Wednesday, August 17, 2016

Saya dituduh mahu guling kerajaan negeri 

TAHUN-tahun awal saya berkhidmat sebagai wartawan, saya dihantar menjadi koresponden di sebuah negeri.
   
Lebih dua tahun saya di situ.
    
Antara yang banyak saya laporkan ialah tentang kelemahan ketua kerajaan dan kerajaan negeri itu. Berita baik yang memuji dan membela kerajaan pun banyak. Tetapi pembaca lazimnya kritis, tidak tertarik kepada berita yang memuji dan membodek kerajaan sekalipun mereka adalah penyokong kerajaan dan partinya.
      
Pada mereka pemberita yang memuji kerajaan adalah tukang bodek dan dianjurkan supaya bekerja saja dalam jabatan perangan kerajaan.
      
Kerajaan di mana-mana pun ada kelemahannya. Yang seratus peratus baik dan bekerja untuk kepentingan rakyat pula akan ada juga kekurangannya dan apa lagilah kalau ia sebuah kerajaan yang pincang.
      
Islam menganjurkan dalam kedaan yang sudah 100 peratus pun, Islam memperuntukkan masih perlu teguran bangkangan. Itulah sebabnya dunia media menganjurkan dimartabatkan kebebasan bersuara dan berakhbar supaya ia menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan masyarakat.
     
Memang saya banyak melaporkan kelemahan kerajaan dan pemimpin. Orang yang marah pun ramai tetapi yang suka lebih ramai. Orang nampaknya menunggu setiap hari apa berita yang saya laporkan setiap hari. Orang atas saya di Kuala Lumpur pun menggalakkan saya membuat laporan yang kritis, terus terang dan bebas.
     
Pendek kata hampir setiap hari ada saja orang mengajak saya makan kerana suka dengan saya dan mereka itu memberitahu pula cerita baru untuk jadi berita.
      
Pembesar-pembesar negara dan orang kuat parti politik banyak menegur. Saya sedia menerima teguran tetapi saya tidak suka campur tangan orang luar.
     
Kegiatan saya itu mereka laporkan kepada ketua saya di Kuala lumpur. Maka saya banyak dinasihatkan supaya simbangkan pemberitaan itu. Memang saya pun tidak memuatkan yang buruk saja. Tetapi yang baik itu tidak banyak yang peduli. Yang buruk saja yang dibangkitkan.
     
Antara laporan mereka terhadap saya ialah saya anti kerajaan dan hendak menumbangkan kerajaan. Mereka telah mengundang pengarah akhbar datang berbincang dengan mereka tentang kegiatan saya. Antara yang mereka cadangkan ialah supaya saya dipecat.
      
Pengarah tidak memantau kerja harian saya. Yang memantau dan mengarah saya itu dan ini ketua pengarang. Pengarah minta pengarang buat sesuatu tentang saya.
      
Pengarang panggil saya ke ibu pejabat terus tempelak saya, ‘Kamu hendak menumbang kerajaan dan Menteri/Ketua Menteri.’ Saya diberitahu, mereka banyak menerima aduan tentang  saya.
    
Saya jawab, kalau saya mahu tumbangkan kerajaan, maka sayalah akan ganti Menteri atau Ketua Menteri.
     
Rupanya segala apa yang tidak menyenangkan mereka, mereka kira hendak menumbangkan kerajaan. Orang yang hendak menumbangkan kerajaan tidak boleh diberi ampun dan maaf.
     
Ketua saya tergelak dengan jawapan dan diapun tidak fikir saya hendak jadi ketua kerajaan.
    
Lalu dia mengarahkan saya. ‘Hujung bulan ini kamu dipindahkan ke Kuala Lumpur.’ Syukur saya  tidak dipecat bahkan dinaikkan pangkat. 

SUBKY LATIF
– HARAKAHDAILY 16/8/2016

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular