaja yang menerima sms itu. Beberapa orang yang lain dalam Jawatankuasa Pemandu juga dapat mesej yang sama. Begitu juga pemimpin NGO Aliran, P Ramakrishnan. Saya terperanjat kerana ada rakyat Malaysia yang berani melakukan ugutan sedemikian rupa di dalam negara yang bertamadun dan menjunjung nilai-nilai murni.
SK: Apa pula pendapat Datuk mengenai perkataan berbau perkauman yang dilemparkan oleh Perkasa mempermainkan keturunan dan bangsa Datuk.
Ambiga: Dia sengaja menaikan suhu tetapi ramai orang yang langsung tidak setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Perkasa. Mereka cuba untuk menakut-takutkan saya tetapi akhirnya mengundang kemarahan ramai orang terhadap cara mereka. KD
No comments:
Post a Comment