Wednesday, March 21, 2012

Sejak merdeka isu Melayu berkumandang, Melayu tidak kemana juga

Isu Melayu tetap menjadi bahan kempen UMNO dan BN semasa kita sedang menanti tarikh muktamad pilihanraya yang akan datang. PRU boleh jadi hampir atau mungkin lambat lagi. Mungkin Najib menangguhkan PRU ke13 ini sampai akhir penggal pada bulan mac 2013. Terpulang kepada beliau untuk menentukannya.

Yang saya hendak sebut hanya tentang isu yang dimainkan oleh UMNO dan BN sekarang ini dan isu yang paling jelas ialah isu keselamatan dan masa depan orang Melayu. Isu ini digunakan setiap kali pilihanraya diadakan. Ia semata-mata untuk menakutkan orang Melayu untuk meninggalkan UMNO dan memberikan sokongan ke pihak lain. Ia menunjukkan kegagalan UMNO untuk memberikan penyelesaian terhadap isu Melayu ini.

Sejak mencapai kemerdekaan ini sahajalah isu yang dimainkan. Ia merupakan lagu lama yang sudah jarang didengar. Lagu ini kita dengar bermusim sahaja, iaitu semasa pilihanraya diadakan. Ianya adalah seperti lagu lama nyanyian Momok Latif dan anak muda sekarang ini sudah tidak suka mendengarnya lagi.

BN sudah kehilangan isu dalam keadaan ‘defensive’ yang sedang mereka alami sekarang ini. Sejak berpuluh tahun dahulu kita mendengar isu ini tetapi Melayu tetap dalam keadaan ketinggalan. Pemimpin-pemimpin besar negara adalah orang Melayu, Ketua Setiausaha Kementerian-kementerian orang Melayu, KSN orang Melayu, Ketua Polis Negara orang Melayu, Ketua Turus Angkatan Tentera orang Melayu, pegawai-pegawai Daerah orang Melayu.

Apa lagi? Wakil-wakil rakyat dan penggubal dasar majoritinya orang Melayu. Tetapi kenapa Melayu masih layu? Segala-gala kuasa dan kemudahan diberikan kepada penggubal dasar Melayu serta pelaksana Melayu tetapi Melayu tetap ketinggalan. Pemimpin-pemimpin dan parti yang sama juga yang terus menerus melaungkan isu untung nasib Melayu tetapi sedarkah mereka yang mereka yang bertanggungjawab diatas kegagalan Melayu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa bukan Melayu.

Kini pilihanraya sudah hampir dan isu ini kembali berkumandang. UMNO mengakui yang mereka merupakan segala-galanya untuk orang Melayu. Kalau benar UMNO itu adalah segala-galanya kenapa Melayu masih menjadi pengemis bukan sahaja kepada bangsa asing malahan kepada parti mereka sendiri yang bernama UMNO itu. Kenapa orang Melayu masih begitu takut untuk berubah sedangkan kegagalan UMNO begitu nyata, telah gagal untuk memperjuangkan orang Melayu.

Sampai bila Melayu hendak menunggu kejayaan pemimpin yang merupakan pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO itu? Melayu diseru bersatu untuk kesinambungan dan kemajuan masa depan dan Melayu telah bersatu selama 5 dekad. Tetapi semasa Melayu bersatu bersama mereka mereka menggunakan kesempatan untuk kepentingan politik peribadi. Ramai yang tidak berkelayakan untuk pemimpin telah menjadi pemimpin kerana Melayu bersatu.

Tak kemana juga orang Melayu. Maka sekarang Melayu telah ramai yang mengambil keputusan untuk masih bersatu, tetapi kali ini mereka mahu bersatu di luar UMNO. Orang melayu kini sudah menjadi Melayu yang bermaklumat. Maka mereka mula mengubah haluan bukan kerana saja-saja untuk mengubah haluan tetapi UMNO telah memaksa mereka untuk meninggalkan keyakinan terhadap UMNO itu untuk mencari penyelesaian untung nasib mereka diluar UMNO yang telah mencengkam pemikiran mereka sejak berdekad-dekad yang lampau.

UMNO tidak boleh diyakini lagi untuk menggalas tanggungjawab untuk memajukan mereka. Hanya pengundi-pengundi didesa-desa pendalaman sahaja yang masih cekal dengan UMNO atau pun mereka yang masih mempunyai mentaliti desa itu. Ahmad mungkin telah keluar bandar meninggalkan desanya tetapi Ahmad tidak mampu untuk mengeluarkan ‘mentality’ desanya untuk bersama-sama untuk mengayuh kehadapan untuk mencari kemajuan dalam dunia yang begitu ‘competitive’ ini.

Apabila UMNO sedar yang Melayu dan rakyat tidak lagi memberikan dukungan kepada mereka, maka UMNO menggunakan segala tektik kotor untuk mengekalkan kuasa. Cara dan sikap pimpinan UMNO disetiap peringkat ini menampakkan tanda-tanda yang mereka akan menjadi pembangkang.

Berbalik kepada isu Melayu tadi, kita ingin bertanya kepada semua umat Melayu, kenapa UMNO gagal memperjuangkan Melayu sedangkan inilah isu yang kononnya diperjuangkan mereka sejak lama dahulu.
 
Saya yakin, sekarang ini sudah ramai yang mampu untuk memberikan jawapannya serta penyelesaian terhadap isu ini. Aspan Alias

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/sejak-merdeka-isu-melayu-berkumandang.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular