AYER TAWAR - Seorang pegawai polis mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila rumahnya di Taman Permata di sini, dirompak malam kelmarin.
Mangsa, M D Amarthalingam berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan sanak saudara di Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia sekeluarga terkejut apabila mendapati rumah mereka dalam keadaan berselerak setelah pulang dari majlis berkenaan pada jam 6 petang, semalam.
“Kami sekeluarga ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu dan pulang semalam.
“Apabila membuka pintu, saya amat terkejut melihat keadaan rumah yang tunggang-langgang.
“Saya mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku dan bergegas memeriksa wang milik anak saya.
"Saya dapati wang anak saya sebanyak RM7,000 dan beberapa barang kemas telah hilang,” katanya.
Tambahnya, perompak berkenaan dipercayai masuk ke rumahnya melalui pintu di bahagian belakang rumah.
“Apabila saya ke bahagian belakang rumah, saya dapati kekisi tingkap telah diumpil dan mengesyaki perompak terbabit memasuki rumah melalui tingkap berkenaan," katanya.
Malah, terdapat ladang kelapa sawit di belakang rumah Amarthalingam yang menyebabkan kejadian rompakan itu tidak disedari oleh jiran sekitar rumahnya.
"Ini adalah kejadian pertama rumah saya dipecah masuk dan keadaan belakang rumah yang banyak tanaman kelapa sawit menyebabkan tiada orang perasan kejadian rompakan itu berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana keluarganya selamat walaupun kehilangan harta benda.
“Satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu bagi memastikan penjenayah berkenaan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. SH
No comments:
Post a Comment