KUALA TERENGGANU: Pengecualian orang bukan Islam daripada perundangan syariat adalah selaras dengan perbahasan dan pandangan yang ada pada sumber-sumber hukum Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama dan qiyas.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berpandukan peruntukan di dalam al-Quranul Karim, pihak Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Syariat Kelantan dan Terengganu telah mengkaji kitab-kitab tafsir dan fekah serta melibatkan sama ahli undang-undang.
“Jika sekiranya mereka (bukan Islam) datang kepadamu (wahai Muhammad), hukumlah mereka, ataupun biarkan mereka. Kalau kamu biarkan, mereka tidak boleh memberi apa-apa mudharat terhadap kamu. Kalau kamu hukum mereka, hukum dengan adil, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.
“Dalam menafsirkan ayat ini (al-Maidah: 2), para ustaz-ustaz, tok-tok guru buka kitab tafsir, tafsir yang kecik tak ada, tafsir yang besar-besar, Tafsir Fakhrurrazi, Tafsir Al-Manar, Fathul Bari yang menghuraikan mazhab-mazhab, mengatakan empat pandangan ulama,” jelasnya pada Kongres Rakyat Terengganu di Terengganu Equesterian Resort, Kuala Ibai, di sini 20 Ogos lalu.
Menurutnya, pandangan pertama mengatakan ayat tersebut dinasakhkan pada awal Nabi s.a.w memerintah di Madinah, manakala pandangan kedua mengaitkannya dengan hukum qisas di mana ketika berlaku pertikaian antara kabilah-kabilah Yahudi, Nabi menyuruh mereka merujuk kitab Taurat.
Manakala pendapat ketiga terangnya, berkait bangsawan Yahudi yang berzina tetapi mereka membatalkan hukuman hudud, padahal hukum tersebut ada dalam Taurah.
“Mereka ingin menguji Nabi Muhammad s.a.w, betul ke Muhammad ini Rasul? Kita tanya dia. Ada kalangan mereka yang mengatakan, jangan pergi, kalau pergi boleh penyakit. Tetapi ada yang pergi juga, tanya. Nabi kata, buka kitab Taurah, ada hukum hudud dalam Taurah.
“Keempat, ulama mengatakan ayat ini tidak dinasakhkan. Pengajaran dalam Quran mengikut lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus, ini pendapat yang terkuat. Maka, lajnah jawatankuasa yang menggubal undang-undang ini mengambil pandangan orang bukan Islam diberi pilih, dan kita tidak bertembung dengan Perlembagaan (Malaysia).
“Bertembung dengan Perlembagaan, undi balik, kena dua pertiga, tak boleh, ada dia punya sandaran yang boleh kita pakai,” terang beliau.
Tuan Guru turut meyakinkan bahawa usaha untuk menghalang Islam tidak akan berjaya kerana Allah pasti menyempurnakan cahaya Islam di mana al-Quran dan ilmu Islam tidak boleh dihapuskan.
Demikian itu serunya, menjadi tanggungjawab orang Islam mengilmukan masyarakat dengan Islam kerana pendidikan merupakan agenda pertama diatur Allah s.w.t ke atas manusia sebagaimana ayat 30 dan 31 surah al-Baqarah.
“Bukan terus dicipta Adam dan Hawa dihantar ke bumi, tidak! Diilmukan dahulu, ditarbiyah, dimasuk ke dalam syurga. Ditarbiyah dengan mengenal halal dan haram, mengenal baik dan buruk, batas-batas larangan, mengenal pakaian, makanan, minuman dan lain-lain.
“Setelah mengenal semua, Allah Taala tarbiyah dengan melakukan dosa dan kesalahan, ditipu oleh iblis. Kena tipu pun, tarbiyah juga. Ditipu oleh iblis, tarbiyah yang sangat berkesan kerana kesalahan. Adam dan Hawa ditelanjangkan oleh Allah, tutup jasad dengan daun-daun pokok syurga,
“Dihantar dalam keadaan tak ada pakaian Adam dan Hawa. Apa salahnya berilah subsidi kain pelekat ke ataupun air mineral ke sebotol? Tak ada. Kamu turun ke bumi, cari sendiri dengan ilmu dan tarbiyah yang diatur oleh Allah Taala. Ini agenda yang pertama ilmu dan tarbiyah,” jelas beliau.
Terangnya, agenda ilmu juga dimulakan ke atas Nabi akhir zaman yang hidup, bermasyarakat, beribadah membina pembangunan dan perniagaan dengan ilmu serta mengambil ilmu dari pelbagai bangsa lalu diterjemahkan ke Bahasa Arab.
Demikian itu katanya, bahasa ibunda penting dalam peranannya sebagai asas memperkasakan ilmu sesuatu bangsa, sebelum lanjutan ilmu boleh dengan bahasa asing atau dari pihak yang menyampaikan ilmu lanjutan itu.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my