Monday, August 15, 2016

Gagasan Sejahtera: Dukung impian masa depan negara

Impian ke arah negara Malaysia yang sejahtera dan mencapai kemakmuran dalam segala aspek memerlukan dukungan bersama seluruh rakyat. Tunjangnya bermula oleh pemerintahan yang berakar dari dasar negara nan teguh serta menjulang prinsip.

Demikian itu, Gagasan Sejahtera yang dibentuk dari kolaborasi PAS bersama IKATAN adalah permulaan baharu untuk sebuah kehidupan lebih bahagia dan menjadi aspirasi murni rakyat Malaysia demi masa depan negara tercinta ini.

Dimensi pendekatan berasaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang sedang diterap suburkan dari gagasan ini adalah harapan serta pembebasan kepada rakyat dan negara dari pelbagai belengu mencengkam selama ini.

Rakyat sudah penat, manakala negara semakin sakit oleh kemelut dan hiruk pikuk politik retorik yang disulam oleh keparahan pelbagai skandal, salah urus tadbir, penyelewengan dan pengkhianatan dalam perjalanan pemerintahan.

Kerajaan BN yang menerajui takhta lebih 5 dekad telah gagal menjadikan Malaysia sebagai naungan sejahtera buat warganya. Sebaliknya pelbagai beban kesukaran dan kepayahan terpaksa ditanggung, selain pelbagai gugatan ancaman terhadap keharmonian, keamanan, kestabilan dan kedaulatannya.

Maka, gagasan ini lahir tidak sekadar menyelamatkan pertiwi dan menunaikan tanggungjawab demokrasi. Tetapi menjadi solusi pemulihan yang akan mengangkat kembali dan meneguhkan negara dilandasannya menurut acuan Perlembagaan Malaysia.

Dengan itu, PAS Negeri Kedah menyeru keterbukaan dan kesediaan seluruh rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya, serta entiti masyarakat dan NGO-NGO untuk menjulang hasrat menjadikan Gagasan Sejahtera sebagai wadah kita bersama.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
12 Zulkaedah 1437 | 15 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 15/8/2016

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular