Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan tegas menggesa anggota UMNO dan BN yang cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya disingkirkan. Kenyataan beliau disambut pula oleh pemimpin lainnya yang menyokong kenyataan tersebut.
Jika begitu tegasnya nada kenyataan Tan Sri Muhyiddin, ini bererti UMNO dan BN berada dalam keadaan gawat dan tenat. Disiplin dan akhlak ahli UMNO dan parti komponen BN dianggap begitu teruk sehingga terpaksa diberi amaran dalam ruang media yang terbuka. Gelombang yang begitu menggelora sedang membadai dalaman mereka sehingga terpaksa pemimpin tertingginya memberi amaran keras (ataupun cemas) untuk menenangkan keadaan.
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin menunjukkan bahawa UMNO sudah lari jauh dari matlamat asal perjuangan mereka. Agenda membela bangsa adalah kata-kata manis yang lahir dari lidah mereka sahaja, sedangkan hati mereka tiada niat untuk membela nasib rakyat. Mereka lebih bernafsu untuk memikirkan diri mereka sendiri. Tindakan mereka dizahirkan dengan sanggup ‘mengalahkan’ calon dan parti mereka sendiri dalam PRU ke 13 jika mereka atau orang pilihan mereka tidak terpilih bertanding. Sebegitu rapuh dan murahnya ‘aqidah’ perjuangan mereka terhadap parti sendiri, tidak terbayangkan bagaimana kelak pemimpin seperti ini sanggup mengharungi kesusahan bersama rakyat semata-mata mahu membela nasib rakyat lebih dari diri mereka sendiri.
Dalam keadaan sekarang, apakah masih ada sekelumit hati pemimpin UMNO merasakan menjadi wakil rakyat sebagai suatu amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan memberikan khidmat kepada masyarakat terutama pengundi sebagai suatu keutamaan. Mungkinkah ada kalangan mereka merasakan amanah yang dipikul ini akan menjadi suatu bebanan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak. Sebaliknya mungkin mereka merasa menjadi Yang Berhormat atau Menteri adalah suatu kemuliaan dan juga peluang untuk membolot kemewahan dunia sebanyaknya tanpa memikirkan nasib rakyat yang mereka wakili.
Saya ingin mengajak rakyat menilai kembali sokongan mereka kepada UMNO. Parti seperti ini tidak boleh disokong kerana mereka sendiri sanggup menjual beli parti mereka sendiri hanya kerana kepentingan diri mereka. Zahirnya nampak kuat, namun dalamannya amat rapuh dan lemah. Parti seperti ini boleh rebah bila-bila masa sahaja.
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin pula akan menguji diri beliau jika ia benar-benar terjadi ke atas diri beliau sendiri. Sesetia itukah Muhyiddin terhadap partinya sendiri atau beliau turut akan sama mensabotaj dan akan disingkir jika tidak terpilih sebagai calon PRU13?
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
No comments:
Post a Comment