Gagasan Sejahtera (GS) telah dilancarkan. Secara realitinya GS yang menggabungkan PAS dengan Ikatan ini bukanlah suatu platform pembangkang yang mengancam sekurang-kurangnya buat masa ini. Kekuatan Ikatan belum meyakinkan. Orang hanya kenal Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Peminat politik tertanya-tanya sejauh mana beliau mampu menjadikan Ikatan sebagai sebuah parti yang mampu berdiri kukuh di persada politik negara.
Selagi GS tidak mendapat rakan sekutu yang lebih strategik terutama di Sabah dan Sarawak, GS sukar pergi jauh dalam politik cacamarba Malaysia kini. Seiring dengan itu, Ikatan wajar bekerja keras untuk meguasai Parlimen dan DUN yang akan ditandingi.
Walaupun GS bukan menjadi satu blok yang mencabar buat masa ini namun dengan kehadiran BERSATU, strategi politik PAS harus berubah. Mengikut kajian Sinar Harian, 30% undi UMNO akan berpindah kepada BERSATU. Kalau benar kajian itu, kekuasaan UMNO/BN akan tergugat di seluruh negara, lebih-lebih lagi apabila Dato Seri Shafie Afdal menubuh parti khusus untuk warga Sabah.
Senario ini menatijahkan bahawa GS tak perlu lagi berkompromi dengan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai DAP dan sikap gergaji dua mata PKR. Malah GS juga tak perlu bekerjasama dengan BERSATU. Kenapa? Apakah ini semua perancangan Allah untuk memberi kemenangan besar kepada PAS dan GS kali ini? Wallahu’alam. Situasi ini tidak mustahil setelah Allah juga yang telah membersihkan dan menyelamatkan PAS dari tangan-tangan para durjana dan munafik politik.
Watak-watak yang menggerakkan BERSATU kebanyakannya terdiri daripada mereka yang alergik dengan PAS dan Syariah. Sekiranya GS bekerjasama dengan BERSATU akan timbul masalah besar dalam menentukan kerusi yang akan dipertandingkan dan polisi bersama nanti . Mari kita ambil contoh di Terengganu. BERSATU akan minta untuk bertanding di beberapa kerusi. Kalau mereka hendak bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PKR semasa PRU13 dahulu, maka masalah tidak timbul. Penulis percaya bahawa BERSATU mahu bertanding di sebahagian besar kerusi di Terengganu. Apakah PAS bersedia untuk konflik baru yang saja dicari ini? PAS hendak menawarkan kedaulatan syariah. BERSATU hendak menawarkan apa?
Justeru, bagi penulis bukan sesuatu yang bijak bagi PAS/GS cuba mendekati BERSATU. Tidak perlu pemimpin BERSATU diberi ruang untuk memperkenalkan citra politik mereka di pentas-pentas ceramah PAS sepertimana yang pernah diberikan kepada Semangat 46 dan PKR suatu waktu dahulu. Halatuju BERSATU belum jelas. Malah belum ada tanda-tanda pemimpin mereka lunak terhadap PAS. Jangan nanti salah percaturan menjadi ‘backfire’ yang tak diundang.
Biarkanlah BERSATU ingin bergabung atau bekerjasama dengan PH. Itupun belum tentu PH akan terima. Perebutan kerusi dalam kalangan mereka akan berlaku. Siapa mahu bekorban kerusi untuk diberikan kepada parti Mahathir yang bernafsu besar? PKR? DAP? Andaikata BERSATU diberi ruang bertanding di kerusi-kerusi yang pernah ditandingi oleh PAS, akibatnya nanti perang besarlah dengan PAN. PAN itu cacing yang hendak jadi naga. Maka dia akan cuba menghembus-hembus api dari mulutnya sampai terkencing.
Sekiranya BERSATU bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh PAS, maka pertanding 3 penjuru PAS-UMNO-BERSATU akan berlaku. Inilah yang penulis katakan sebagai perancangan Allah. Sesuatu yang suatu ketika dahulu peminat politik melihat PAS akan kalah besar dalam PRU14, tiba-tiba Allah zahirkan BERSATU. Teringat firman yang membawa maksud manusia merancang, Allah juga merancang. Dan Allah-lah sebaik-baik perancang.
Konklusinya, penulis hanya melontarkan pandangan akal yang cetek. Pemimpin di atas sana adalah mereka yang berilmu dan ada strategi yang tak perlu didedahkan. Justeru itu, keputusan pemimpin adalah yang terbaik. Penulis hanya taat dan istiqamah hingga kemenangan. Adapun motif tulisan penulis kali ini adalah untuk berkongsi pelbagai kemungkinan demi kemenangan Islam.
Pendapat | Oleh Wartawan BO
No comments:
Post a Comment